Rabu, 5 Ogos 2009

BERITA PENDIDIKAN: 2

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM ikut jadual

PUTRAJAYA 4 Ogos - Kerajaan tidak akan menangguhkan empat peperiksaan awam meskipun berlaku penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) kerana tidak mahu mengganggu jadual yang telah ditetapkan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang dijangkiti H1N1 akan diasingkan atau diarah menduduki peperiksaan di hospital jika keadaannya tidak serius dan mendapat nasihat doktor. "Kita telah putuskan peperiksaan-peperiksaan awam akan diadakan mengikut jadual. Ini penting supaya tidak terganggu jadual peperiksaan yang telah ditetapkan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan empat peperiksaan awam kerana ia boleh menjejaskan persediaan pelajar serta guru. Berdasarkan takwim Kementerian Pelajaran, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijadual dari 8 hingga 10 September ini manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober dan 12 hingga 13 Oktober ini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober dan 26 hingga 27 Oktober serta ujian bertulis (19 November-16 Disember) manakala Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 19 hingga 21 Oktober. Majlis Peperiksaan Malaysia juga menetapkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 November hingga 10 Disember ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, sekiranya ramai pelajar terbabit dengan peperiksaan menghidap H1N1, sekolah akan diberikan cuti bagi mengelak wabak tersebut menjangkiti pelajar-pelajar lain. "Hanya pelajar yang ambil peperiksaan datang ke sekolah," ujarnya. Selain itu, beliau menjelaskan, kerajaan juga tidak berhasrat mempercepatkan cuti sekolah pertengahan penggal pada penghujung bulan ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 5 Ogos 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan