Selasa, 29 September 2009

CAKNA : 23 - OPS SIKAP GAGAL???

Ops Sikap gagal?

Rasdi berkata, jalan bandaran sekali lagi mendahului senarai jumlah kemalangan dengan 388 kes, diikuti jalan Persekutuan (284 kes), jalan negeri (152 kes), lebuh raya (68 kes) dan jalan-jalan lain (39 kes). Ops Sikap Ke-20 yang bermula sejak 13 September lalu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,500 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans. Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang kecewa dengan peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan menyatakan walaupun hukuman mati sekalipun dikenakan, pengguna jalan raya di negara ini akan tetap melanggar undang-undang.

Sikap tidak pernah berubah

MASIH teringat kata-kata Tun Abdullah Ahmad Badawi: "Daripada segi kemudahan infrastruktur, negara ini mempunyai kemudahan kelas pertama dunia, namun sikap masyarakat yang menggunakannya masih pada tahap mentaliti kelas ketiga." Pada penulis inilah keadaan sebenar jika mahu dirungkai mengenai episod kematian lebih 200 nyawa sepanjang Ops Sikap yang dilancarkan sempena musim perayaan Aidilfitri ini. Kita boleh bina infrastruktur dan sistem jalan raya sebaik mana sekalipun. Namun sikap gelojoh dan suka menunjuk lagak di atas jalan raya masih menjadi ciri dominan sebahagian besar pemandu di negara ini. Benarlah kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Jika dikenakan hukuman bunuh sekalipun, sikap pemandu super hero di negara ini tidak akan berubah.

Pemandu Malaysia boleh menjadi pekerja yang kreatif, seorang petugas yang berdedikasi dan berdisiplin atau individu yang warak. Tetapi apabila memandu di jalan raya, entah apa yang merasuk mereka. Pelbagai tabiat serta kesalahan asas yang mengundang bahaya kepada nyawa orang lain dilakukan berulang kali tanpa ada rasa bersalah atau insaf akan kesalahan tersebut. Perhatikan kesalahan asas ini, yang nampak remeh dan kecil tetapi menimbulkan bahaya besar kepada nyawa pengguna jalan raya. Pengamatan penulis dalam tempoh seminggu berhari raya di rumah sanak-saudara dan melalui lebuh raya mahupun jalan persekutuan dan jalan negeri di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mendapati kesalahan-kesalahan berikut dilakukan oleh kebanyakan pengguna jalan raya.

1. Memandu melebih had laju yang dibenarkan

2. Menggunakan telefon mudah alih semasa memandu

3. Memotong di garisan berkembar

4. Tidak memakai tali pinggang keledar sama ada pemandu, penumpang di bahagian depan mahupun belakang.

5. Memandu perlahan di lorong sebelah kanan.

6. Memandu terlalu perlahan di lorong sebelah kiri, ibarat sedang bersantai sehingga menyusahkan pengguna lain.

7. Mengikuti terlalu rapat kenderaan yang ada di hadapan.

8. Tidak memakai topi keledar bagi penunggang motosikal.

9. Membelok secara tiba-tiba tanpa memberi lampu isyarat untuk membelok

10. Memandu sesuka hati, tidak sabar dan suka memotong barisan khususnya sewaktu hendak membayar tol.

Jika mahu disenaraikan kesalahan lain, memang masih banyak. Sindrom "mabuk lemang dan ketupat", seakan-akan menghantui pemandu pada musim perayaan ini. Apa yang dikesalkan, penulis dapati ramai pemandu bersikap terburu-buru memandu kenderaan mereka, seolah-olah ingin cepat sampai ke destinasi. Timbul persoalan di benak penulis, apakah sikap rakyat begitu hipokrit. Begitu ghairah untuk beraya, untuk memohon ampun dari sanak saudara dan menziarahi kaum kerabat dan hanya mahu cepat sampai. Sedangkan dalam masa yang sama, nyawa diri sendiri dan pengguna lain tidak diperhitungkan?

Kenapa kita begitu ghairah untuk cepat sampai? Apa yang hendak dikejar dan apakah usaha menghubungkan silaturahim, menziarahi kaum keluarga dan usaha memohon maaf, hanya dihadkan satu hari di hari raya? Bukankah proses memohon maaf, menyambung silaturrahim ini perlu dijaga sepanjang masa? Atau, ramai pemandu beranggapan, "biarlah aku membuat dosa dan menyakiti hati kawan rakan dan saudara mara, selama 364 hari kerana baki sehari lagi yakni di hari raya, aku boleh memandu sesuka hati dan cepat sampai untuk memohon maaf di atas segala kesalahan yang aku lakukan". Inilah budaya tidak toleran. Budaya meraikan Aidilfitri yang tidak kena pada tempatnya.

Apa yang lebih menghairankan, kita boleh nampak pemandu berhabisan beribu ringgit untuk aksesori kereta, membeli kereta baru, berpakaian baru, namun tidak nampak pula akan pembaharuan sikap bila memandu. Apakah tahun demi tahun kita akan terus berbangga dengan menghitung statistik terkini menunjukkan angka korban. Satu kematian sia-sia, yang bukan pun akibat mempertahankan negara daripada serangan musuh, sebaliknya gejala 'membunuh diri' di jalan raya, kesan kealpaan dan sikap lalai diri sendiri. Kempen sudah, peringatan pun sudah, entah bila sikap pemandu bakal berubah. Hukuman, penguatkuasaan, beribu-ribu saman dan kompaun dikeluarkan, namun semua itu dipandang enteng dan remeh.

Barangkali juga, sikap toleransi penguatkuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya yang tidak membuat sekatan jalan raya kerana dikhuatiri mengundang kesesakan lalu lintas musim perayaan ini diambil kesempatan oleh ramai pemandu. Apa-apa pun jua, Malaysia akan terus tercatat dalam senarai sebagai antara negara yang mempunyai jumlah korban paling tinggi akibat kemalangan jalan raya, satu rekod memalukan bangsa dan negara. Pendekatan progresif, agresif dan lebih keras perlu disusun mulai sekarang, bagi menghadapi episod kematian sia-sia ini pada musim perayaan akan datang. Jika hukuman dan penguatkuasaan gagal memberikan impak atau kesedaran, ubah kaedah, cari mekanisme baru. Paling ideal, mengharamkan sebarang kenderaan persendirian menggunakan jalan raya dua hari sebelum raya dan dua hari selepas raya, sebaliknya pihak kerajaan menyediakan bas sebanyak mungkin, atau kenderaan awam bagi sesiapa sahaja yang mahu bergerak atau beraya ke rumah saudara mara. Memang nampak susah, kurang praktikal, namun pemandu negara ini wajar didisiplinkan.

Rakyat negara ini wajar dididik untuk tidak lagi menjadi 'hero' di jalan raya, sebaliknya lebih menghargai nyawa sendiri, kaum keluarga dan kesannya kepada orang lain. Jika tidak, sampai bila-bila angka korban, statistik kemalangan akan terus menjadi bahan media dan tontonan masyarakat dunia. Dan tentulah perkara ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Malaysia.

SOBRI SUDIN ialah penulis bebas.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 September 2009

Isnin, 28 September 2009

CAKNA : 22 - KITAR SEMULA - SEDARKAN KITA?



Bahan rangsangan untuk difikirkan:

Pada pendapat anda, mengapakah program kitar semula kurang berkesan walaupun telah dilancarkan sejak tahun 2007?

CAKNA : 21 MUHASABAH DI BALIK OPS SIKAP

Apabila pemandu sedia bayar saman dan 'sedia mati' di jalan raya

MASIH belum terlambat untuk menghulurkan Salam Aidilfitri kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Minggu lalu, ruangan ini tidak muncul kerana cuti hari raya, hari tanpa akhbar. Hari ini masuk hari kesembilan, umat Islam menyambut Aidilfitri. Semalam (Ahad), bagi mereka yang melakukan ibadah puasa sunat enam hari, juga kembali berhari raya. Bagi yang belum melakukan puasa sunat enam hari, bolehlah berbuat demikian sepanjang Syawal ini. Dan tentunya dalam tempoh sebulan ini, banyak rumah terbuka akan diadakan lebih-lebih lagi pada hujung minggu ini apabila warga kota sudah kembali dari kampung halaman masing-masing. Syukurlah, ramai daripada kita menjadi insan yang bertuah kerana dapat pulang berhari raya ke kampung dengan selamat dan selamat kembali untuk meneruskan 'perjuangan' hidup kita. Kekalkan sikap berhati-hati di jalan raya seperti perjalanan ke kampung dan kembali ke tempat kerja. Janganlah kerana Ops Sikap sahaja membuatkan kita lebih berhati-hati. Ops Sikap Ke-20 yang bermula 12 September lalu berakhir semalam. Hari ini kita akan tahu jumlah sebenar korban di jalan raya. Setakat semalam, angka yang dikeluarkan ialah seramai 238 orang. Berbanding tahun lalu, jumlah kematian yang dicatatkan dalam tempoh Ops Sikap Ke-19 ialah 170 orang.

Ops Sikap kali ini berjaya atau gagal? Tidak perlulah kita membuat kesimpulan berjaya atau gagal kerana yang penting sejauh manakah kesedaran yang wujud di kalangan pemandu apabila mereka berada di jalan raya. Dengan jumlah kenderaan yang saban hari semakin meningkat, jumlah pemandu yang terus bertambah dan jalan raya pula tidak banyak yang berubah, maka sukar untuk mengukur tahap sebenar kejayaan atau kegagalan Ops Sikap ini. Kemalangan dan kematian di jalan raya akan terus berlaku sama ada Ops Sikap wujud atau tidak.

Adakah kerana jumlah kenderaan meningkat? Mungkin ini salah satu faktornya. Buktinya apabila lebuh raya yang mampu memendekkan tempoh perjalanan terpaksa mengambil masa lebih panjang. Pengguna lebuh raya terpaksa memilih 'jalan lama' kerana lebuh raya sesak. Dan adakah kerana lebih banyak kenderaan melalui jalan bandaran, jalan persekutuan dan jalan negeri menyebabkan kadar kemalangan terus meningkat? Adakah mereka yang keluar daripada laluan lebuh raya untuk memilih jalan lama dikategorikan sebagai orang yang tidak sabar untuk sampai ke destinasi? Atau mereka tidak sanggup keletihan atau tertekan di lebuh raya yang sesak sehingga menyebabkan risiko kemalangan mungkin lebih tinggi? Sama ada lebuh raya atau 'jalan lama' pokok pangkalnya kenapa kemalangan terus berlaku. Sudah tentulah kerana undang-undang jalan raya tidak diterima pakai oleh segelintir pengguna. Bagi mereka, undang-undang hanyalah ciptaan manusia dan manusia boleh mengubahnya mengikut selera. Letaklah hukuman mati sekali pun tetapi seperti kata Ketua Polis Negara, Musa Hassan, mereka tidak kisah walau dihukum mati.

