Khamis, 27 Oktober 2016

ISU KARANGAN 2016 YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 4

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2016:

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 4


Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju adalah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Tetapi, di negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan belum menjadi budaya dan cara hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang, berbanding negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca adalah dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.

 Malaysia telah menempa dan mencipta sepuluh ceritera kejayaan yang boleh dibanggakan sepanjang 10 Rancangan Malaysia, menurut Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat pada Mei 2015 yang lalu. Antara kejayaan yang turut disenaraikan termasuk kadar literasi kini meningkat kepada 98 peratus daripada hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh menulis dan membaca pada tahun 1970. Istilah literasi lebih dikenali sebagai celik hurut atau kenal huruf. Biasanya terminologi ini bermaksud keupayaan membaca dan menulis atau kemampuan seseorang untuk berturut, mendengar, membaca, menulis dan memahami percakapan atau penulisan.  Jika dahulu susah untuk kita melihat orang ramai membaca buku di tempat awam tetapi hari ini boleh dilihat di mana-mana. Dengan kata lain, hal ini memberikan gambaran positif bahawa masyarakat makin membudayakan amalan membaca. Budaya membaca semakin diamalkan oleh rakyat negara ini berikutan pelbagai program galakan dan kempen yang telah dilaksanakan.

Perbincangan lanjut boleh tertumpu pada:

1. Langkah-langkah untuk menggalakkan budaya membaca.
 2. Kepentingan mengamalkan budaya membaca.
 3. Kekangan atau masalah menyuburkan budaya membaca.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel-artikel saya yang berikut:
 1. Artikel 11 yang berjudul "Menyuburkan Budaya Membaca" dalam buku KRU 5.
 2. Artikel 10 yang berjudul "Budaya Membaca Memperkasakan Industri Buku" dalam buku KRU 6




 

Rabu, 26 Oktober 2016

ISU KARANGAN 2016 YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 3

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2016:

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 3


      Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengetahui, serta memahami segala perkara yang berlaku kepada jiran tetangga. Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan. Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran amat penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum yang memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.

      Amalan hidup berjiran dulu dan kini amat berbeza sama sekali. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan. Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan hal demikian berlaku. Antara puncanya termasuklah faktor kesibukan bekerja dan persekitaran tempat tinggal mereka. Sememangnya tidak dapat dinafikan kehidupan di bandar banyak cabarannya berbanding di desa. Masyarakat bandar hidup dalam keadaan tertekan kerana perlu bergegas ke tempat kerja seawal jam 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan mereka juga terpaksa pulang lewat malam kerana menghabiskan tugas, serta mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu petangnya pula. Ada antara mereka juga bekerja keras untuk menampung kehidupan kerana kos sara hidup di bandar tinggi. Tidak hairanlah kebanyakan masyarakat di bandar membuat dua pekerjaan dalam satu masa untuk terus menampung kehidupan mereka. Cara hidup seumpama ini menyebabkan keadaan rumah sering sepi tanpa penghuni dan bagi mereka yang mampu mengambil pembantu rumah, yang selalu kelihatan hanyalah bibik menguruskan rumah dan menjaga anak kecil. ...........................................

      Oleh itu, usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan yang kuat antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah. Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. 





Perbincangan lanjut bolehlah tertumpu pada:

1. Faktor-faktor yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur.
2. Langkah-langkah memperkukuh semangat kejiranan.
3. Kesan-kesan menyuburkan semangat kejiranan.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel-artikel saya selanjutnya seperti yang berikut:
1. Artikel 1 - berjudul "Memperkukuh Tradisi Hidup Berjiran"
2. Artikel 9 - berjudul "Mengukuhkan Semangat Kejiranan" dalam buku KRU 5.
3. Artikel 22 - berjudul "Kemerosotan Nilai Semangat Kejiranan" dalam buku KRU 6.

Untuk membuat pesanan buku-buku KRU yang berikut sila hubungi nombor talian yang tertera:

 

ISU KARANGAN 2016 YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 2

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2016

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 2

      Pada zaman serba moden sekarang, tanpa telefon bimbit dan komputer riba, hidup bagaikan tidak sempurna. Malah tiada hari yang berlalu, tanpa menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun tanpa menjengok laman sosial. Laman web rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat. Laman sesawang sosial seperti Friendster, Myspace, ...Facebook, dan Twitter kini semakin tersohor dan meluas penggunaannya lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia sudah celik teknologi maklumat. 

    Terkini dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman sosial yang sangat popular iaitu Facebook di seluruh Malaysia. Semua lapisan masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah ke peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri. Oleh itu, kesan penggunaan laman sesawang sosial tersebut kepada masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan yang akan dihuraikan dalam makalah ini. Tegasnya, hidup zaman sekarang diibaratkan tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak keruan, apabila semua peranti komunikasi itu ‘lenyap’ tanpa disentuh dalam kehidupan seharian.........................







 * Perbincangan lanjut bolehlah tertumpu pada:
(a) Manfaat penggunaan media sosial
(b) Kesan negatif penggunaan media sosial

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 19 saya selanjutnya yang berjudul "Memanfaatkan Laman Sesawang Sosial" dalam buku KRU 3 dan artikel 1 yang berjudul "Peranan dan Impak Media Massa" dalam buku KRU 4.

