Khamis, 26 Mac 2015

PENDIDIKAN ABAD KE-21

PENDIDIKAN ABAD KE-21

Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar bergantung kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang diperhatikan dalam masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita beri kepada pemuda-pemudi kita. Selanjutnya, apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan ‘Education is that which remains, when one has forgotten all that he learned in school’? (Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang lupa apa yang dipelajari di sekolah.) Bukankah kenyataan itu bersifat ironik? Barangkali kenyataan itu mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan setakat mengisi ilmu ke dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi. Sebaliknya, lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, pendidikan seharusnya mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill and Knowledge) untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi ‘rata’ (The World is Flat, Thomas L. Friedman).

Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu:  
(i) ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu); 
(ii) ‘Learning to do’ (belajar untuk buat); 
(iii) ‘Learning to live together’ (belajar untuk hidup bersama) dan 
(iv) ‘Learning to be’ (belajar untuk menjadi). Pada peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan secara mendalam dalam bidang-bidang tertentu. ‘Belajar untuk tahu’ membantu seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajar—sesuatu kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan ilmu itu. ‘Belajar untuk buat’ bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan, menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.


Kita semua perlu kerap mengingatkan diri kita sendiri bahawa, tidak kira betapapun perbezaan kita dari segi bangsa, agama, status sosial, ekonomi, politik atau aspek-aspek yang lain, kita hidup di atas planet yang sama. Lambat –laun, suka atau tidak suka, secara langsung atau tidak langsung, masalah orang lain akan menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem pendidikan untuk melatih ‘belajar untuk hidup bersama’ jelas dilihat dari hal-ehwal semasa yang berlaku di sekitar kita. Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar, pembentukan struktur pentadbiran, perjawatanan, sehingga ke pelaksanaan di peringkat sekolah, dengan sendirinya menjadi satu model (sama ada baik atau tidak) kepada pendidikan yang berunsurkan ‘belajar untuk hidup bersama’ . Usaha membawa pendidikan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dapat diperhatikan dari aspek pemupukan saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling bergantung (interdependence), pengurusan konfik dengan semangat saling menghormati nilai-nilai pluralistik dan saling kesefahaman yang mementingkan keharmonian. Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran tersebut perlu digiatkan melalui pendekatan yang lebih holistik. Dalam konteks ini, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat secara umumya, ada peranan untuk membimbing mereka yang terperangkap di dalam konflik kefahaman antara apa yang dipelajari dengan realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu lebih merupakan persepsi yang diakibatkan oleh prejudis dan akan menjadi berkurangan apabila mereka membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan positif ini harus diberi, tidak kira tahap keyakinan diri kita, demi untuk mencipta satu masa depan yang lebih cerah apabila kita semua benar-benar dapat hidup bersama.


Selanjutnya, ‘belajar untuk menjadi’ menuntut satu usaha pendidikan yang gigih ke arah membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu berkembang dengan optimum. Sekali lagi, perkara ini merupakan satu usaha padu yang mencabar, yang memerlukan koordinasi semua pihak dan semua peringkat yang koheren dan realistik. Kualiti pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang penting. Juga, semua sekolah mempunyai unsur-unsur yang berlainan yang kadang-kadang menyebabkan kaedah acuan ala kilang tidak terlaksana. Tahap ‘autonomi’ yang berpatutan diberi kepada sekolah akan mempengaruhi usaha untuk menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan murid melalui program mengikut acuan tersendiri.Saling kesefahaman tentang hakikat ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan poses ‘belajar untuk menjadi’. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan ‘belajar untuk menjadi’ amat dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi ruang dan peluang untuk pekembangan individulistik dan tanpa melalui ‘centralised mass command’ yang terlalu kerap.


Akhir sekali, yang paling mencabar ialah bagaimana merealisasikan segala yang dinyatakan di atas supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan, amalan dijadikan budaya, budaya membawa kejayaan, seruan menjadi realiti. Apa yang kurang daripada itu ialah retorik sahaja.


Sumber: http://thinkingallowed1.blogspot.com/

Isnin, 23 Mac 2015

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA - SMK AGAMA MAAHAD MUAR, MUAR













Tarikh: 21 Mac 2015 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi
Tempat: Perpustakaan Al-Ghazali SMKA Maahad Muar 

Diam tak diam sudah 7 tahun berturut-turut saya diundang ke Maahad Muar Terbilang. Saya sempat menyemak rekod saya, iatu bermula pada 3/7/2009; 17/7/10; 25/6/2011; 11/10/2012; 28/9/2013; 11/4/2014; dan 21.3.2015. Terima kasih banyak-banyak Puan Hjh. Aini Ariffin, Puan Mastura Idris, Puan Haslina, guru-guru Bahasa Melayu kerana memberi ruang dan kepercayaan untuk saya mengendalikan Program Jerayawara Bahasa selama ini. Saya turut berbangga dengan kejayaan akademik khususnya peningkatan peratus mata pelajaran Bahasa Melayu dari setahun ke setahun. Semoga input yang disampaikan semalam dapat menyuntik semangat para pelajar bakal calon SPM tahun ini melonjakkan peratus pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu dan lebih menyerlah daripada biasa seperti dalam lirik lagu yang mereka nyanyikan semalam.

Rabu, 11 Mac 2015

Ahad, 1 Mac 2015

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA - SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP, JOHOL








Tarikh: 28 Februari 2015 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi hingga 2.00 petang
Tempat: Dewan SMKDUAM

Terima kasih kepada Cikgu Norjilah Mohammad dan guru-guru Bahasa Melayu SMK Datuk Undang Abdul Manap, Johol kerana sudi mengundang saya untuk Program Jerayawara Bahasa buat kali pertama bagi sesi persekolahan 2015. Semoga segala input yang disampaikan dapat dimanfaatkan sekali gus menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak. Tahniah kepada semua pelajar yang hadir semasa program tersebut dan tidak ketinggalan pihak penganjur yang bersemangat tinggi kerana bertindak dari awal tahun lagi. Syabas!!!