Sebenarnya sesetengah pemandu memang tidak takut mati ketika berada di jalan raya. Inikan pula sekadar membayar saman atau digantung lesen memandu. Saman boleh dibayar dan ramai juga yang sedang memandu tanpa lesen. Tetapi jika mereka ini tergolong dalam golongan orang yang berani mati janganlah sampai menyusahkan kehidupan orang lain. Biarlah mereka yang berani mati di jalan raya ini mati tetapi yang menyedihkan apabila mereka yang tidak takut undang-undang dan bersedia untuk mati kerana melanggar peraturan itu menimbulkan masalah kepada orang lain. Maksudnya mereka tidak mati tetapi orang lain yang mati. Jika tidak mati pun, ada yang menderita kerana mereka. Orang lain memandu ikut peraturan atau undang-undang tetapi disebabkan kecuaian orang yang berani mati ini, maka ramai yang tidak bersalah menjadi korban atau cacat seumur hidup. Ramai juga menjadi yatim atau yatim piatu akibat kecuaian orang lain. Begitu juga derita yang ditanggung oleh mangsa nahas angkara orang berani mati ini tetapi terselamat. Sekalipun pemandu berani mati itu mati akibat kecuaian sendiri tetapi orang yang terselamat dalam nahas itu juga menderita kerana terkenangkan kemalangan maut itu. Untuk menghukum mereka akibat kecuaian kemalangan itu sia-sia sahaja kerana mereka telah pun 'dihukum' mati.

Menyelak kembali beberapa kemalangan yang berlaku sama ada sebelum atau semasa Ops Sikap dijalankan, ada di antara mangsa yang terkorban adalah pemandu yang mengikut undang-undang serta peraturan. Ada kenderaan yang tiba-tiba terbabas memasuki laluan pemandu lain menyebabkan orang yang memandu mengikut peraturan menjadi korban. Maka memandu ikut peraturan pun belum pasti selamat kerana sikap manusia yang tidak bertimbang rasa di jalan raya, mahu menunjuk jaguh dan kehebatan seolah-olah merekalah raja jalan raya. Mungkin Ops Sikap perlu ditukar kepada nama lain. Pendekatan juga perlu dirombak semula supaya pemandu benar-benar mengikut peraturan semasa di jalan raya. Penguatkuasaan dan jumlah penguat kuasa yang mencukupi amat diperlukan supaya setiap pesalah di jalan raya dapat dikesan dan dikenakan tindakan serta merta. Budi bicara anggota polis perlu terbatas kepada kes-kes tertentu sahaja bukannya semua sehingga timbul tanggapan denda boleh dibayar dengan tawaran diskaun. Mungkinkah sikap tolak ansur polis dalam memberi diskaun ini menyebabkan sikap pemandu tidak pernah berubah? Selain denda yang boleh dijelaskan pada bila-bila masa, carilah kaedah lain yang lebih membantu mengubah sikap pemandu.

Nahas boleh dikurangkan jika pemandu mengikut peraturan pemanduan yang selamat di samping keperluan lain yang diberi perhatian termasuk kenderaan itu sendiri. Mungkin tidaklah sampai kepada 'bersopan santun' di jalan raya sehingga menimbulkan kemarahan pengguna lain. Pemandu di negara kita tidak boleh ditegur. Jika ditegur mungkin maki hamun akan diterima, penumbuk akan dipamerkan, kenderaan anda mungkin dikejar dan dihimpit dan macam-macam lagi. Justeru, hanya sikap pemandu yang akan membantu mengurangkan kadar kemalangan. Ubahlah sikap. Jangan mengharapkan Ops Sikap mengubah sikap anda.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 September 2009

Selasa, 22 September 2009

CAKNA : 20 - KOLEKSI SMS - UCAPAN HARI RAYA


Berikut sebahagian daripada ucapan Hari Raya melalui SMS yang saya terima daripada rakan-rakan guru dan pelajar sepanjang tiga hari pertama Hari Raya:

Ucapan 1:

Pejam celik pejam celik dah lama tak jumpa,
Pejam celik dah 29 hari puasa,
Makin dipejam celik, makin banyak salah dan dosa,
Sementara masih celik, banyak-banyaklah buat pahala,
Sebelum pejam tak celik-celik harap maaf jika tersalah kata,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

Ucapan 2:

Kata Al-Ghazali:
Yang jauh itu WAKTU,
Yang dekat itu MATI,
Yang besar itu NAFSU,
Yang berat itu AMANAH,
Yang mudah itu BERBUAT DOSA,
Yang panjang itu AMAL SOLEH, dan
Yang indah itu SALING MEMAAFKAN.

