Rabu, 12 Ogos 2009

CAKNA : 3 - ENAM LAGI KEMATIAN


Enam lagi kematian
(Gambar Hiasan - pakailah topeng sebagai langkah pencegahan awal)

PUTRAJAYA 11 Ogos - Jumlah kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) terus meningkat apabila enam lagi mangsa dicatatkan hari ini menjadikan 38 kes setakat ini. Sebanyak 270 kes baru dilaporkan yang kesemuanya jangkitan tempatan menyebabkan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,252 kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, empat daripada enam kematian melibatkan golongan berisiko seperti menghidap kencing manis, hipertensi dan asma. ''Pada masa ini terdapat 56 pesakit sedang dirawat di hospital manakala empat daripada 19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berisiko antaranya mempunyai penyakit kronik, obesiti dan baru bersalin. ''Bagaimanapun, 11 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital semalam,'' katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal: Pengurusan Penyakit Diabetes Mellitus Jenis Kedua edisi keempat di sini hari ini.

Merujuk kepada situasi global, sejumlah 208,990 kes dengan 1,716 kematian dilaporkan di 174 negara iaitu peningkatan sebanyak 835 kes dengan 28 kematian sehingga kini. Mohd. Ismail berkata, ujian pengesahan H1N1 dijangka boleh dijalankan di hospital-hospital negeri dalam masa dua minggu lagi. ''Ujian rapid yang dijalankan di semua hospital dan klinik sekarang ini tidak dapat mengesan seseorang mempunyai demam biasa atau dijangkiti H1N1 kerana ia mempunyai had tertentu. Rawatan antiviral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. ''Kita hanya menjalankan ujian pengesahan virus itu jika pesakit dimasukkan ke hospital sahaja,'' katanya. Dalam pada itu, Mohd. Ismail berkata, sekolah dan pusat pengajian tinggi tidak akan ditutup sewenang-wenangnya jika hanya terdapat satu kes yang dilaporkan. ''Kita sudah berbincang dengan Kementerian Pelajaran, tidak akan tutup sekolah kerana kita akan menghantar pasukan perubatan untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu jika situasi merbahaya atau sebaliknya,'' katanya. Tambah Mohd. Ismail, semua klinik dan hospital kerajaan termasuk swasta telah diarah memberikan rawatan dan menjalankan ujian ke atas pesakit yang datang untuk membuat pemeriksaan. ''Pesakit yang pergi ke hospital dinasihatkan memakai penutup mulut kerana kita tidak mahu orang lain pula dijangkiti. ''Bagaimanapun 98 peratus daripada pesakit yang dijangkiti virus H1N1 boleh sembuh sekali pun tanpa mendapatkan rawatan. ''Tetapi bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka boleh diancam maut akibat virus itu. Oleh itu, jika mereka mempunyai tanda-tanda dijangkiti adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Ogos 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan