Selasa, 15 November 2011

KERELEVANAN ARTIKEL "MENGUKUHKAN PERPADUAN AGENDA UTAMA NEGARA" DENGAN SOALAN 3 BAHASA MELAYU 1 SPM 2011


Alhamdulillah....Artikel saya bertajuk "Mengukuhkan Perpaduan Agenda Utama Negara" hlm. 71 dalam buku Koleksi Rencana Umum Jilid 2 secara tidak lan gsung dapat dimanfaatkan untuk menjawab soalan 3 kertas Bahasa Melayu 1 SPM 2011 yang berbunyi:
Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah anda. Tajuk syarahan anda ialah "Perpaduan Rakyat Asas Kemajuan dan Kemakmuran Negara". Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.

Isnin, 14 November 2011

SOALAN KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2011

Alhamdulillah usai sudah Kertas Bahasa Melayu 1 SPM 2011 sekali gus menjawab segala teka-teki sebelum ini. Mudah-mudahan semua calon SPM hari ini dapat menjawabnya dengan baik dan memperoleh markah yang cemerlang. Teruskan perjuangan anda untuk menghadapi kertas Bahasa Melayu 2 pada sesi petang ini.


Ahad, 13 November 2011

ISU-ISU KARANGAN YANG HANGAT DALAM BUKU KRU









Semoga bakal calon SPM 2011 memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam kertas Bahasa Melayu 1 dan 2, sekali gus peringkat SPM keseluruhannya. Kepada semua pelajar yang pernah mengikuti Program Jerayawara Bahasa dan membeli kedua-dua buah buku Koleksi Rencana Umum saya diharap dapat menjawab kertas soalan dengan tenang dan berhati-hati. Semak dengan teliti jawaban anda sebelum menyerahkan kertas jawaban kepada pengawas peperiksaan. Selamat maju jaya!!!

Sabtu, 12 November 2011

PECUTAN TERAKHIR NOVEL PRA-SPM - PERWATAKAN WATAK UTAMA

Novel Renyah

Watak utama - Datuk Dolhi

1. Usahawan yang berjaya

Datuk Dolhi mempunyai empayar perniagaan secara usaha sama dengan Albert Lee dalam perniagaan Dolhi-Albert Holding.

2. Bertanggungjawab

Beliau masih memberi nafkah kepada anaknya, Wahi melalui ibu mentuanya walaupun isterinya, Mastura telah meninggal dunia.

3. Penyayang

- Datuk Dolhi tetap sayang kepada semua anaknya walaupun anak-anaknya itu banyak menimbulkan masalah kepadanya kerana mencemarkan nama baiknya.

4. Penyabar

- Datuk Dolhi tetap bersabar dengan pelbagai kerenah anak-anaknya yang bermasalah.

5. Berani

- Beliau telah membuat keputusan untuk melantik Wahi sebagai penggantinya dalam Dolhi Albert Holding walaupun dia tahu bahawa Albert Lee ingin menguasai syarikat tersebut.

6. Rajin

- Beliau rajin mengikuti seminar keusahawanan dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan motivasi.

7. Berwawasan jauh

- Sebagai usahawan yang berwawasan jauh, beliau sentiasa mencari rakan kongsi baharu sambil melihat peluang niaga.

- Beliau merancang untuk menubuhkan kolej swasta sendiri yang berorientasikan keusahawanan.

8. Mempunyai daya ingatan yang kuat

- Datuk Dolhi masih mengingati lagu-lagu Jepun semasa zaman persekolahannya dahulu.

Novel Sutera Dalam Lukisan

1. Bertanggungjawab

- Bujei mencuba untuk menyelamatkan ibunya daripada kebakaran di rumahnya, tetapi tidak berjaya kerana api marak terlalu cepat dan dihalang oleh orang ramai.

2. Berani

- Bujei dengan berani menerkam bapa tirinya, Harun kerana ingin membela ibunya, Fatimah yang diterajang sehingga pengsan.

3. Suka berangan-angan

- Bujei suka berangan-angan agar dia berubah suatu hari nanti, hidup senang, bekerja, dan bergaji besar

4. Rajin

- Biasanya pagi-pagi Bujei akan menunggu sesiapa sahaja yang pergi menoreh getah dan berharap mereka akan mempelawanya untuk menolong di kebun semata-mata untuk mendapat upah

5. Mempunyai harga diri

- Ketika Bujei berada di kedai Pak Sulong, Bujei tidak suka meminta-minta daripada pelanggan yang minum di situ kerana dia masih mempunyai harga diri.

6. Merendah diri

- Bujei keberatan untuk berjumpa Adila apabila disuruh oleh Mak Lamah kerana dia merasakan dirinya bodoh, tetapi akhirnya dia memberanikan diri untuk bersemuka dengan Adila

7. Pandai berjimat

- Bujei tidak menggunakan wang pemberian Wak Senen yang besar nilainya malah disimpannya dengan rapi di dalam kendi di rumahnya.

