Ahad, 27 Disember 2009

RENCANA UMUM 18 : MENANGANI MASALAH KAUM NELAYAN




Setiap rakyat di negara ini sentiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya apabila bajet tahunan dibentangkan di Parlimen. Bajet yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" jelas sekali menepati ramalan akan memberikan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. Tepat sekali tema yang digunakan kerana ada habuan untuk setiap lapisan masyarakat. Rakyat daripada pelbagai lapisan bakal menerima tempias Bajet 2010. Peniaga kecil, pelajar, golongan pekerja, orang asli, orang kurang upaya, petani, nelayan, masyarakat luar bandar dan bandar semuanya mendapat habuan masing-masing. Bajet tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah turut mempunyai unsur-unsur mendidik, berorientasikan masa depan, serta meneruskan tradisi membela rakyat. Kerajaan beriltizam untuk terus melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai, terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas. Dalam konteks ini, kaum nelayan di negara ini turut mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan yang komited.


Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah e@siswa, Januari 2010

Khamis, 17 Disember 2009

CAKNA 37: SALAM MAAL HIJRAH 1431

DOA AWAL TAHUN DAN DOA AKHIR TAHUN


Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya-Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan sepanjang tahun tersebut.

Doa Awal Tahun:
Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baharu yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan daripada-Mu di sepanjang tahun ini daripada syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. Wahai Tuhan Yang Maha pengasih daripada mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.


Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami sepanjang tahun ini".

Doa Akhir Tahun:

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa-apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak reda dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa-apa yang Engkau redainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu daripadaku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Ahad, 6 Disember 2009

BERITA PENDIDIKAN: 6 - SGM IKTIRAF PROFESION GURU, BUKAN BEBANAN

SGM iktiraf profesion guru, bukan bebanan

Oleh Rohaniza Idris

Standard Guru Malaysia bertujuan memperkasa profesionalisme perguruan supaya setanding taraf global

APABILA Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu lalu melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM), timbul persoalan sama ada guru yang ada sekarang tiada kualiti atau kekurangan mutu perkhidmatan? Perlukah piawaian itu dilaksanakan sekarang dan kenapa hanya sekarang ia mahu dilaksanakan?. Persoalan itu kemudian dijawab Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan-Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, bahawa guru-guru di Malaysia sudah ada standard, namun piawaian itu perlu dimantapkan lagi supaya sesuai dengan keadaan semasa selain menepati standard global. Katanya, SGM bukannya perkara baru kerana ia memang sudah ada. Dan apa yang dilancarkan baru-baru ini sudah dimantapkan dan perlu diguna pakai oleh institut pendidikan perguruan (IPG) untuk melahirkan warga pendidik yang lebih berkualiti. "Ia (SGM) adalah usaha meningkatkan profesionalisme perguruan bukannya pengkelasan guru. Bermakna, dengan adanya SGM yang digunakan IPG, kita akan melahirkan warga pendidik berkualiti untuk pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, selain meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta mewujudkan kemahiran inter dan intra personal.

"Kemahiran inter dan intra personal bermaksud kita dapat melahirkan warga pendidik yang bijak mengurus dan berkomunikasi dengan warga sekolah dan komuniti sekelilingnya," katanya. Perkara itu juga dipersetujui Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad, yang berpendapat SGM akan meningkatkan lagi imej warga pendidik di kalangan masyarakat. Pada masa sama, persepsi bahawa bidang perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir selepas gagal mendapat pekerjaan lain, tidak akan timbul lagi.

"SGM adalah piawaian seperti standard dalam bidang profesional lain seperti arkitek, peguam dan akauntan. Standard ini juga bukan hanya bertumpu kepada profesionalisme, tetapi siasah, pencapaian dan meningkatkan minat warga pendidik terhadap kerjaya perguruan. "Bermakna, apabila kita mempunyai guru yang mempunyai standard, bidang pendidikan iaitu pengajaran dan pembelajaran juga ditingkatkan sesuai dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini hab pendidikan pada peringkat global," katanya. Beliau juga percaya SGM sebagai satu usaha murni sesuai perkembangan pendidikan global selain memenuhi keperluan ibu bapa yang mahukan pendidikan bertaraf dunia untuk anak masing-masing.

SGM bukan sekadar piawaian, sebaliknya akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Ia menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.

Dokumen itu juga disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti.
Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama iaitu diri, profesion dan sosial. Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan. Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketrampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Aspek kedua, menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif. Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.

Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang juga pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli dalam reaksinya pula, memberi jaminan SGM yang dilancarkan itu boleh mencapai matlamatnya. Namun, ia mahukan standard berkenaan ditetapkan segera dan garis panduan jelas diperkenalkan supaya lebih mudah guru mengikuti dan melaksanakannya. Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi.

"Ketika ini, masih ada kekurangan dan wujud kesukaran bagi guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat," katanya yang berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka. Turut gembira dan mengalu-alukan SGM, Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN) yang menganggap standard itu menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara mempunyai piawaian untuk pendidikan. "Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru," katanya. Beliau berpendapat dengan adanya SGM, ia memberi gambaran jelas tugas guru yang sebenarnya dan berharap SGM diguna pakai secara berterusan dan bukannya secara bermusim.

Selain itu, beliau mahu senarai semakan iaitu penilaian kendiri kepada setiap guru bagi memastikan aspek yang ditekankan dalam SGM diguna pakai dan ada pada setiap guru. "SGM ini bukan saja perlu digunakan kepada mereka yang bergelar guru tidak kira mereka yang baru bekerja atau yang sudah bersara namun mereka yang masih mengajar," katanya. Hakikatnya, di sebalik reaksi positif yang diberikan kalangan pendidik dan ibu bapa, sebenarnya terkandung tanggungjawab besar digalas guru-guru ini. Mereka tidak harus menganggapnya SGM satu bebanan, tetapi pengiktirafan bagi melahirkan golongan pendidik yang profesional, berdaya saing, berwibawa dan disegani.

Sumber: Berita Minggu, 6 Disember 2009

Jumaat, 4 Disember 2009

KOMSAS 16: ULASAN SOALAN KOMSAS PMR 2009

Kertas Bahasa Melayu peringkat Penilaian Menengah Rendah 2009 telah pun selesai dan masih mengekalkan format pentaksiran yang sama. Selain soalan berkaitan kemahiran bahasa terdapat juga soalan pemahaman KOMSAS yang turut diuji dalam kertas Bahasa Melayu 1 (02/1) dan 2 (02/2). Soalan pemahaman KOMSAS yang diuji dalam kertas Bahasa Melayu 1 terdiri daripada soalan petikan genre prosa (soalan nombor 31 – 35) dan soalan petikan genre puisi (soalan nombor 36 – 40). Manakala, soalan KOMSAS dalam kertas Bahasa Melayu 2 terdiri daripada soalan genre novel khususnya dalam bahagian D yang memperuntukkan sebanyak 10 markah. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada ulasan bentuk soalan KOMSAS yang diuji dalam kedua-dua kertas Bahasa Melayu peringkat PMR secara ringkas. Ikuti tulisan saya di dalam majalah Dewan Siswa, Disember 2009

Khamis, 26 November 2009

CAKNA 36: SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kepada semua rakan guru dan pelajar di seluruh negara saya ucapkan:


>Daripada:
Hj. Samat b. Buang & keluarga

Selasa, 24 November 2009

RENCANA UMUM 17: MENGEKALKAN NIKMAT KESIHATAN





Kesihatan adalah nikmat yang sangat berharga dan anugerah terpenting bagi manusia. Tahap kesihatan sama ada baik atau sebaliknya bergantung kepada keprihatinan seseorang menjaga tubuh badan. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri dalam kebinasaan. Banyak orang yang tidak menghargai nikmat ini kerana buktinya banyak yang kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ketagihan rokok, dan alkohol, serta lumba haram yang membawa kecacatan, dan sebagainya. Dengan kata lain, mereka sering kali mengambil sikap sambil lewa terhadap penjagaan kesihatan dan hanya sedar apabila tubuh diserang penyakit. Namun, ketika mulai sedar mengenai kepentingan kesihatan, semuanya mungkin sudah terlewat. Mungkin anda mempunyai wang untuk mendapatkan doktor atau hospital terbaik untuk merawat penyakit anda, tetapi adakah anda pasti ia berjaya? Tegasnya, kesihatan adalah lebih berharga daripada harta benda dan wang ringgit, kerana buktinya ada orang yang sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk merawat penyakit yang dihidapinya. Apalah gunanya harta yang banyak jika hidup dalam keadaan sakit dan derita.

Ikuti tulisan saya selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Disember 2009.
Selamat membaca!

Ahad, 22 November 2009

RENCANA UMUM 16: USAHA BERSAMA MEMERANGI JENAYAH



Dewasa ini pelbagai jenis jenayah semakin menular di mana-mana sahaja sehingga sudah sampai ke peringkat mengancam keselamatan awam. Keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan amat komited untuk membanteras jenayah. Lantaran itu, sejumlah RM3.7 bilion akan diberikan kepada pasukan keselamatan bagi mempertingkatkan kecekapan anggotanya termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2010 berkata sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara. Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010 khasnya yang melibatkan kegiatan jenayah jalanan.


Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah e@siswa, Disember 2009

Khamis, 19 November 2009

CAKNA 35: TERUSKAN PERJUANGAN!!!

Kepada semua pelajar saya di seluruh negara, teruskan perjuangan kalian dalam menghadapi peperiksaan SPM tahun ini, serta lakukan yang terbaik untuk diri, keluarga, sekolah, dan negara.




Rabu, 18 November 2009

SEGMEN BAHASA 14: BENTUK SOALAN KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM (N) 2009

Syukur ke hadrat Ilahi, kerana sebahagian daripada bentuk soalan dan karya sastera yang dijangkakan pada saat-saat akhir turut keluar dalam kertas Bahasa Melayu 2 yang bermula jam 2.00 hingga 4.30 petang. Berikut disenaraikan bentuk soalan kertas tersebut:

Soalan 1: Rumusan - kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.
Soalan 2: (a) - Petikan umum
(b) - Petikan cerpen - Virus Zel Untuk Abah (Antologi Kerusi)
(c) - Petikan prosa klasik - Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Antologi Kerusi)
(d) - Petikan sajak - Anak Laut (Antologi Anak Laut)
Soalan 3: (a) - Membina ayat berdasarkan kata ganda berentak /berirama
(b) - Kenal pasti Subjek dan Predikat
(c) - Kenal pasti kesalahan kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan
(d) - Kenal pasti kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa
(e) - Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
Soalan 4: (a) - Huraikan 2 contoh yang dapat membuktikan ketabahan watak utama dalam sebuah novel.
(b) - Jelaskan satu contoh nilai kasih sayang yang terdapat dalam dua buah novel.



SEGMEN BAHASA 13: ISU KERTAS BAHASA MELAYU 1

REAKSI AWAL TERHADAP KERTAS BAHASA MELAYU 1

Alhamdulillah, selesai sudah kertas Bahasa Melayu 1 pagi ini dan rata-rata soalan yang dikemukakan mampu dijawab oleh semua pelajar. Secara tidak langsung, pasti kebanyakan calon berasa selesa untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana sebahagian daripada isu yang diajukan termasuk dalam soalan jangkaan. Reaksi dan perkataan pertama yang terkeluar secara spontan daripada sebahagian pelajar kelas hujung. iaitu "Alhamdulillah, senang je soalannya , cikgu!" membuatku tersenyum lebar. Mudah-mudahan dengan reaksi awal ini membolehkan mereka menjawab dengan baik dan tepat mengikut soalan yang diajukan.

