Isnin, 24 Februari 2014

MEMPEROLEH ATAU MEMPEROLEHI

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:
MEMPEROLEH ATAU MEMPEROLEHI

Ejaan yang betul ialah memperoleh.
Seperti yang diketahui, kata terbitan yang betul ialah memperoleh, daripada kata dasar “oleh” menghasilkan kata terbitan beroleh, memperoleh, perolehan, pemeroleh dan pemerolehan.
Memperoleh bermaksud mendapat, menerima (mencapai, menemui, dsb) dengan ikhtiar atau usaha. Ayat contoh. Kita akan memperoleh banyak ilmu pengetahuan jika kita sering berkunjung ke perpustakaan.
Tegasnya, kata terbitan “memperolehi” tidak ada dalam bahasa Melayu kerana kata dasar “oleh” apabila menerima imbuhan awalan memper- menjadi memperoleh (kata dasar OLEH + imbuhan memper-) dan tidak ada kata dasar “OLEHI” untuk membentuk kata kerja “memperolehi”.

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SAM MUHAMADIAH SABAK










Tarikh: 23 Februari 2014 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi - 2.00 petang
Tempat: Dewan Besar SAM Muhamadiah Sabak

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Aliza Sahlan, Pengetua SAM Muhamadiah Sabak, Puan Jaamah, guru-guru Bahasa Melayu, pelajar-pelajar termasuk guru dan pelajar sekolah jemputan yang berdekatan kerana memberi ruang dan peluang untuk saya mengendalikan Program Jerayawara Bahasa buat julung-julung kali sebagai pembuka tirai sesi persekolahan 2014. Syabas dan tahniah atas komitmen yang cukup tinggi daripada pelajar-pelajar yang terbabit dari awal hingga akhir program tersebut. Semoga segala input yang disampaikan dapat memberi suntikan semangat bagi meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak.

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DALAM SENTUHAN EMAS A+ TELUK INTAN











Tarikh: 22 Februari 2014 (Sabtu)
Masa  : 8.30 pagi - 4.30 petang
Tempat: Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Yusrizal kerana bertungkus lumus untuk membawa saya bagi mengendalikan program yang dianjurkan oleh Gabungan Belia 4B (M) Parlimen Teluk Intan dengan kerjasama PPD Hilir Perak. Tidak ketinggalan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua guru dan pelajar sekolah-sekolah yang terpilih dari kawasan PPD Hilir Perak kerana memberikan kerjasama yang cukup baik sepanjang berlangsungnya program tersebut dari pagi hingga petang tanpa jemu-jemu. Semoga segala input yang disampaikan dapat memberi manfaat untuk menggerakan semua pelajar yang dikenal pasti berpotensi cemerlang supaya berjaya menempa kejayaan yang gemilang dalam peperiksaan SPM kelak. Juga ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Encik Saiful Adli, Pengerusi Gabungan Belia 4B dan ahli jawatankuasanya yang turut terlibat secara langsung menjayakan program tersebut. 

Isnin, 17 Februari 2014

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA MINGGU INI


Program Jerayawara Bahasa hujung minggu akan diadakan di Dewan Bunga Raya, Teluk Intan pada 22 Februari 2014 (Sabtu) yang melibatkan pelajar-pelajar dari:
(1) SMK Seri Perak
(2) SMK Horley Methodist
(3) SMK Serikandi
(4) SMK Raja Muda Musa
(5) SMK Seri Setia
(6) SMK SMK Sultan Abdul Aziz
(7) SMK Dato' Sagor
(8) SMK Abdul Rahman Talib
(9) SMK Seri Perkasa, dan

bersambung pada hari kedua di Sekolah Agama Menengah Muhamadiah Sabak, Pekan Sabak Bernam.
Kepada mereka yang ingin membeli buku Koleksi Rencana Umum (KRU) Jilid 1-4, bolehlah berjumpa saya di salah satu lokasi berkenaan. Jumpa di sana.