Untuk membuat pesanan buku-buku KRU yang berikut sila hubungi nombor talian yang tertera:

 

ISU KARANGAN 2016 YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 1

   Sebagai penghargaan yang istimewa kepada para guru yang selama ini menyokong dan menjadi pelanggan tetap buku-buku KRU saya dari Jilid 1-6, Insya-Allah bermula hari ini, saya akan menyenaraikan isu atau tema bagi tajuk karangan yang perlu diberikan perhatian menjelang SPM 2016 yang dijadualkan pada 7 November 2016, seperti yang saya janjikan semasa sesi program jerayawara bahasa di seluruh negara.
   Anggaplah bahawa isu-isu yang dipaparkan selama 12 hari berturut-turut sekadar latih tubi untuk sumbang saran peringkat terakhir dan bukan soalan ramalan yang harus dijadikan pegangan sebagai persediaan memperlengkapkan diri bagi menghadapi kertas Bahasa Melayu 1. Walau bagaimanapun jika ada isu yang keluar anggapkan sebagai secara kebetulan sahaja.

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2016

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 1


   Satu lagi warisan budaya di negara ini yang perlu dilestarikan termasuk permainan tradisional. Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai permainan alternatif kini terutama permainan komputer. Masih belum terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak berusaha untuk mengekal ...dan mempromosiya. Permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang, dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak. Permainan gasing pada masa lalu misalnya menjadi salah satu cara bagi merapatkan hubungan silaturahim, selain sebagai punca pendapatan melalui pembuatan gasing. Tetapi kini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi mengisi masa lapang dalam kalangan penduduk setempat yang mempunyai banyak pilihan untuk beriadah.
    Permainan tradisional atau permainan rakyat pada umumnya adalah merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Permainan tradisional juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa kini yang begitu terdedah dengan peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol warisan budaya.









** Perbincangan haruslah tertumpu pada:
(a) Punca-punca yang menyebabkan permainan tradisional semakin pupus.
(b) Langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional
(c) Kelebihan-kelebihan permainan tradisional


*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel 10 saya selanjutnya yang berjudul "Melestarikan Warisan Budaya" dalam buku KRU 2 dan artikel 21 yang berjudul "Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara" dalam buku KRU 6.

Untuk membuat pesanan buku-buku KRU yang berikut sila hubungi nombor talian yang tertera:


Ahad, 9 Oktober 2016

RENCANA UMUM - FENOMENA HOBI GENERASI BAHARU



Ikutilah rencana umum saya sepenuhnya yang berjudul "FENOMENA HOBI GENERASI BAHARU" dalam majalah Dewan Siswa, keluaran Oktober 2016. Selamat membaca!!!

RENCANA BAHASA - BENTUK SOALAN KESALAHAN ISTILAH DAN BAHASA



Ikutilah rencana bahasa saya selanjutnya berjudul "BENTUK SOALAN KESALAHAN ISTILAH DAN BAHASA" dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Oktober 2016. Selamat membaca!!!

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SM TAHFIZ AL-QURAN, CHENDERAH










Terima kasih kepada Tuan Hj. Ab. Rani Embi kerana mengundang saya untuk program tersebut pada 8 Oktober 2016 (Sabtu) bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar SMTAQ dan pelajar-pelajar jemputan dari SMA Ar-Rahmah, SMK Telok Mas dan SAM As-Syakirin termasuk guru-guru pengiring yang terlibat. Semoga kalian memperoleh manfaat sekali gus membantu dalam peperiksaan SPM kelak.

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SM SAINS BAGAN DATOH, PERAK








Alhamdulillah usai berjerayawara di SABDA selama 6 jam. Terima kasih kepada Pengetua, Cikgu Hidir Ali (GPK 1), Puan Rohani, Cikgu Mohd Redzuan Hashim dan guru-guru Bahasa Melayu kerana mengundang saya kali ketiga. Tidak ketinggalan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang sempat bersama-sama saya selama dua tahun sejak tahun lepas lagi. Semoga kalian memperoleh input yang dapat membantu pada saat-saat terakhir menjelang SPM sebenarnya, sekali gus melonjakkan prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu yang terbaik dalam sejarah SABDA.

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SMK KLEBANG BESAR & SMK KG. GELAM









Terima kasih kepada Cikgu Juriah Judin, GKMP Bahasa Puan Suzana, Puan Rosmila Ramli, Cikgu Azlan Abd Kadir, kaunselor SMK Klebang Besar Cikgu Roslan dan Puan Junaidah, Puan Rohimah (GKPM) serta guru-guru Bahasa Melayu SMK Kampung Gelam yang bergabung dan mengundang saya untuk mengendalikan program tersebut pagi ini jam 8.30 pagi - 2.00 petang di Dewan SMK Kampung Gelam. Tahniah dan syabas kepada semua pelajar kedua-dua sekolah menengah yang terlibat. Semoga segala input yang disampaikan dapat dimanfaatkan pada saat-saat menjelang SPM yang semakin hampir serta memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM sebenar pada 7 November 2016 nanti.