Sabtu, 31 Oktober 2009

JERAYAWARA BAHASA 16: SMK TUNKU AMPUAN NAJIHAH, SEREMBAN


Pagi ini saya berkesempatan ke SMK Tunku Ampuan Najibah, Seremban, Negeri Sembilan. Program jerayawara bahasa bermula jam 8.30 pagi hingga 11.oo pagi dalam suasana yang dingin setelah hujan turun sejak awal pagi. Bagi saya, secara kebetulan kemungkinan besar program jerayawara bahasa ini merupakan program yang terakhir untuk tahun ini kerana Peperiksaan SPM akan bermula pada 18 November 2009. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada khususnya Puan Hjh. Noriah Akmal bt. Abdul Aziz (GKMP Bahasa) dan Datin Hjh. Zuraidah bt. Hj. Hashim (Pengetua) kerana masih sudi menerima kunjungan saya ke sekolah mereka untuk kali ketiga setakat ini. Meskipun peperiksaan SPM sudah semakin hampir, namun semangat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar yang hadir untuk program tersebut, di samping menggantikan cuti sekolah sempena sambutan Hari Deepavali tempoh hari masih berkobar-kobar. Tidak ketinggalan juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama guru-guru Bahasa Melayu yang lain termasuk Puan Fauziah Hashim (KP Bahasa Melayu), Puan Suzana, dan Encik Che Tajul Ab. Samad, dan Kaunselor SMKTAN, Puan Chew Boon Ngee.

Khamis, 29 Oktober 2009

KOSA KATA 3: PERLEPASAN & PELEPASAN







Anakku, Ahmad Shafie sempat bergambar sebelum melangkah masuk ke ruang menunggu pesawat.



Selepas balik dari sekolah jam 3.00 petang semalam, aku tidak sempat melepaskan jerih buat seketika, kerana terpaksa bersiap-siap untuk menghantar anak bujangku yang kedua ke Terminal LCC untuk urusan kerja di pelantar minyak, Miri, Sarawak. Lepas solat Asar, kami terus bergegas ke terminal kerana waktu mendaftar masuk (check in) dijadualkan jam 6.00 petang, sebelum penerbangannya ke Miri berlepas jam 7.00 malam. Tepat jam 5.45 petang kami sampai di terminal dan terus bergegas ke kaunter untuk urusan pendaftaran bersama-sama 7 orang stafnya yang lain. Sebelum itu, mereka dikehendaki mendaftarkan bagasi masing-masing sejurus melepasi alat pengimbas yang terdapat di kaunter tersebut dan kemudiannya ditimbang, serta mendapat pelepasan untuk bayaran berat muatan bagasi yang dibenarkan.
Selepas itu, aku hanya sempat menghantarnya sehingga ke muka pintu yang tercatat "Perlepasan Dalam Negeri" bagi melepaskannya masuk untuk menunggu pesawat sebelum berlepas ke Miri pada waktu yang ditetapkan. Secara kebetulan frasa "Perlepasan Dalam Negeri" menarik perhatian lensa kamera telefon bimbitku. Itulah sebahagian daripada proses pengimbuhan kata dasar "lepas" yang menerbitkan atau membentuk kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan sebagainya.

Menurut Kamus Dewan "perlepasan" dan "pelepasan" bermaksud:

* perlepasan - perihal berlepas;
* pelepasan - 1. perihal melepaskan: maka juara pun memadan ayamlah lalu dilepaskan dgn yg dipadan itu dua tiga juga, Raja Chulan tiada menang; 2. pembuangan, pemecatan; 3. Mn dubur: lubang ~; 4. perihal dikecualikan drpd sesuatu (spt membayar cukai dsb): ~ cukai pendapatan; 5. jalan keluar utk lari atau bebas drpd sesuatu: tidak mungkin Amir Hamzah, melalui karyanya, mencari ~ drpd realiti yg menekan keinginan dan kehidupannya.