Ucapan 3:

Ketupat rendang jadi hidangan,
Di pagi Syawal bersalam-salam;
SMS dikirim tanda ingatan,
Salah dan silap harap maafkan.

Ucapan 4:

Ya Allah, Ya Rabbi Ya Tuhan Kami,
Sempena kedatangan Syawal yang barakah ini,
Muliakan dan sayangilah sahabatku yang sedang membaca SMS INI.
Bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya,
Berkati rezekinya, kuatkan imannya.
Berikan kepadanya kenikmatan ibadah,
Jauhkanlah dirinya daripada fitnah,
Suburkan benih Keislaman pada diri dan keturunannya, dan
Masukkanlah dia ke dalam syurga-Mu tanpa hisab.
Amin Ya Rabbul'alamin
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Ucapan 5:

Jika langkah membekas lara,
Jika kata merungkai dusta,
Jika jelingan jadi bisa,
Jika tingkah menoreh luka,
Jika suara menikam rasa,
Ampun dan maaf dipinta,
Hapuskan dosa tanpa dikira,
Agar sempurna sedia kala,
Tiada prejudis tiada wasangka,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Ucapan 6:

Ada kala telinga silap mendengar,
Mata silap memandang,
Fikiran khilaf mentafsir,
Hati silap menduga, dan
Lidah terlanjur berkata,
Maaf atas segala kesalahan.

Ucapan 7:

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar harta semakin tiada,
Biar akal semakin berusia,
Biar jauh kedudukan kita,
Biar jurang pangkat kita,
Jangan tergadai silaturahim antara kita,
Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Ucapan 8:

Kala Ramadan telah pergi,
Takbir berkumandang di hari fitri,
Lapar dahaga yang kita lalui,
Semoga berbalas pahala Ilahi,
Dengan tangkupan sepuluh jari,
Kumohon maaf setulus hati,
Ampun dipinta maaf diberi,
Salam Aidilfitri.

Ucapan 9:

Dalam gurau ada terkata,
Dalam bicara terkasar bahasa,
Dalam tindakan terguris rasa,
Dalam hidup tidak lepas dari dosa,
Dalam janji mungkir terpaksa,
Ampun dan maaf segera dipinta,
Semoga terhapus segala dosa,
Agar persaudaraan kekal selamanya.

Ucapan 10:

Anak monyet anyam ketupat,
Lemang dibakar bersusun rapi,
Masa ini dah tak main kad-kad,
SMS inilah pengganti diri,
Selamat Hari Raya,
Maaf zahir dan batin.

Ucapan 11:

Nak pantun tak reti,
Nak gurindam jauh sekali,
SMS dihantar pengganti diri,
Tanda ingatan di aidilfitri.

Ucapan 12:

Rumah dihias indah berseri,
Tambah meriah hari lebaran,
Kumpul bersama sanak saudara,
Selamat menyambut adilfitri,
Silap dan salah harap maafkan.
Moga bahagia bersama keluarga.

Ucapan 13:

Jumpa tak selalu MESRA,
Rindu tak dibenarkan tapi KENANG,
Senyuman tak manis tapi IKHLAS,
Mesej tak kerap tapi INGAT,
Diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ucapan 14:

1 Syawal sudah tiba,
Takbir bergema menggegar jiwa,
Jika ada salah dan dosa,
Maaf dipinta di hari mulia.

Ucapan 15:

Moga Ramadan yang berlalu meninggalkan "RAHMAH",
Menjajikan "MAGHFIRAH",
Memastikan "ITQUUN MINNAN NAR,
Maaf zahir dan batin.

Ucapan 16:

Senja berlabuh takbir bergema,
Ramadan berlalu Syawal menjelma
Ingatan terpahat, SMS pun menjelma,
Ucapan dihulur, maaf dipinta,
Selamat Hari Raya.

Ucapan 17:

Anak kambeng budak ketupat,
Lombu meghaung kono tambat,
Nak anta kad rayo ditunggu takkan dapek,

Sodap bergayut kek pokok durian,
Lomang hangus kapalo berasap,
Salam aidilfitri diucap,
Harap diampun salah dan silap.

Ucapan 18:

Tangan dihulur tak kesampaian,
Senyum diukir tak kelihatan,
SMS dikirim tanda ingatan,
Di Aidilfitri kita bermaafan.

Ucapan 19:

Kok dilipek sebosar kuku,
Kok dibontang sebosar alam,
Kok hilang dicaghi,
Kok hanyut dipinteh,
Kok tonggolam disolam,
Datang biarlah nampak muko,
Kok poei biarlah nampak belakang,
Jauh diimbau, dokek digamit,
Seuntai salam, sejambak kato,
Dogup bicagho, meghisik raso,
Salam Aidilfitri 1430H,
Semoga Allah panjangkan umur,
Murahkan rezeki dan tinggikan darjat.

Ucapan 20:

Kelapa tua banyak guna,
Kelapa muda sekadar minuman,
Saya ni kan banyak kurangnya,
Segala salah dan silap mohon keampunan.

Ucapan 21:

Nak bagi kad raya tak ada duit nak beli,
Nak telefon pun tak ada kredit,
Nak ucap terlalu terlalu jauh pula,
Hanya SMS sahaja yang dapat saya bagi.

Ucapan 22:

Ramadan berlalu diulit rindu dan sendu,
Syawal yang tiba disambut penuh syukur dan ceria,
Semoga berbahagia pada hari lebaran.

Ucapan 23:

Jika kesilapan semalam belum terampun,
Jika kesilapan hari ini menyakitkan hati,
Kumohon ampun agar kita bebas pada hari "pengadilan"

Ucapan 24:

Pohonan rokan tepian sawah,
Ranum buahnya terlerai jatuh;
Hamba sulamkan jalinan ukhuwah,
Moga pintalannya tersimpula kukuh.

Ucapan 25:

Sebelum cahaya syurga terpadam,
Sebelum hidup ini berakhir,
Sebelum Ramadan menjelang lagi,
Kumohon maaf zahir dan batin,
Maat atas pertuturan yang tak terjaga,
Janji-janji yang terabaikan,
Hati yang kadang kala berprasangka, dan
Sikapku yang pernah menyakitkan,
Maafkanlah kekhilafanku ini,
Salam Syawal.

Ucapan 26:

Walau langkah tak bertemu,
Tangan tak berjabat,
Ucap tak terdengar,
Mata tak bertentang,
Mohon maaf segala kesilapan,
Kerana ada tikanya mata silap memandang,
Telinga salah mendengar,
Lidah terlanjur berkata-kata, dan
Hati tersalah menduga,
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, dan
Yang buruk itu datangnya daripada diriku sendiri.

Ucapan 27:

Sebening wuduk, sesuci al-Quran,
Seindah dan setenang hati yang tiada benci,
Iri hati dan dendam,
Jika tangan tak sempa berjabat,
Jika wajah tak bersua,
Bukalah pintu kemaafan,
Salam Aidilfitri.

Ucapan 28:

Lisan kadang-kadang tidak terjaga,
Janji kadang-kadang tidak tertunai,
Hati kadang-kadang berprasangka,
Cakap kadang-kadang menyakitkan,
Hidup ini menjadi indah, jika masih ada kemaafan.
Saya menyusun 10 jari memohon jutaan ampun dan maaf.

Ucapan 29:

Menyusun jari mohon kemaafan,
Di hari raya penuh keceriaan,
Sebulan puasa penuhi amalan,
Moga tuhan memberi kurniaan.

Ucapan 30:

Dalam kelembutan lidah ada keterlanjuran kata,
Dalam perbuatan mungkin ada yang terkasar,
Hanya ampun dan maaf dipinta.
Salam Aidilfitri.

