Selasa, 31 Oktober 2017

ISU KARANGAN KE-7 YANG PERLU DIFOKUSKAN

ISU KARANGAN KE-7 YANG PERLU DIFOKUSKAN:
Sama ada sedar atau tidak isu ponteng sekolah sebenarnya merupakan sejenis penyakit lama yang telah berakar umbi semenjak masyarakat kita mengenal alam persekolahan sehingga sekarang ibarat tiada kesudahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang agak membimbangkan. Ponteng sekolah merupakan antara masalah salah laku paling serius dalam kalangan murid sama ada di peringkat s...ekolah rendah mahupun sekolah menengah di seluruh negara. Secara umum ponteng sekolah ialah tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah dan di luar pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Walaupun begitu ada yang tidak hadir, tetapi dalam pengetahuan ibu bapa. Amat rugi sekali masa yang sepatutnya diisikan dengan menimba ilmu pengetahuan di bangku sekolah, sebaliknya dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti melepak di kompleks beli-belah atau pusat rekreasi dan pusat hiburan. Dengan kata lain, ponteng sekolah boleh ditakrifkan sebagai ketidakhadiran pelajar ke sekolah dengan sengaja tanpa sebarang alasan yang munasabah. Oleh itu, masalah ponteng sekolah haruslah ditangani dengan segera agar masalah lain yang lebih serius tidak timbul kelak.
Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
1. Punca-punca berlakunya ponteng sekolah.
2. Langkah-langkah menangani ponteng sekolah.
3. Kesan-kesan ponteng sekolah.
*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel saya yang berjudul:
1. Artikel 16 -"Menangani Kes Buli di Sekolah" dalam buku KRU 7.




Isnin, 30 Oktober 2017

ISU KARANGAN KE-6 YANG PERLU DIFOKUSKAN

ISU KARANGAN KE-6 YANG PERLU DIFOKUSKAN
Saban tahun pelbagai kes disiplin yang berlaku di persekitaran sekolah dilaporkan dalam media elektronik, media cetak dan juga media sosial. Dalam banyak kes disiplin, termasuk kes yang melibatkan aspek kelakuan agresif terhadap individu lain seperti kes buli. Kejadian buli yang semakin membarah bukan sahaja memberikan kesan kesihatan fizikal dan juga psikologi terhadap mereka yang dibuli, malah dalam sesetengah kes turut melibatkan kem...atian. Izharlah, peraturan sekolah seolah-olah tidak mampu menanamkan rasa takut kepada golongan pembuli meskipun banyak amaran dan tindakan disiplin dikenakan kepada pembuli sebelum ini. Ekoran daripada itu, insiden seperti ini mahupun kejadian lain yang tidak dilaporkan tetap menjadi bahan tular di laman-laman sosial, sekali gus memberikan petunjuk jelas bahawa fenomena buli yang berhubung kait dengan tingkah laku gengsterisme masih berlelua­sa di sekolah dan perlu dibendung dengan lebih serius. Secara ringkasnya, peningkatan insiden buli akan secara tidak langsung menyuburkan budaya gengsterisme. Oleh itu, membiarkan kedua-duanya berleluasa dalam persekitaran sekolah yang merupakan medan untuk mendidik dan membentuk generasi anak bangsa, bukanlah sesuatu yang sihat dan sewajarnya dikekanghabis-habisan.

Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:

1. Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kes buli.
2. Kesan-kesan kes buli di sekolah.
3. Langkah-langkah menangani kes buli.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel saya selanjutnya yang berjudul:

1. Artikel 16 -Menangani Kes Buli di Sekolah dalam buku KRU 7.





Ahad, 29 Oktober 2017

ISU KARANGAN KE-5 YANG PERLU DIFOKUSKAN






ISU KARANGAN KE-5 YANG PERLU DIFOKUSKAN
Masalah kesesakan jalan raya sudah menjadi perkara serius dan setiap penyelesaian yang dicari haruslah bukan sekadar bertujuan untuk melegakan kesesakan untuk tempoh setahun dua sahaja, tetapi perlu mengambil kira unjuran keadaan lalu lintas 20 atau 30 tahun yang akan datang. Lantaran itu, baru-baru ini pihak Kementerian Pengangkutan menyasarkan sebanyak 25 peratus penduduk di negara ini menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang 2015.
Sebenarnya, sasaran itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di beberapa bandar besar di negara ini selain mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kebanyakan bandar di negara maju, 60 peratus penduduk mereka menggunakan pengangkutan awam, tetapi di negara kita setakat ini, hanya 16 peratus penduduk menggunakan pengangkutan awam dan masih belum mencukupi untuk mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di negara ini. Faktor kelemahan sistem dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang memuaskan telah menyebabkan jumlah warga kota memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri. Akhirnya, kesesakan ini menjadi sebahagian daripada beban dan tekanan kehidupan harian masyarakat kota, dan lebih buruk lagi, membentuk satu stigma dan imej negatif yang sedikit sebanyak membawa kesan terhadap usaha kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan.
Dalam usaha menambah baik pengangkutan awam di negara ini, kerajaan amat prihatin dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat untuk menjadikannya sebagai pilihan utama masyarakat khususnya penduduk ibu kota. Pelbagai langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan tahap kesesakan lalu lintas termasuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan sudah mengambil inisiatif untuk memperbaik dan memperkasakan sistem pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di kawasan bandar. Sebelum itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab untuk merancang, mengawal selia, dan menguat kuasa sistem, serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD juga bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan bagi menggalakkan lebih banyak rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, kerajaan turut memberi fokus kepada empat bidang utama dalam sektor pengangkutan awam di negara agar kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kemudahan tersebut meningkat. Pertama, meningkatkan kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa. Kedua, meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam. Ketiga, memastikan rakyat mendapat akses mudah pengangkutan awam dan keempat menyediakan kapasiti pengangkutan mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan penumpang baharu.
******************
Perbincangan selanjutnya bolehlah ditumpukan pada:
1. Langkah-langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam negara.
2. Kesan-kesan terhadap kempen penggunaan pengangkutan awam.
3. Faktor-faktor yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel-artikel saya yang berikut:
1. Artikel 19 yang berjudul "Meningkatkan Mutu Perkhidmatan Pengangkutan Awam" dalam buku KRU 1.
2. Artikel 21 yang berjudul "Strategi Mendepani Kesesakan Lalu Lintas" dalam buku KRU 5.
3. Artikel 19 yang berjudul "Sumbangan Perkhidmatan Uber & Grabcar" dalam buku KRU 7.
4. Artikel 20 yang berjudul "Perkhidmatan Rel Agen Transformasi Pengangkutan" dalam buku KRU 7.
Gambar hiasan.

ISU KARANGAN KE-4 YANG PERLU DIFOKUSKAN

ISU KARANGAN KE-4 YANG PERLU DIFOKUSKAN
Pada zaman serba moden sekarang, tanpa telefon bimbit dan komputer riba, hidup bagaikan tidak sempurna. Malah tiada hari yang berlalu, tanpa menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun tanpa menjengok laman sosial. Laman web rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat. Laman sesawang sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, dan Twitter kini semakin tersohor dan meluas p...enggunaannya lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia sudah celik teknologi maklumat.
Terkini dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman sosial yang sangat popular iaitu Facebook di seluruh Malaysia. Semua lapisan masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah ke peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri. Oleh itu, kesan penggunaan laman sesawang sosial tersebut kepada masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan yang akan dihuraikan dalam makalah ini. Tegasnya, hidup zaman sekarang diibaratkan tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak keruan, apabila semua peranti komunikasi itu ‘lenyap’ tanpa disentuh dalam kehidupan seharian.........................

* Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
(a) Manfaat penggunaan media sosial
(b) Kesan negatif penggunaan media sosial
(c) Faktor-faktor tarikan penggunaan media sosial.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 19 saya selanjutnya yang berjudul "Memanfaatkan Laman Sesawang Sosial" dalam buku KRU 3 dan artikel 1 yang berjudul "Peranan dan Impak Media Massa" dalam buku KRU 4.






 

Jumaat, 27 Oktober 2017

ISU KARANGAN KE-3 YANG PERLU DIFOKUSKAN






ISU KARANGAN KE-3 YANG PERLU DIFOKUSKAN :

Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengetahui, serta memahami segala perkara yang berlaku kepada jiran tetangga. Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.
      Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran amat penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum yang memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju. Oleh itu, usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan yang kuat antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah. Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.

Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
1. Langkah-langkah mengukuhkan semangat kejiranan
2. Faktor-faktor semangat kejiranan semakin longgar.
3. Kesan-kesan semangat kejiranan yang mantap.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel saya selanjutnya yang berjudul
1. Artikel 3 - "Memperkukuh Tradisi Hidup Berjiran" dalam KRU 1
2. Artikel 9 - "Mengukuhkan Semangat Kejiranan" dalam buku KRU 5.
3. Artikel 22 - "Kemerosotan Nilai Semangat Kejiranan" dalam buku KRU 6

Khamis, 26 Oktober 2017

ISU KARANGAN 2 YANG PERLU DIFOKUSKAN.

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 2
      Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju adalah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Tetapi, di negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan belum menjadi budaya dan cara hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang, berbanding negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca adalah dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.
     Malaysia telah menempa dan mencipta sepuluh ceritera kejayaan yang boleh dibanggakan sepanjang 10 Rancangan Malaysia, menurut Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat pada Mei 2015 yang lalu. Antara kejayaan yang turut disenaraikan termasuk kadar literasi kini meningkat kepada 98 peratus daripada hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh menulis dan membaca pada tahun 1970. Istilah literasi lebih dikenali sebagai celik hurut atau kenal huruf. Biasanya terminologi ini bermaksud keupayaan membaca dan menulis atau kemampuan seseorang untuk berturut, mendengar, membaca, menulis dan memahami percakapan atau penulisan.  Jika dahulu susah untuk kita melihat orang ramai membaca buku di tempat awam tetapi hari ini boleh dilihat di mana-mana. Dengan kata lain, hal ini memberikan gambaran positif bahawa masyarakat makin membudayakan amalan membaca. Budaya membaca semakin diamalkan oleh rakyat negara ini berikutan pelbagai program galakan dan kempen yang telah dilaksanakan.

Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
 1. Langkah-langkah untuk menggalakkan budaya membaca.
 2. Kepentingan mengamalkan budaya membaca.
 3. Kekangan atau masalah menyuburkan budaya membaca.
 *** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel-artikel saya yang berikut:
  1. Artikel 11 yang berjudul "Menyuburkan Budaya Membaca" dalam buku KRU 5.
  2. Artikel 10 yang berjudul "Budaya Membaca Memperkasakan Industri Buku" dalam buku KRU 6






Rabu, 25 Oktober 2017

ISU KARANGAN 1 YANG PERLU DIFOKUSKAN

FOKUS ISU KARANGAN MENJELANG PEPERIKSAAN SPM 2017:
Seperti yang dijanjikan semasa program jerayawara bahasa di seluruh negara bahawa bermula hari ini hingga 5 Disember 2017 (12 hari terakhir) saya akan muat naik isu-isu karangan yang perlu diberikan perhatian menjelang Peperiksaan SPM 6 November nanti. Mudah-mudahan usaha terakhir ini dapat membantu bakal calon menjawab kertas Bahasa Melayu dengan lebih yakin dan cemerlang. Anggapkan semua isu yang dipaparkan ini sebagai ikhtiar dan latih tubi terakhir. Jika ada isu yang keluar anggap itu sebagai secara kebetulan saja.

ISU 1 YANG PERLU DIFOKUSKAN:

     Satu lagi warisan budaya di negara ini yang perlu dilestarikan termasuk permainan tradisional. Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai permainan alternatif kini terutama permainan komputer. Masih belum terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak berusaha untuk mengekal dan mempromosiya.
     Permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang, dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak. Permainan gasing pada masa lalu misalnya menjadi salah satu cara bagi merapatkan hubungan silaturahim, selain sebagai punca pendapatan melalui pembuatan gasing. Tetapi kini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi mengisi masa lapang dalam kalangan penduduk setempat yang mempunyai banyak pilihan untuk beriadah.
     Permainan tradisional atau permainan rakyat pada umumnya merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Permainan tradisional juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa kini yang begitu terdedah dengan peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol warisan budaya.

** Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
(a) Punca-punca yang menyebabkan permainan tradisional semakin pupus.
(b) Langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional
(c) Kelebihan-kelebihan permainan tradisional

*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel 10 saya selanjutnya yang berjudul "Melestarikan Warisan Budaya" dalam buku KRU 2 dan artikel 21 yang berjudul "Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara" dalam buku KRU 6.