Rabu, 22 Julai 2009

RENCANA UMUM 2: KEMBALIKAN HUKUMAN ROTAN

Rencana ini disiarkan di dalam majalah e@siswa, Julai 2009 oleh Hj. Samat Buang

Hukuman merotan memang perlu kerana terbukti pendekatan seperti nasihat dan sesi kaunseling masih tidak mampu menginsafkan pelajar tegar atau sering dipanggil “tidak makan saman” ini. Namun, mungkin ada pihak yang mendakwa pelajar yang dirotan di hadapan rakan-rakannya akan merasakan diri sebagai wira atau kemungkinan bertindak lebih agresif sebagai tanda protes setelah dikenakan hukuman. Tidak kurang juga, ada kalangan ibu bapa yang ‘menyayangi’ anaknya akan memfailkan saman terhadap pihak sekolah apabila anaknya dirotan. Apa-apa pun, mahu tidak mahu semua pihak digesa usah terlalu bersikap sentimental atau terlalu ‘beri muka’ terhadap pelajar yang sedia maklum terang-terangan biadab dan tidak berdisiplin ini. Lagipun, hukuman rotan di khalayak warga sekolah bukannya dibuat sewenang-wenangnya. Hanya guru besar, pengetua, dan guru disiplin yang memiliki kuasa merotan dengan prosedur tertentu, manakala hanya kes berat yang dikenakan hukuman tersebut. Tidak ketinggalan ada juga saranan yang menggesa supaya ibu bapa sendiri melaksanakan hukuman rotan secara tertutup di sekolah terhadap anak-anak mereka yang terlibat dengan masalah disiplin terutama membuli pelajar lain. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berpendapat, langkah itu dilihat boleh memberi kesan psikologi yang berbeza terhadap pelajar terbabit. Ibu bapa mungkin boleh diminta hadir ke sekolah untuk menyelesaikan kes disiplin anak-anak mereka dan hukuman dilakukan pihak ibu bapa sendiri. Jika guru yang melaksanakannya, mungkin akan meninggalkan kesan emosi lebih buruk terhadap pelajar. Tindakan merotan memang bukan penyelesaian mutlak untuk menyedarkan mereka yang tidak makan saman ini seandainya asas didikan agama dan sahsiah murni tidak disemai terlebih dahulu oleh ibu bapa mereka. Namun, tindakan tersebut setidak-tidaknya akan mengingatkan pelajar-pelajar lain betapa azabnya jika melanggar peraturan atau menimbulkan kekacauan di sekolah. Hukuman merotan juga dapat membendung masalah disiplin dan jenayah juvenil daripada terus menular mempengaruhi pelajar lain. Hal ini penting bagi menyediakan persekitaran yang selesa tanpa tekanan terhadap lebih banyak pelajar yang benar-benar mahu belajar apabila datang ke sekolah. Bagi pihak yang pesimis terhadap hukuman merotan, adakah hati beberapa kerat pelajar yang sememangnya degil dan keras kepala ini mahu dijaga sehingga kita melupakan hak ribuan pelajar lain untuk menikmati alam persekolahan yang tenang tanpa gangguan ‘penjenayah’ sekolah ini?

Ikuti selanjutnya di dalam majalah E@SISWA, Julai 2009

3 ulasan:

  1. terima kasih..
    pencana yang bagus..
    insaya-ALLAH saya akan mengikutinya..
    harap2 keluar dalam SPM nanti.

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas ulasan tersebut. Baca jangan tak baca. Sekurang-kurangnya menambahkan ilmu pengetahuan tentang isu yang dipaparkan.

    BalasPadam
  3. terima kasih sangat membantu

    BalasPadam