Antara isu yang diuji kali ini terdiri daripada:

Bahagian A - Faedah-faedah yang diperoleh apabila menyertai badan beruniform.
Bahagian B: (diubahsuai daripada soalan sebenar)

1. Usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa supaya anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
2. Kebaikan-kebaikan aktiviti bercucuk tanam.
3. Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara kita amat penting difahami oleh setiap rakyat demi memupuk rasa cinta akan negara.
4. Rencana - Kesan-kesan Pemanasan Global terhadap Bumi dan Hidupannya.
5. Pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam novel.

CAKNA 35: SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM


Kepada semua calon SPM 2009 khususnya pelajar-pelajar dari SMK Klebang Besar, Melaka dan semua pelajar yang sempat mengikuti Program Jerayawara Bahasa, serta yang sentiasa mengunjungi blog saya ini, cikgu mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM. Semoga diberi ketenangan hati ketika menjawab setiap soalan yang dikemukakan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.

KOMSAS 15: PERWATAKAN WATAK SAMPINGAN DALAM NOVEL TINGKATAN 5

Berikut disenaraikan sebahagian daripada perwatakan watak-watak sampingan yang terdapat dalam keempat-empat novel yang dikaji dalam Tingkatan 5 mengikut zon:

WATAK SAMPINGAN DALAM 4 NOVEL

TINGKATAN 5 MENGIKUT ZON

NOVEL JULIA

Watak sampingan

Huraian

Jun

§ Setiakawan – Jun sentiasa memberi nasihat dan semangat kepada Julia ketika menghadapi keadaan kritikal terutama dalam menjalankan perniagaan..

§ Pandai menyimpan rahsia – Sepanjang tempoh perkenalannya dengan Julia, beliau tidak pernah memberitahu Julia bahawa beliau sudah memeluk Islam selepas kematian kakaknya.

§ Bijak dalam merancang perniagaan – Jun telah merancang untuk mengadakan homestay secara usaha sama dengan syarikat Julia bagi memulihkan keadaan perniagaan yang ditinggalkan abah Julia semakin merosot.

Pak Cik Khairil

§ Bati hati – Beliau banyak membantu Julia dan menumpangkan Julia di rumahnya semasa Julia belajar di Hidayah Islamic College, Perth, Australia.

§ Bertanggungjawab – Beliau telah berusaha untuk mendapatkan maklumat yang lengkap bagi mengesahkan berita kematian ayah dan mama Julia dan menguruskan kepulangan Julia ke tanah air.

§ Penyayang – Beliau terlalu mengambil berat dan sayang terhadap anak buahnya, Julia serta sentiasa memberi nasihat ketika Julia ditimpa masalah.

Datin Maznah

§ Berpandangan jauh – Beliau mempunyai pandangan jauh terhadap masa depan keluarganya dengan merancang dan menentukan hala tuju anak-anaknya.

§ Taat kepada suaminya – walaupun beliau tahu suaminya berkahwin lagi sambil memendam perasaan, namun beliau tetap taat kepada suaminya.

§ Bertanggungjawab – beliau sentiasa mengambil berat terhadap Julia dan adik-adiknya sehingga sanggup memisahkan Julia daripada kawan-kawan liarnya dengan menghantarnya belajar ke Australia.

NOVEL KONSERTO TERAKHIR

Watak sampingan

Contoh huraian

Hayati

§ Anak tunggal yang manja – Beliau merupakan satu-satunya anak tunggal kepada Datuk Johari dan Datin Salmah.

§ Berkeyakinan tinggi – beliau kerana sanggup memimpin pertunjukan Orkes Perdana bagi menggantikan tempat yang sepatutnya dipimpin oleh abangnya, Hilmi.

§ Penyayang – Beliau sangat sayang akan Hilmi serta mengambil berat terhadap Hilmi.

Encik Bakar

§ Ahli muzik yang berbakat – Beliau merupakan seorang ahli muzik yang tersohor sekali gus merupakan seorang guru, kawan, dan mentua Hilmi.

§ Bersifat ikhlas – beliau sanggup mengajar Hilmi tanpa mengenakan sebarang bayaran dan membantu Hilmi menggubah lagu dan menulis lirik.

§ Baik hati – beliau pernah mempelawa Hilmi tinggal bersama-sama mereka di rumahnya apabila masalah yang menimpa Hilmi.

Pak Amat

§ Prihatin – Beliau sangat rapat dengan Hilmi dan prihatin serta sentiasa bersimpati akan nasib yang menimpa Hilmi.

§ Rajin – Beliau pernah bekerja sebagai penyelam mutiara di Darwin, Australia dan kemudiannya bekerja sebagai tukang masak.

§ Taat terhadap majikan – Beliau merupakan seorang pekerja yang taat terhadap Datuk Johari dan menganggap keluarga Datuk Johari seperti keluarganya sendiri.

PUTERA GUNUNG TAHAN

Watak sampingan

Contoh huraian

Kusina

§ Taat dan patuh pada perintah – Beliau ialah pengiring Ratu Bongsu yang sangat mentaati perintahnya serta sama-sama mempertahankan Gunung Tahan daripada diambil oleh Inggeris.

§ Beliau berasal daripada kalangan orang “bunyian” yang menghilangkan diri dan tinggal di kawasan Gunung Tahan.

§ Baik hati – Seorang yang baik hati kerana membantu Tuan William menunjuk jalan untuk sampai ke puncak Gunung Tahan, di samping membawa makanan untuk Tuan William.

Tuan William

§ Penyayang – Beliau mempunyai sifat penyayang dan mengambil berat akan rakannya Tuan Robert dan terus menjejakinya apabila mendapati rakannya hilang.

§ Gigih – Seorang yang gigih dan tidak pernah putus asa memujuk Ratu Bongsu supaya menyerahkan puncak Gunung Tahan.

§ Patuh pada perintah – Tuan William merupakan seorang yang patuh kepada tuannya dalam menjalankan misi untuk menawan puncak Gunung Tahan untuk kerajaan Inggeris.

Perempuan tua Melayu

§ Bertanggungjawab – Beliau bertanggungjawab melahirkan Ratu Bongsu meskipun sewaktu kelahirannya beliau menghadapi masalah kerana ditinggalkan oleh rakan-rakannya.

§ Tegas pendiriannya – Beliau mempunyai pendirian yang tegas kerana enggan membenarkan Tuan Robert memiliki kulit, kuku, dan taring harimau putih walaupun Tuan Robert memujuknya berkali-kali.

§ Pandai dalam ilmu agama dan ilmu dunia – Beliau mengajar masyarakat Sakai tentang ilmu agama serta ilmu dunia termasuk ubat-ubatan.

SETEGUH KARANG

Watak sampingan

Contoh huraian

Kak Nor

§ Baik hati – beliau menawarkan tempat tinggal kepada Awanis jika Awanis sanggup hidup secara anak beranak dengan keluarganya sepanjang tempoh praktikalnya di Terengganu .

§ Bertanggungjawab – seorang ibu yang bertanggungjawab serta pandai membahagikan masa antara tugas di pejabat dan tanggungjawabnya melayan anak-anak di rumah.

§ Penyayang – Beliau amat sayang akan suami dan anak-anaknya kerana masih mampu memasak wlaupun sibuk dengan kerja-kerja di pejabat.

Pak Oni

§ Bertanggungjawab – beliau mengambil alih tugas menjaga Kak Maysarah dan adik-adiknya sejak kematian abah dan mama mereka.

§ Penyayang – sebagai bapa saudara kepada Awanis, beliau sangat sayang akan anak-anak buahnya dan cukup mesra.

§ Baik hati dan suka menolong – beliaulah yang banyak mengambil tahu soal Awanis, Kak Maysarah, dan Anita malah sanggup memasak untuk menyediakan makanan kepada anak-anak buahnya.

Budi

§ Bertanggungjawab – sebagai buruh asing dari Indonesia, beliau sanggup berhijrah ke negara orang semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya di kampung.

§ Gigih – rajin bekerja memotong buah di ladang kelapa sawit.

§ Setiakawan – beliau sangat baik terhadap Awanis dan senang menjadi sahabat baik walaupun dalam pertemuan yang singkat.