Rencana ini disiarkan di dalam majalah Fokus SPM, Julai oleh Hj. Samat Buang
Majoriti rakyat Malaysia rata-rata masih kurang yakin untuk menjadikan sukan sebagai karier profesional, faktor utama yang menyebabkan pembangunan sukan negara berjalan agak lembap. Mengikut kajian setakat ini hanya 18 sehingga 20 peratus masyarakat yang membudayakan sukan berbanding di negara luar seperti Denmark 74 peratus kanak-kanak dan remajanya bersukan. Di negara maju lain 50 hingga 60 peratus masyarakatnya bersukan kerana menyedari pentingnya aktiviti tersebut. Kebanyakan individu di negara ini lebih yakin bahawa akademik mampu memberi jaminan masa depan lebih baik berbanding sukan. Justeru, hanya segelintir atlet serius dengan kerjaya mereka, manakala selebihnya hanya menjadikannya sebagai hobi dan tidak berharap untuk memajukan diri dalam sukan yang diceburi. Kita mahu sukan dijadikan kerjaya profesional, tetapi kita perlu meyakinkan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka menjadi atlet secara serius. Namun, antara kepentingan bersukan dan akademik, ibu bapa mempunyai pendapat tersendiri, khususnya dalam mempengaruhi pilihan anak-anak mereka kerana membabitkan masa hadapan kanak-kanak tersebut. Ibu bapa lebih mementingkan kelulusan akademik walaupun bersukan dikatakan mampu memberi masa depan yang cerah kepada anak-anak mereka.
Sebenarnya usaha untuk mengadakan sukan sekolah tidak terhenti setakat di peringkat sekolah sahaja, malah pelajar yang aktif dalam sukan diberi ruang untuk terus bersaing di peringkat yang lebih mencabar khususnya dalam acara sukan peringkat daerah, peringkat negeri, dan peringkat kebangsaan. Di Malaysia, kita bernasib baik kerana Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) diwujudkan dan sentiasa aktif melakar pelbagai kejohanan dan program. Tanpa aktiviti pendidikan sukan di peringkat sekolah, Malaysia mungkin ketandusan atlet. Apabila mereka menamatkan persekolahan di tingkatan lima, di mana mereka hendak teruskan bakat dan minat mereka? Berapa banyak agaknya kelab-kelab sukan amatur yang aktif menawarkan tempat kepada kumpulan pelajar tersebut. Akibatnya, bakat dan minat mereka hilang begitu sahaja dan menyumbang kepada gejala lepak dan masalah gejala sosial lain. Senario tersebut tidak berlaku di kebanyakan negara lain masa kini. Mereka mempunyai banyak atlet yang bukan sahaja lahir melalui kejohanan sekolah, tetapi juga puluhan kejohanan peringkat kelab-kelab sukan amatur di negara mereka. Oleh sebab itu, mereka mempunyai lebih pilihan dan dapat menghasilkan yang lebih terbaik antara yang terbaik. Tegasnya, kejohanan sukan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) merupakan landasan bagi menghasilkan generasi atlet pelapis negara.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah Fokus SPM, Julai 2009
Salam TUAN HAJI,
BalasPadamSalam silaturahim. Mudah-mudahan, blog tuan akan dapat dimanfaatkan oleh warga guru BM dan menjadi wadah keterampilan berbahasa agar BM akan terus cerlang! Mudah-mudahan ilmu tuan akan dapat dikongsi bersama-sama dengan khalayak pengunjung.
Terima kasih atas ulasan cikgu..Saya pun berharap begitu..cuma beri saya sedikit masa untuk mengisi blog ini dengan bahan paparan yang menarik kerana kekangan waktu supaya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
BalasPadamTahniah kerana niat Tn Hj untuk menjadi seorang blogger akhirnya terlaksana. Mudah-mudahan bahan yang Tn Hj paparkan memberi manfaat kepada rakan guru dan pelajar.
BalasPadamTerima kasih kpd. Cikgu Razak atas ucapan itu dan alhamdulillah hasrat untuk membina blog sendiri menjadi kenyataan. Sama-samalah kita memanfaatkannya untuk menyebarluaskan ilmu dan maklumat kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.
BalasPadam