SELAMAT DATANG KEPADA SEMUA PENGUNJUNG DAN PENCINTA BAHASA..SAMA-SAMA KITA BERPEGANG TEGUH PADA PRINSIP MEMBIASAKAN YANG BETUL DAN MEMBETULKAN YANG BIASA.
Khamis, 30 Julai 2009
JERAYAWARA BAHASA 1- SMK SRI MUDA, PENAGA
RENCANA UMUM 6: MEMPERKASA INDUSTRI AKUAKULTUR
Rencana ini disiarkan di dalam majalah E@Siswa, oleh Hj. Samat Buang
Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah mengenal pasti akuakultur sebagai satu subsektor perikanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ikan negara. Akuakultur ialah proses menternak spesies hidupan (haiwan dan tumbuhan) air tawar, air payau atau air masin dalam persekitaran yang terkawal. Selain itu, akuakultur juga merangkumi segala aktiviti pengeluaran, pemprosesan, dan pemasaran produk hidupan air. Matlamat utama akuakultur dijalankan adalah untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti | |
ternakan, serta menggunakan sepenuhnya sumber tanah dan perairan yang sedia ada. Antara kawasan yang boleh dimajukan untuk akuakultur adalah tasik, bekas lombong, empangan, kolam, konkrit, muara sungai dan laut serta akuarium. Sementara itu, antara spesies yang boleh dijalankan untuk projek akuakultur ialah ikan tilapia, keli, baung, patin, temoleh, jelawat, lampam, karp, haruan, udang galah, dan ikan hiasan untuk perairan air tawar dan kerapu, siakap, jenahak, udang harimau, tiram dan siput sudu untuk perairan air payau dan laut. |
Rabu, 29 Julai 2009
SEGMEN BAHASA: 1 - PERBEZAAN ANTARA 'KAMI' DAN 'KITA'
YANG MANA SATU BETUL ANTARA "KAMI" DAN "KITA"
Misalnya: jika Ali dan Abu memberitahu Kamariah:
(i) Kamariah, tadi kami pergi menangkap ikan di kolam.
Maksudnya: ayat ini menunjukkan bahawa hanya Ali dan Abu yang menangkap ikan di kolam. Kamariah tidak pergi menangkap ikan di kolam.
(ii) Kamariah, mari kita pergi mendaki Gunung Datuk.
Maksudnya: dalam ayat ini merujuk kepada Ali, Abu, dan Kamariah pergi mendaki Gunung Datuk.
RENCANA UMUM 5: MEMBANTERAS SAMSENG JALANAN
Rencana Umum : Membanteras Samseng Jalan di dalam majalah FOKUS SPM, oleh Hj. Samat Buang
Isu yang mendapat perhatian dan menjadi kebimbangan masyarakat kini ialah isu gejala “samseng jalanan” atau “mat rempit” yang bukan semakin berkurangan atau terkawal, tetapi sebaliknya semakin menjadi-jadi. Mereka bukan sekadar mencetus ketidakselesaan malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Baru-baru ini Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata istilah “mat rempit” perlu ditukar kepada “samseng jalanan”, di samping dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori kepada golongan ini. Pindaan tersebut mampu memberi kesan lebih besar untuk membanteras kegiatan itu yang makin berleluasa.
Sebenarnya, gejala mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini. Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, sebelum ini pernah mengemukakan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing. Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, banyak orang berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak banyak yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Keadaan sebaliknya di sini kerana banyak bermotosikal. Jadi, wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Tegasnya, merempit itu sudah menjadi satu budaya dalam kalangan pemilik motosikal ini. Di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal. Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada-ada saja kejadian merempit.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Ogos 2009
KOSA KATA: 3 MODUS OPERANDI
Modus operandi: (bahasa pinjaman Latin)
Maksudnya: cara (prosedur dsb.) untuk melakukan (melaksanakan) sesuatu.
(b) Kedua-dua kejadian jenayah di bandar itu memperlihatkan modus operandi yang sama.
Isnin, 27 Julai 2009
KOSA KATA : 2 - PRAKARSA
KOSA KATA: 1 - JERAYAWARA
(a) Persatuan itu melaksanakan program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri jerayawara yang meliputi seminar dan pameran.
(b) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengadakan sesi jerayawara di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menerangkan proses penjualan PPR bermula bulan depan.
Sumber: Kamus Dewan Edisi Empat
Ahad, 26 Julai 2009
JERAYAWARA: PENGHAYATAN KOMSAS
Pada pagi Jumaat yang syahdu, 24 Julai 2009 saya berkesempatan singgah di SMK Tun Perak, Jasin atas undangan sahabat saya, Tuan Hj. Ab. Rani Embi yang bertindak selaku urus setia program Penghayatan KOMSAS peringkat negeri Melaka 2009 anjuran bersama Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan. Dalam majlis tersebut, saya diberi ruang dan kesempatan untuk membincangkan analisis KOMSAS peringkat SPM kepada pelajar-pelajar SPM SMK Tun Perak dan beberapa buah sekolah jemputan di sekitar Jasin dan Melaka Tengah. Selain itu, sesi kedua dan ketiga diisi dengan ceramah daripada Puan Nisah Haron (pengarang teks Annyss Sophillea dalam antologi Anak Laut) dan Puan Hjh. Mahaya Mohd. Yassin yang masing-masing berkongsi pengalaman tentang penulisan cerpen dan puisi. Kepada semua peserta kursus Dialog KOMSAS, diharap dapat memanfaatkan segala pengisian yang disampaikan khususnya dalam menghadapi soalan pemahaman yang terdapat dalam kertas Bahasa Melayu 2 peringkat SPM. Terima kasih sekali kepada Tn. Hj. Ab. Rani dan juga pihak DBP Wilayah Selatan yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan program jerayawara KOMSAS kali ini.