Selasa, 27 Oktober 2009

RENCANA UMUM 13: PERANGI CETAK ROMPAK


Statistik 15 tahun lalu menunjukkan pendapatan daripada industri rakaman album tempatan mencatatkan perolehan berjumlah lebih RM200 juta. Tetapi sayangnya, pada tahun lalu perolehan itu menyusut dengan begitu ketara sekali apabila industri tersebut hanya mampu mengaut pendapatan sekitar RM70 juta sahaja. Fenomena tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dan keresahan pihak terbabit. Banyak faktor yang menyumbang kepada masalah itu antaranya ada yang berpendapat kerana faktor kelembapan ekonomi global, persaingan, kurangnya daya tarikan dalam sesebuah album, dan tidak kurangnya kerana isu kegiatan cetak rompak yang berleluasa. Akibatnya, banyak syarikat rakaman termasuklah yang besar dan kecil tidak berani untuk menerbitkan album-album baru kerana mereka enggan berdepan dengan risiko kerugian.
Kegiatan penjualan cakera padat (CD), cakera video digital (DVD), cakera padat video (VCD), dan perisian cetak rompak tiruan sememangnya amat sukar untuk dibendung oleh pihak berkuasa dari dulu sampai sekarang. Pelbagai tangkapan dibuat serta dikenakan tindakan mahkamah, namun aktiviti tersebut tetap muncul di sana sini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi mereka yang tidak peduli kedaulatan undang-undang serta memikirkan keuntungan semata-mata, aktiviti penjualan cakera, dan perisian tiruan itu memang menjadi profesion mereka. Kegiatan tersebut bukan sahaja dijalankan di pasar-pasar malam atau di kaki lima, malah ada yang semakin berani untuk menjualnya secara terbuka di premis perniagaan dan kompleks beli-belah. Malah, 'keberanian' peniaga terbabit yang seolah-olah tidak mempedulikan undang-undang itu tentu sekali mengundang pertanyaan dalam kalangan orang ramai, terutama para pengunjung kompleks beli-belah berkenaan.

Ikuti tulisan saya selanjutnya di dalam majalah E@Siswa, November 2009.

RENCANA UMUM 12: ANTARA OTAK DAN KEKUATAN MINDA


CETUSAN MINDA


ANTARA OTAK DAN KEKUATAN MINDA

Haji Mohd. Salleh Abdul Latif, Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)

MENURUT pakar perubatan bahawa tubuh manusia terdiri dari 200 tulang yang dicipta secara unik dengan mempunyai tugas kerja mekanik yang amat sempurna; 500 otot dengan jutaan serat otot dan serat saraf sepanjang kira-kira sebelas kilometer, semuanya teradun dengan begitu sempurna. Allah Yang Maha Mengetahui segalanya. Sistem pernafasan kita adalah sebuah sistem yang sangat cerdas. Sistem pencernaan, metabolisme dan sistem lain yang terdapat dalam tubuh kita ini adalah sungguh rumit dan kompleks.

Para saintis dan para ilmuwan serata dunia ini rata-rata mengakui bahawa mereka belum menemukan apatah lagi mengetahui sepenuhnya cara kerja sistem-sistem ini, apalagi bagi menggantikan fungsi-fungsi masing-masing dengan cukup memuaskan. Benar, kita mendengar ada orang mempunyai jantung berlubang dan digantikan dengan jantung tiruan. Tetapi jantung tiruan itu disokong oleh benda-benda lain dengan dukungan bateri dan seumpamanya. Jantung tiruan itu tidak dapat berfungsi sendiri tanpa didukung oleh alat-alat lain.

Sesungguhnya jantung manusia, jantung kita ini yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala adalah sejenis pompa mekanik alamiah yang paling mengagumkan dan unik. Kenapa? Pakar-pakar bedah dunia mendapati bahawa denyutan jantung manusia rata-rata 36 juta kali dalam setahun. Bayangkan, jumlah denyutan itu. Sifirlah sendiri berapa denyutan dalam sehari, setelah dibahagi kepada bulan, minggu dan hari. Itu baru jantung. Bagaimana pula mengenai otak? Pakar otak telah menemui beberapa perkara ajaib, sekubit cuma, tentang kuasa otak manusia. Mereka berkata bahawa otak manusia ini mempunyai lebih kurang 10 bilion sel yang disebut neuron. Setiap neuron atau satu-satu neuron itu pula memiliki 10 ribu rangkaian dengan sel-sel yang lain. Makhluk halus dari sejenis urat disebut synapse atau sinapse adalah jadi penghubung kepada rangkaian itu. Ini bermakna bahawa dalam otak manusia terdapat paling kurang 10 trilion, yakni 10,000,000,000,000 (tiga belas kali angka kosong) sinapse. Setiap sel itu mempunyai daya pengolahan yang lebih hebat daripada komputer peribadi. Semua makhluk halus yang luar biasa banyaknya ini terkandung dalam otak manusia yang kecil saja saiznya. Berat otak manusia hanya kira-kira tiga setengah paun.

Menurut pakar komputer dan pakar otak lagi bahawa secanggih, seberat serta sebesar manapun komputer langsung tidak akan sama dengan kebolehan dan kekuatan sistem otak manusia. Otak manusia dapat menyimpan seribu bit maklumat baru tiap-tiap saat di sepanjang hayat manusia. Allahuakbar! Mari saya huraikan perbandingan hasil penelitian puluhan tahun yang dilakukan oleh pakar-pakar elektronik dan komputer. Komputer peribadi (PC) seberat 6 paun boleh memproses dan menyimpan lebih 5 giga bit (byte), yakni 5 bilion megabyte yang boleh menaruh kira-kira lima buah ensiklopedia setebal 30 jilid tiap satu set dalam cekera padatnya, bayangkan daya muat komputer seberat 10 tan yang boleh menyimpan data beratus bilion megabyte saiznya. Nah, itulah saiz muatan otak manusia.

Ahli sains otak manusia berpendapat bahawa seluruh sistem telefon di dunia ini baru sama dengan kira-kira satu gram saiz otak manusia. Sebiji kacang beratnya baru satu gram. Lalu kajian terbaru mendapati bahawa apa-apa maklumat yang tersimpan dalam otak manusia sejak manusia masih anak damit dapat diingat oleh manusia itu sekiranya dia mengetahui tekniknya. Ini berkait dengan sistem kekuatan minda! Misal saja, saya yang sudah bernafas 62 tahun ini, alhamdulillah (bulan Oktober ini genap dua tahun menerima pencen tua 250 ringgit sebulan, alhamdulillah) bayangkan berapa banyak bit (byte) maklumat yang terakam dan tersimpan dalam otak saya. Namun maklumat itu tidak sampai ke mana jika kekuatan minda tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Allah mengurniakan manusia dengan bakat masing-masing, dengan kebolehan masing-masing, dengan keunikan masing-masing. Dan masing-masing harus tahu tanggungjawab dan peranan yang dilakukan dalam usaha kita menikmati kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di Akhirat.

Nah cuba bayangkan dan fikirkan, jutaan sistem sel dalam otak berjalan dengan harmoni tanpa ada yang keliru menjalankan fungsinya dan tugas masing-masing. Kemudian bandingkan apa akan terjadi kepada komputer peribadi jika kuasa tenaga iaitu arus elektrik tiada. Jika tidak disimpan muatan, semua perisian akan terus hilang. Hubaya-hubaya, jangan cuba disamakan kerja otak manusia dengan kerja mesin atau komputer. Ada orang terpesona dengan kecanggihan teknologi masa kini. Ada orang terbahangga dan geleng-geleng kepala bila nampak komputer riba yang canggih. Haruslah difahami bahawa komputer memproses dan menerima maklumat secara mekanikal, itu pun wajib didukung arus tenaga lain. Jika tidak didukung oleh arus tenaga misalnya elektrik maka ia akan jadi benda yang mati, langsung tidak berfungsi. Nah, kenapa kita gaplah dan terkial-kial bila arus tenaga elektrik tiada?

Otak manusia adalah anugerah dan ciptaan Tuhan. Manakala komputer adalah ciptaan manusia. Faham-fahamlah bahawa komputer itu dicipta oleh otak manusia! Jadi tidak perlu kita kalap-kalap mata dan kakai-kakai macam si Luncai terjun dengan labu-labunya bila diuar-uarkan dengan kecanggihan teknologi masa kini. “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” Demikian peringatan Surah Ath Thalaaq ayat 3 yang mengajak kita untuk berfikir tentang ketentuan sesuatu dari Allah jua. Ribuan tahun lamanya manusia mencuba mencari jawapan tentang keajaiban berfikir. Di mana letaknya minda manusia jika wujud? Benarkah minda manusia terletak dalam otak? Jika seorang pengkarya dapat melukis wajah Monalisa yang senyumnya mempesona dari setiap sudut dan mampan sepanjang zaman, adakah kebolehan ini semata-mata lahir dari otak manusia atau ya, dibantu oleh sistem lain yang lebih kuat daripada otak manusia.

Fikir-fikirlah bahawa renungan, khayalan dan berimaginasi adalah melalui kekuatan minda. Kekuatan minda adalah perkara yang berbentuk ghaib. Kenapa saya berkata begitu? Nah, jika minda itu wujud, lalu di mana letaknya! Memang ada yang bercakap bahawa kekuatan minda itu dalam otak. Lalu saya soal kembali: Bagaimana rupanya? Bagaimana bentuknya? Apakah kuasanya? Otak ya memang kita tahu ada tetapi kekuatan minda! Lalu jika seorang pengkarya dapat mencipta pantun yang dapat diingat sepanjang zaman, generasi demi generasi seperti di bawah, bukankah ini namanya kekuatan minda dan imaginasi pengkarya itu. Suatu sistem kekuatan imaginasi yang bukan semata-mata daripada otak manusia. Ini bukan kerja otak semata-mata. Tetapi dibantu oleh sanubari atau perasaan manusia. Nah, apakah secanggih manapun komputer langsung tidak mempunyai sanubari atau perasaan.

Pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas dapat dibayar
hutang budi dibawa mati.

Para ilmuwan Islam berpendapat bahawa manusia ini terdiri daripada dua sifat. Yang satu, jasad atau jasmaniah. Dan yang satu lagi, roh atau rohaniah. Nah, otak manusia adalah jasad. Manakala benda yang disebut minda itu termasuk dalam bahagian roh manusia yang tidak berjasad. Kita semua yakin bahawa kuasa minda lebih kuat daripada otak manusia. Benarlah, kita yang manusia ini, berfikir melalui otak. Tetapi merenung, berkhayal, bernostalgia, berimaginasi adalah melalui kekuatan minda. Otak dan kekuatan minda adalah dua perkara yang berbeza. Bukankah para sufi dalam Islam yakin bahawa manusia yang paling rapat dengan Tuhan akan dianugerahi kuasa rohaniah yang luar biasa. Kuasa minda apa? Mereka melihat melalui mata makrifat! Mendengar melalui telinga makrifat! Mengkaji ilmu melalui ilmu makrifat! Semua ini tidak dapat digapai melalui pancaindera manusia biasa. Kekuatan minda melalui makrifat ini hanya dapat dirasai melalui pengalaman yakni pengalaman berzikir secara tawaduk, pengalaman bertafakur secara rendah diri khusyuk, tidak sekadar berfikir sahaja.

Tanyalah kepada penganut-penganut setia agama lain misalnya Hindu, Buddha dan Kristian. Usaha-usaha mereka mendekatkan dengan Tuhan dilakukan juga melalui pengalaman di luar otak iaitu melalui pertapaan dan meditasi. Mengapa mereka bertapa? Tujuannya memantapkan kekuatan minda. Nah, kenapa tidak dilakukan melalui proses berfikir sahaja! Pemikir rasionalis Perancis yang lahir pada akhir abad ke 15, Rene Descates berkata dalam bahasa Latin, 'Cogito Ergo Sum' yang bermakna 'Aku Berfikir, Jadi Aku Wujud'. Descates berkata bahawa dia wujud dalam bentuk jasad setelah dia puas hati bahawa wujudnya itu adalah kerana dia berfikir. Bermakna Descartes menggunakan kaedah akliah berdasarkan logika ke tahap yang diyakini bagi membuktikan kebenaran yang wajib wujud (necessary truth) pada suatu benda atau fenomena. Namun dia tidak dapat menyelesaikan masalah minda kerana beliau terlalu bergantung pada kaedah deduksi. Dia cuma berkata, tanpa alasan yang jelas, bahawa minda manusia terletak di tengah otak atau kelenjar pineal.