8. Berbakat dalam bidang nyanyian

- Bujei mendendangkan lagu Bahtera Merdeka semasa majlis perkahwinan Same’ah sehingga memukau orang ramai dengan kemerduan suaranya.

PERINGATAN:

Jawaban bagi genre novel perlu ada pernyataan dan diikuti dengan huraian contoh peristiwa yang berkaitan

JAWABAN LATIH TUBI PECUTAN TERAKHIR PRA-SPM: SOALAN PEMAHAMAN

2 (b) - Petikan Cerpen

(i) Sebab:

- menjamu anak-anak Kampung Langat 1

- menjamu cucu cicitnya dari pusat-pusat pengajian tinggi yang datang

menemu ramahnya untuk menulis tesis 1

- menjamu cucu cicitnya yang datang menemu ramahnya untuk membuat

buku sama ada yang jauh atau yang dekat 1

Maksimum: 2 markah

(ii) Wajar dikenang dan dihargai:

- meningkatkan semangat patriotik 1 - mengenang kembali perjuangan mereka 1

- sebagai penghargaan / membalas jasa /berterima kasih kepada mereka 1

- menjadi contoh atau teladan kepada rakyat /generasi muda 1

Maksimum: 3 markah

(iii) Satu pengajaran dalam petikan:

- Kita hendaklah mempunyai sikap menyayangi sesama manusia

Contoh: Pak Itam mengasihi anak cucunya dan penduduk kampung

menyebabkan dia mengadakan majlis khas untuk mereka. 1+1

- Kita haruslah mengamalkan sikap bijak menggunakan masa

Contoh: Walaupun berusia 85 tahun, Pak Itam masih mempunyai masa

untuk menternak ayam serta memelihara kucing. 1+1

- Kita hendaklah bersikap saling menghargai antara satu sama lain

Contoh: Pak Itam tidak pernah menghampakan permintaan orang yang

ingin berjumpa dengannya. 1+1

Maksimum: 2 markah

Satu pengajaran dalam cerpen:

- Kita hendaklah mengamalkan sikap tolong-menolong.

Contoh: Tuk Mat dan orang kampung menolong Pak Itam membuat

persiapan majlis hari jadi Pak Itam. 1+1

- Kita haruslah tabah dalam mengharungi kehidupan.

Contoh: Pak Itam tabah menghadapi situasi ditinggalkan isteri dan anak-

anaknya kerana prinsip perjuangannya. 1+1

- Kita janganlah melupakan jasa tokoh yang banyak berjasa kepada negara

Contoh: Wartawan yang diundang ke majlis hari jadi Pak Itam tidak

hadir untuk membuat liputan. 1+1

- Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah Tuhan dengan meningkatkan amal ibadah

Contoh: Pak Itam sentiasa menunaikan ibadah tepat pada waktunya sehingga dia meninggal dunia ketika menunaikan solat. 1+1

Maksimum: 2 markah

2(c) - Prosa Klasik

(i) Maksud:

- Mahu melaksanakan tugas tersebut tanpa berlengah-lengah

Maksimum: 2 markah

(ii) Tindakan:

- bermesyuarat sesama mereka 1

- menghadap / berjumpa ke bawah Duli Raja Bahrum Dewa 1

- memaklumkan kepada ke bawah Duli Raja Bahrum Dewa 1

Maksimum: 3 markah

(ii) Bukti:

- menyumbangkan tenaga /sanggup berkorban 1

- tidak memburuk-burukkan pemerintah / pemimpin 1

- mematuhi undang-undang negara 1

- memberikan kerjasama / sokongan padu tanpa berbelah bagi 1

Maksimum: 3 markah

2 (d) - Petikan Puisi

(i) Gambaran:

- remaja amat mahal /bernilai 1

- tiada terbeli oleh perjanjian 1

- berpendirian 1

- berani 1

- - berilmu 1

Maksimum: 2 markah

(ii) Cara-cara:

- tidak terlibat dalam gejala sosial 1

- berjaya /lulus dalam pelajaran/ peperiksaan 1

- sentiasa mengikut peraturan /norma yang terdapat dalam masyarakat 1

- tidak melanggar undang-undang negara 1

- menghormati ibu bapa /orang yang lebih tua /pemimpin 1

- mempunyai penampilan /sahsiah diri yang terpuji 1

- dapat memberi sumbangan kepada keluarga /masyarakat /negara 1

Maksimum: 3 markah

(iii) Tiga persoalan:

- persoalan jati diri remaja 1

- persoalan kehidupan remaja yang penuh cabaran dan dugaan 1

- persoalan keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan 1

- persoalan hala tuju hidup dalam diri remaja 1

Maksimum: 4 markah

Jumaat, 11 November 2011

LATIH TUBI PECUTAN TERAKHIR PRA-SPM: SOALAN PEMAHAMAN

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Esok pasti meriah, semua yang datang pasti puas, semua akan bercakap. Esok genaplah 85 tahun usia Pak Itam sebagai penghuni dunia ini. Ini cita-citanya, inilah harapannya, tersemai cambah, berbunga dan berbuah di dalam hatinya, duit yang ada, baki sekembalinya dari Makkah akan dibelanjakan untuk kenduri menyambut hari lahirnya. Bukan meniup lilin yang menyala di atas kek, bukan menyanyi lagu Happy Birthday to You, tidak! Hari ulang tahun yang pertama kali disambut semenjak dia lahir ke dunia ini ialah hari untuk menjamu anak-anak Kampung Langat, cucu cicitnya di pusat-pusat pengajian tinggi yang datang dan pergi menemu ramah untuk menulis tesis, menemu ramah untuk membuat buku, jauh dan dekat. Datanglah, Pak Itam tidak pernah menolak, kalau dia tidur, kejutlah, dia akan bangun. Kalau dia bergelumang dengan tahi ayam di reban, menunduk memberi makan kucing-kucingnya di kandang, panggillah! Jeritlah! Pak Itam tidak pernah menghampakan sesiapa. Semenjak dari zaman remaja hingga berusia 85 tahun, dia tidak pernah menghampakan harapan orang, apatah lagi menghina dan mengecilkan hati orang. Kalau tidak, untuk apa dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya, masuk penjara keluar penjara? Zaman Inggeris, dia masuk penjara, zaman Jepun pun dia masuk penjara. Di Singapura, di Pudu, di Melaka dan di Johor. Buat apa dia menyusahkan diri? Bukankah dia anak Melayu yang pertama menjadi majistret di Malaya ini?

(Dipetik daripada cerpen ‘Memori Seorang Tua’ oleh Zahari Affandi dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah tujuan Pak Itam mengadakan sambutan hari lahirnya? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah jasa tokoh pejuang seperti Pak Itam wajar dikenang dan dihargai? [3 markah]

(iii) Huraikan satu pengajaran dalam petikan cerpen dan satu pengajaran lain daripada keseluruhan cerpen.

[4 markah]

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebermula pada tiap-tiap hari siang dan malam, orang berkawal di bawah mahligai Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi itu. Empat orang menteri dan empat orang hulubalang memegang senjata dan berbaju rantai berkawal di bawah mahligai tuan puteri itu. Setelah didengar oleh hulubalang suara orang tertawa di atas mahligai tuan puteri itu maka katanya, “Apalah bicara tuan hamba sekalian?” maka kata seorang lagi, “Pada bicara hamba baiklah kita persembahkan ke bawah duli dahulu. Apalah juga titah Yang Dipertuan kita kerjakan.” Setelah sudah ia mesyuarat itu maka menteri keempat itu pun masuklah menghadap Raja Bahrum Dewa. Maka katanya kepada biduanda itu, “Pergilah persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan katakan, pada malam tadi kami berkawal di bawah mahligai tuan puteri itu kami dengar suara laki-laki ketawa di atas mahligai tuan puteri itu, hendak disegerakan pekerjaan itu kerana belum kami persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan.”

Setelah demkian kata menteri itu maka biduanda pun pergilah menghadap Raja Bahrum Dewa itu serta dipersembahkannya perkataan segala menteri yang berkawal di bawah mahligai itu.

Dipetik daripada ‘Hikayat Langlang Buana’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,

Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Apakah maksud rangkai kata hendak disegerakan pekerjaan itu.

[2 markah]

(ii) Nyatakan tindakan yang dilakukan oleh menteri dan hulubalang setelah mereka mendengar suara orang ketawa di atas mahligai tuan puteri itu?

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah rakyat dapat membuktikan kesetiaannya kepada pemerintah?

Berikan tiga cara membuktikannya.

[3 markah]

(d) Baca sajak di bawah teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Harga Remaja

Berapakah sebenarnya harga remaja

yang bersih

dari gelodak kecewa

bagai kehijauan daun

bagai kesegaran pohon

di pinggir perjalanan ini?

dengan apakah akan kaupenuhi

piala remajamu

adakah cuka kesangsian

dari cinta murah

atau madu ajaran

dari ilmu susah?

Remaja amat mahal

sesungguhnya

tiada terbeli oleh perjanjian

harga remaja adalah

pendirian

keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu

dengan ketentuan tuju .

Rahman Shaari

Antologi Harga Remaja

Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Nyatakan gambaran tentang remaja dalam rangkap ketiga?

[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang dapat dilakukan oleh remaja agar dihargai oleh masyarakat?

[3 markah]

(iii) Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut.

[4 markah]