Sabtu, 25 Julai 2009
RENCANA UMUM 4: MENJANA INDUSTRI HERBA NEGARA
Rencana ini disiarkan di dalam majalah FOKUS SPM, oleh Hj. Samat Buang
Mengenai potensi pasaran produk herba, kita tidak perlu bimbang kerana trend masyarakat dunia yang berpendidikan mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi. Tumbuh-tumbuhan dan herba seperti hempedu bumi, selaseh hitam, ulam raja, dukung anak, tongkat ali, misai kucing, dan sebagainya mempunyai khasiat yang cukup tinggi dalam penjagaan kesihatan dan melawan penyakit. Namun, penggunaan produk berasaskan herba ini kurang mendapat sambutan dan pendedahan yang sewajarnya sehingga dikategorikan sebagai ubat-ubatan alternatif semata-mata. Sebenarnya, inilah tanggapan negatif yang perlu diperbetul dalam memacu industri herba ke peringkat yang lebih tinggi. Kita tidak menolak keberkesanan ubat-ubatan moden dalam melawan penyakit dan penjagaan kesihatan, tetapi kita sentiasa didedahkan dengan ungkapan ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Apa-apa yang penting ialah sumber asas yang kita miliki akan menjadi harta intelek sendiri dan secara langsung menggalakkan penggunaan produk tempatan untuk gaya hidup yang sihat.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Jun 2009
Rabu, 22 Julai 2009
RENCANA UMUM 3: ANTARA SUKAN DAN AKADEMIK
Rencana ini disiarkan di dalam majalah Fokus SPM, Julai oleh Hj. Samat Buang
Majoriti rakyat Malaysia rata-rata masih kurang yakin untuk menjadikan sukan sebagai karier profesional, faktor utama yang menyebabkan pembangunan sukan negara berjalan agak lembap. Mengikut kajian setakat ini hanya 18 sehingga 20 peratus masyarakat yang membudayakan sukan berbanding di negara luar seperti Denmark 74 peratus kanak-kanak dan remajanya bersukan. Di negara maju lain 50 hingga 60 peratus masyarakatnya bersukan kerana menyedari pentingnya aktiviti tersebut. Kebanyakan individu di negara ini lebih yakin bahawa akademik mampu memberi jaminan masa depan lebih baik berbanding sukan. Justeru, hanya segelintir atlet serius dengan kerjaya mereka, manakala selebihnya hanya menjadikannya sebagai hobi dan tidak berharap untuk memajukan diri dalam sukan yang diceburi. Kita mahu sukan dijadikan kerjaya profesional, tetapi kita perlu meyakinkan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka menjadi atlet secara serius. Namun, antara kepentingan bersukan dan akademik, ibu bapa mempunyai pendapat tersendiri, khususnya dalam mempengaruhi pilihan anak-anak mereka kerana membabitkan masa hadapan kanak-kanak tersebut. Ibu bapa lebih mementingkan kelulusan akademik walaupun bersukan dikatakan mampu memberi masa depan yang cerah kepada anak-anak mereka.
Sebenarnya usaha untuk mengadakan sukan sekolah tidak terhenti setakat di peringkat sekolah sahaja, malah pelajar yang aktif dalam sukan diberi ruang untuk terus bersaing di peringkat yang lebih mencabar khususnya dalam acara sukan peringkat daerah, peringkat negeri, dan peringkat kebangsaan. Di Malaysia, kita bernasib baik kerana Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) diwujudkan dan sentiasa aktif melakar pelbagai kejohanan dan program. Tanpa aktiviti pendidikan sukan di peringkat sekolah, Malaysia mungkin ketandusan atlet. Apabila mereka menamatkan persekolahan di tingkatan lima, di mana mereka hendak teruskan bakat dan minat mereka? Berapa banyak agaknya kelab-kelab sukan amatur yang aktif menawarkan tempat kepada kumpulan pelajar tersebut. Akibatnya, bakat dan minat mereka hilang begitu sahaja dan menyumbang kepada gejala lepak dan masalah gejala sosial lain. Senario tersebut tidak berlaku di kebanyakan negara lain masa kini. Mereka mempunyai banyak atlet yang bukan sahaja lahir melalui kejohanan sekolah, tetapi juga puluhan kejohanan peringkat kelab-kelab sukan amatur di negara mereka. Oleh sebab itu, mereka mempunyai lebih pilihan dan dapat menghasilkan yang lebih terbaik antara yang terbaik. Tegasnya, kejohanan sukan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) merupakan landasan bagi menghasilkan generasi atlet pelapis negara.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah Fokus SPM, Julai 2009