Kemudian ahli falsafah berbangsa Inggeris abad ke 18 menolak pendapat Descartes ini dengan berhujah, “Adalah penting kaedah ilmu berdasarkan data yang dikumpul daripada pemerhatian yang objektif, bukan semata-mata berdasarkan kaedah logika.” Sigmund Freud (1856-1939) pula berkata bahawa manusia mempunyai minda bawah sedar atau unconscious mind, atau disebut sebagai otak terpendam, yakni yang menyimpan segala perasaan atau emosi manusia yang tidak disedari oleh minda sedar (conscious mind). “Rahsia otak atau minda terpendam ini sering memperlihatkan alamatnya atau mesejnya dalam mimpi, atau hanya dapat dicungkil dan dibawa ke paras kesedaran melalui kaedah hypnosis,” hujah Freud. Lalu ilmu psikologi Freud ini cukup kuat pengaruhnya sehingga dituangkan dalam penulisan kreatif dan bidang perubatan. Kemudian pemikir-pemikir dari Amerika pun banyak menulis tentang pemikiran positif.

Terdapat juga penulisan-penulisan cara berfikir kreatif berdasarkan kuasa minda manusia yang tidak semata-mata bersifat rasional, logikal atau linear, malah bersifat emosi (sanubari) dan kreatif. Natijahnya ialah diperkenalkan kaedah berfikir lateral (lateral thinking) yang dipelopori oleh Edward De Bono. Berfikir lateral adalah lawan berfikir secara linear. Sesungguhnya kaedah lateral thinking adalah lebih kurang sama dengan semangat 'pemikiran tauhid' yang disebut-sebut oleh orang Islam untuk memahami sesuatu hakikat alam, hakikat hidup dan masalah manusia dari berbagai-bagai segi, tidak dari segi kaedah atau pandang yang dogmatik. Kaedah ini misalnya empiris, rasionalism atau akliah dan metafizik sesungguhnya telah diamalkan lebih dahulu oleh ilmuan, cendekiawan dan saintis Islam sejak abad ke 8 lagi, lama sebelum orang Barat yakni Eropah mengetahui kaedah ini setelah mereka menemui kaedah falsafah Yunani atau Greek misalnya falsafah Plato dan Aristotle melalui karya-karya pemikir Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Al-Ghazali dan Ibn Rushd.

Kaedah semacam ini pun juga turut dikembangkan oleh pemikir-pemikir Melayu misalnya melalui pantun di bawah:

Asal kapas menjadi benang
asal benang menjadi kain
barang yang lepas jangan dikenang
sudah jadi milik orang lain.

Lihat betapa sopan dan bijaksananya minda Melayu menyatukan gambaran alam luaran dengan isi hati (bersifat dalaman) melalui kata-kata yang berirama. Bermuzik melalui bentuk yang berangkap dan metafora yang kadang-kadang bersifat simbolik, kekadang surealistik, romantik dan ajaib dan penuh misteri. Bayangkan jika pantun ini dan pantun 'pisang emas dibawa belayar' dilakar atas kanvas, mungkin kita nampak lorekan itu dalam persepktif seni abstrak, realistik, romantik dan sekali gus penuh misteri. Nah, nampak 'kan, fungsi otak dan unsur kerja sistem kekuatan minda.

Sumber: Pelita Brunei - http://www.pelitabrunei.gov.bn


Isnin, 26 Oktober 2009

CAKNA 31: SEMAKAN KEPUTUSAN PTK OGOS 2009

Kepada calon-calon PTK Ogos 2009 boleh menyemak keputusan peperiksaan mulai 26 Oktober 2009 melalui SMS mulai 12.01 tengah malam dengan menaip PTK No. K/P dan hantar ke 36363 atau pun secara on-line di www.mpm.edu.my atau terus ke laman sesawang berikut: http://www.mpm.edu.my/ptk/LoginFrm.aspx mulai jam 9.00 pagi.


Tahniah kepada mereka yang telah berjaya dan kepada mereka yang tidak berjaya jangan putus asa, cuba lagi sehingga berjaya pada peperiksaan yang akan datang.

Sabtu, 24 Oktober 2009

CAKNA 30 : HADIAH NAJIB UNTUK RAKYAT


Najib Tun Razak diiringi Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri) meninggalkan Dewan Rakyat selepas membentangkan Bajet 2010, semalam.








Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian

CUKAI

  • Pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000.

    Pengurangan kadar cukai maksimum individu daripada 27 peratus kepada 26 peratus.

  • Pelepasan cukai langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun pada 2010 hingga 2012.

KAKITANGAN AWAM

  • Bayaran khas RM500 kepada penjawat Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib kerajaan pada Disember ini.
  • Pinjaman pembelian komputer setiap tiga tahun berbanding lima tahun sekali sekarang.

RUMAH

  • 74,000 unit rumah kos rendah disediakan untuk disewa kepada rakyat pada 2010.

KWSP

  • Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.
  • Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.
  • Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

KWSP

  • Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diuruskan oleh KWSP untuk yang tiada pendapatan tetap termasuk pemandu teksi, petani dan penjaja. Setiap RM100 caruman, kerajaan menyumbang 5 peratus tertakluk kepada jumlah RM60 setahun.
  • Pelepasan cukai individu untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan RM1,000 kepada RM7,000.
  • Caruman KWSP dinaikkan semula kepada 11 peratus.

PENDIDIKAN

  • Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar mendapat ijazah kelas pertama.
  • 30 pelajar terbaik menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor.
  • Pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun.
  • Diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh kepada pelajar dengan kad diskaun pelajar 1Malaysia.
Sumber: Utusan Malaysia, 24 Oktober 2009

BERITA PENDIDIKAN: 5 - LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN KE-6




Hari ini merupakan Hari Profesional ke-6 atau Latihan Dalam Perkhidmatan (LDAP) yang terakhir bagi sesi persekolahan 2009 buat guru-guru SMK Klebang Besar, Melaka. Berikut dipaparkan butiran lengkap dan atur cara LDAP:

Tarikh : 24 Oktober 2009
Hari : Sabtu
Masa : 8.00 pagi hingga 2.00 petang
Tempat : Bilik Gerakan SMK Klebang Besar
Atur cara :

8.00 - Pendaftaran guru
8.15 - Ucapan Pengerusi & Bacaan Doa
8.30 - Slot 1 - Komunikasi Berkesan, oleh Tn. Hj. Matshah bin Othman
10.00 - Pembentangan Kajian Tindakan oleh Puan Dzarifah bt. Adnan
10.30 - Kudapan
11.00 - Slot 2 - Pengurusan Diri, oleh Puan Hajah Saleha bt. Othman
12.30 - Bersurai

Khamis, 22 Oktober 2009

JERAYAWARA BAHASA 15: PROGRAM KECEMERLANGAN SPM 2009








Pagi ini saya berkesempatan memenuhi
undangan Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah, Melaka bagi menjayakan Program Kecemerlangan SPM Tahun 2009 yang diadakan di SMK Seri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka. Sebanyak 40 orang pelajar SPM dari enam buah sekolah menengah di sekitar Alor Gajah dipilih untuk menyertai program tersebut. Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK Seri Pengkalan, SMK Dato' Dol Said, SMK Dato' Haji Talib Karim, SMK Naning, SMT Dato' Seri Mohd. Zin, dan SMK Durian Tunggal. Mereka diiringi oleh seorang Kaunselor dan seorang guru Bahasa Melayu. Slot pertama bermula jam 8.00 pagi dan slot kedua saya bermula jam 10.30 hingga 12.30 tengah hari. Sesi motivasi pula disambung pada sebelah petang jam 2.00 - 4.oo petang.