Ahad, 16 Februari 2014

CARA MENULIS PERKATAAN "E-MEL"

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:

E-mel atau kependekan perkataan electronic mail ialah kata pinjaman dan diserapkan ke dalam Bahasa Melayu. E-mel merupakan kata majmuk. Jika perkataan e-mel menerima imbuhan apitan meN-...-kan atau dipasifkan atau menerima apitan peN-...-an, maka cara menulisnya seperti berikut:
(i) meng-e-melkan atau lebih gramatis apabila menggunakan frasa ‘mengirimkan e-mel’
(ii) di-e-melkan
(iii) peng-e-melan

KATA-KATA ALUAN ATAU KATA ALU-ALUAN?

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:
KATA-KATA ALUAN ATAU KATA ALU-ALUAN??
Frasa yang betul ialah kata alu-aluan. Alu-aluan bermaksud menyambut ketibaan atau kehadiran seseorang.
Antara contoh ungkapan indah bagi kata alu-aluan atau ucapan alu-aluan yang biasa terdapat dalam teks ucapan yang dimuatkan dalam buku cenderamata atau program sesuatu majlis ialah sekapur sirih, seulas pinang, setitis tinta, seuntai madah, seuntai bahasa, secebis bicara, semanis madah, seungkap rasa, sejambak bicara, dan sebagainya.

SATU JAM SETENGAH ATAU SATU SETENGAH JAM?

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:
Satu jam setengah atau satu setengah jam???

Ungkapan yang betul ialah "satu setengah jam", iaitu nombor bacaan (1 1/2) baru diikuti dengan unit kiraan (jam).

Dengan kata lain, sistem bacaan lazimnya mengikut bentuk penulisan. Oleh itu, bacaan yang tepat bagi masa ialah satu setengah jam kerana ditulis sebagai 1 ½ jam. Begitu juga bacaan bagi timbangan, iaitu satu setengah kilogram ditulis sebagai 1 ½ kg.

PEDALAMAN ATAU PENDALAMAN?

BIASAKAN YANG BETUL DAN BETULKAN YANG BIASA:

Apakah perbezaan antara PEDALAMAN dan PENDALAMAN?
Pedalaman bermaksud daerah yang jauh dari pantai (yang terletak di ceruk pelosok atau di hulu negeri), hulu:...
Ayat contoh:
(i) Dia menjadi orang yang paling berpengaruh di daerah pedalaman.
(ii) Penjahat-penjahat sedang bersembunyi di daerah pedalaman.
Manakala pendalaman pula membawa maksud perihal mendalamkan, tindakan (proses dll).
Ayat contoh: Kerja-kerja pendalaman Sungai Lereh akan dijalankan tidak lama lagi.
Oleh hal yang demikian, kedua-dua kata ini mempunyai makna yang berbeza, iaitu pedalaman bererti daerah, manakala pendalaman menggambarkan proses kerja.

MATAPELAJARAN ATAU MATA PELAJARAN?

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:
Yang mana satukah ejaan yang tepat bagi matapelajaran atau mata pelajaran?

Ejaan yang betul ialah mata pelajaran, iaitu ditulis dua perkataan terpisah.
Kata ganda bagi mata pelajaran ialah mata-mata pelajaran.

PELANTIKAN ATAU PERLANTIKAN?

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL:

PELANTIKAN ATAU PERLANTIKAN?

Kata terbitan yang betul ialah "pelantikan" kerana lazimnya daripada kata kerja "melantik" (me + kata dasar)maka terbitlah perkataan pelantikan yang bermaksud perihal melantik. Jika kata kerja ber + kata dasar seperti berjalan, maka terbitlah perkataan perjalanan. Tiada perkataan berlantik jika menggunakan ber= lantik yang akan menerbitkan perlantikan.Perkataan perlantikan tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah pelantikan.