Ucapan 31:

Menadah tangan tanda kesyukuran,
Ramadan berakhir Syawal dinantikan,
Salam dihulur pohon kemaafan,
Tulus dan ikhlas sesuci lebaran.

Ucapan 32:

Syawal nan indah menjelma kini,
Ramadan yang mulia melambai pergi;
Salam kemaafan dari hati nurani,
Segala kesilapan mohon dimaafi.

Ucapan 33:

Masak lemang sambil berdiri,
Hendak makan di Aidilfitri;
Nak hantar kad raya posmen dah cuti,
SMS diberi bukan lupa tradisi,
Tapi ikut teknologi terkini yang ada di hujung jari.

Ucapan 34:

Biar kulit segelap ALMOND LONDON,
Asalkan hati sesuci KUIH BANGKIT,
Biar iman sekental DODOL,
Jangan senipis REMPEYEK.
Biar jiwa selembut BAULU,
Asalkan akhlak secantik BISKUT DAHLIA.
Senyumlah semanis WAJIK,
Agar lebaran yang disambut lebih bermakna.

Ucapan 35:

Ada tikanya suara kita tak senada,
Ada tikanya tingkah kita tak sehaluan,
Ada tikanya bicara saya menguris rasa,
Ada tikanya laku saya melukai jiwa,
Maka pada hari mulia ini saya titipkan salam kemaafan, dan
Salam Aidilfitri.

Jumaat, 18 September 2009

CAKNA: 19 - SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI




Dengan perasaan rendah diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan pengetua, guru, dan pelajar di seluruh negara yang mengenali
saya sama ada menerusi program jerayawara bahasa atau pertemuan yang dirancang atau sebaliknya. Mudah-mudahan sambutan Hari Raya tahun ini membawa keberkatan dalam hidup dan sentiasa dirahmati Allah.

MAAF ZAHIR DAN BATIN daripada saya dan keluarga.

Rabu, 16 September 2009

PENGAJARAN BAHASA: 2 - KARANGAN BERFOKUS - SEMANGAT PATRIOTISME


Berdasarkan bahan paparan yang dipetik daripada peristiwa hitam "Bukit Kepong", guru boleh menggunakannya sebagai set induksi bagi pengajaran kemahiran menulis karangan. Oleh itu, berikut disertakan contoh beberapa soalan karangan yang terpilih daripada soalan peperiksaan percubaan SPM antara negeri yang memfokuskan isu semangat patriotisme:

1. Yayasan Islam Kelantan:

Pemupukan semangat patriotisme sangat penting untuk melahirkan masyarakat penyayang, negara yang aman, bangsa yang bersatu padu, dan keluhuran budi. Berikan pandangan anda tentang usaha yang perlu dijalankan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita.


2. Negeri Sembilan:


Sempena sambutan Bulan Patriotisme, Persatuan Sejarah sekolah anda telah mengadakan pertandingan syarahan. Tajuk syarahan itu ialah ‘Kepentingan Menjaga dan Memulihara Bangunan Bersejarah’. Anda berminat untuk menyertai pertandingan tersebut. Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.


3. MRSM:


Semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat semakin luntur kerana banyak pihak kurang melibatkan diri dalam program-program yang dianjurkan. Jelaskan langkah-langkah yang wajar dilaksanakan untuk menyuburkan semangat patriotisme.


4. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:


Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah diperkenalkan di sekolah-sekolah untuk melahirkan murid yang patriotik dan bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Sebagai ketua editor majalah sekolah anda ditugaskan menemu bual guru mata pelajaran berkenaan untuk mendapatkan pandangan beliau tentang kepentingan mata pelajaran tersebut. Tulis temu bual anda selengkapnya.


* Pelajar khususnya bakal calon SPM tahun ini bolehlah memanfaatkan soalan tersebut sebagai persiapan awal menjelang peperiksaan SPM. Pelajar yang berminat bolehlah menghantarkan karangan yang telah siap untuk diperiksa dan dialamatkan ke e-mel saya - tampan88@yahoo.com