Semoga usaha murni pihak Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah ini dapat membantu para pelajar dalam kategori miskin dan pencapaian sederhana menghadapi peperiksaan SPM yang semakin hampir, sekali gus melonjakkan prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Daerah Alor Gajah dan juga prestasi Bahasa Melayu peringkat negeri Melaka pada keseluruhannya. Program ini diadakan sebagai menyahut cabaran dan hasrat Tuan Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka yang ingin melihat prestasi SPM keseluruhan negeri Melaka menduduki tempat teratas di peringkat nasional ketika menyampaikan ucaptama beliau dalam majlis Taklimat Profesionalisme Guru-guru Bahasa Melayu Negeri Melaka yang diadakan awal September yang lalu bertempat di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh, Melaka.


Isnin, 19 Oktober 2009

CAKNA : 29 - EJAAN, ISTILAH BETUL DI PAPAN IKLAN PUPUK CINTA AKAN BAHASA KEBANGSAAN



Gambar hiasan:
"rumah idaman mu" sepatutnya dieja
sebagai "rumah idamanmu"


Syarikat iklan masih kurang peka untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan sempurna di papan tanda atau iklan, sekali gus memperlihatkan tiada kesungguhan dalam kalangan sektor swasta. Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan pemantauan, cuma 40 peratus penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul di papan tanda dan iklan di sekitar Petaling Jaya. “Saya masih tidak berpuas hati dengan penggunaan bahasa Melayu. Banyak syarikat pengiklan yang tidak peka dengan ejaan bahasa Melayu yang betul dan adakalanya ejaan pada papan tanda itu sudah hilang atau tertutup dengan iklan lain. Kita sudah berkali-kali menegur mereka supaya selenggara semula dan gunakan ejaan betul. “Kita akan buat pemantauan dan akan segera turunkan semua papan tanda atau iklan yang tidak memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu semakin jelas kurang dititikberatkan pada zaman ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat berbilang kaum di sekitar Petaling Jaya. Malah, mesyuarat penuh majlis itu juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. “Biasanya, apabila mesyuarat itu dijalankan mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. Malah, minit mesyuarat juga disediakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, seboleh mungkin kita akan pastikan mereka menggunakan bahasa Melayu dalam apa-apa juga keadaan. “Oleh itu, Kempen Cintai Bahasa Malaysia dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat membawa perubahan positif ke arah itu. Risalah yang disebarkan itu juga diharap dapat memberikan maklumat tepat dan betul mengenai penggunaan bahasa itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini rata-rata permohonan yang dikemukakan syarikat iklan terhadap pemasangan sebarang papan tanda mematuhi garis panduan ditetapkan. Katanya, semua pihak perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan, syarikat terbabit meletakkan bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan dengan saiz yang ditetapkan.

“Bahasa Melayu perlu diletakkan dengan saiz yang lebih besar berbanding bahasa lain. Jika di papan tanda atau iklan itu ingin meletakkan bahasa Inggeris atau bahasa lain, hanya dibenarkan dengan saiz yang kecil. “Jika pihak terbabit gagal patuhi undang-undang itu, kita tak luluskan lesen permohonan itu. Bagaimanapun, setakat ini, kita lihat kadar kepatuhan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan baik. “Cuma jika ada kes yang dikenal pasti ialah syarikat tidak memohon dari Jabatan Pelesenan DBKL untuk meletakkan papan tanda atau iklan di premis tertentu. Dalam kes ini, pihak penguat kuasa akan terus mengambil tindakan menurunkan semua papan tanda atau papan iklan yang diletakkan secara haram,” katanya. Beliau berkata, DBKL akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus diberi keutamaan serta dimartabatkan. Katanya, DBKL tidak bertolak ansur dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan. “Penggunaan yang betul dan sempurna seharusnya dilaksanakan di mana-mana saja, bukan saja dari segi pertuturan, malah perlu diperluas dalam pelbagai aspek termasuk pada papan tanda kerana turut melambangkan ideologi negara terhadap kepentingannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 19 Oktober 2009.