Isnin, 13 Julai 2009

MENGIMBAU ZAMAN REMAJAKU



Sewaktu remaja, kehidupan saya tidak seperti kanak-kanak yang lain. Saya dibesarkan bersama-sama seorang adik perempuan dalam suasana yang susah ibarat Malam berselimut embun, siang bertudung awan. Ayah membesarkan saya dengan tulang empat kerat mengayuh beca dari pagi sehingga larut malam, manakala ibu mengambil upah mencuci baju di rumah orang. Pada hujung minggu, ibu saya akan menyediakan kuih-muih untuk jualan dan saya akan menjaja di sekeliling kampung. Tidak lama kemudian, nasib menyebelahi kami kerana ibu saya diterima menjadi tukang masak di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka. Sebelum ibu mendapat pekerjaan tetap dan berpencen, kami tinggal di sebuah rumah yang cukup daif pada ketika itu, berbumbung dan berdindingkan atap semata-mata dan bertiangkan batang kelapa, serta berlantaikan papan. Setelah dua tahun bekerja, ibu saya terpaksa meminjam daripada koperasi untuk membina rumah yang lebih selesa daripada rumah yang sedia ada di kampung seberang, iaitu di Kampung Musai, Melaka.

Dari sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, saya tidak pernah mendapat sebarang bantuan biasiswa. Segala-galanya terpaksa kena beli atau bayar sendiri termasuk buku teks dan yuran sekolah sebanyak RM10 yang dibayar setiap bulan. Selama tiga tahun pertama di sekolah menengah, saya berjalan kaki ke sekolah sejauh 4 kilometer ke sekolah. Setelah berjaya dalam peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), saya dihadiahkan sebuah basikal walaupun ibu terpaksa berhutang dan membayarnya secara beransur-ansur selama satu tahun. Secara jujur, pencapaian saya di peringkat sekolah rendah dan menengah sederhana sahaja, tetapi saya cukup berbesar hati kerana setiap tahun dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan saya dianugerahkan “Sijil Kehadiran 100%”. Hal ini demikian kerana saya tidak pernah mangkir, malah di peringkat sekolah menengah pun ketidakhadiran saya tanpa sebab yang kukuh tidak pernah melebihi dua hari setahun. Saya tetap akan ke sekolah walaupun dalam keadaan demam yang tidak memudaratkan. Saya berasa sangat rugi kerana ketinggalan pengajaran guru buat pertama kali. Walaupun cikgu mengulang pada hari berikutnya, tetapi mungkin tidak sama seperti penerangannya yang terdahulu. Saya berasa seronok berada di sekolah dan berbangga dengan sekolah yang berjaya membentuk hidup saya. Mata pelajaran yang paling saya minati ialah Prinsip Akaun ketika itu dan dianugerahi pelajar terbaik dalam mata pelajaran tersebut. Tegasnya, saya amat yakin bahawa untuk berjaya dalam hidup kita memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan. Begitulah rangkaian prinsip hidup yang harus menjadi pegangan setiap orang yang ingin menentukan hala tuju masa depan mereka.

Selepas tamat persekolahan peringkat Malaysian Certificate of Education (MCE), saya sempat melakukan pelbagai jenis pekerjaan sambilan termasuk bekerja di tapak pembinaan. Saya hanya berpengalaman belajar di Tingkatan 6 selama sebulan sahaja di Malacca High School (kini SMK Tinggi Melaka). Tidak lama selepas itu, saya berpeluang untuk menjadi guru sandaran selama hampir dua tahun di SMK Dato’ Dol Said, Alor Gajah. Minat untuk mengajar pada ketika itu memang sangat berkobar-kobar sehingga saya berpeluang untuk memasuki maktab perguruan dalam bidang Pengajian Perdagangan. Walaupun cita-cita saya pada asalnya untuk menjadi seorang akauntan terkubur begitu sahaja, namun saya tetap berbangga kerana dapat melahirkan beberapa orang akauntan dalam kalangan mantan pelajar saya. Kejayaan mereka menjadi kepuasan kepada saya, sekali gus menghilangkan kelelahan melayani kerenah mereka.

Semasa di maktab, saya bergiat aktif dengan memegang beberapa jawatan penting dalam beberapa persatuan yang saya ceburi termasuk bidang penerbitan. Dari situ minat saya terhadap bidang penulisan semakin terserlah. Saya mula berkarya sejak tahun 1979 lagi dan antara karya yang pernah dihasilkan peringkat awal termasuk cerpen, puisi, dan rencana. Walau bagaimanapun karya kreatif seperti cerpen tidak banyak saya hasilkan (sekadar 10 cerpen) dan cerpen terakhir saya berjudul “Terlantar” yang disiarkan majalah Mastika. Cerpen ini merupakan kisah benar mengenai diri saya yang dihasilkan setelah saya keluar dari hospital kerana terlantar hampir dua minggu akibat kemalangan jalan raya dan sambung berehat di rumah selama sebulan. Saya sangat bersyukur kerana Allah menyelamatkan saya dan secara kebetulan peristiwa pahit itu berlaku seminggu selepas saya bertunang. Mungkin waktu itu berdarah manis seperti kata orang tua-tua. Sejak itu, minat saya terhadap tulisan kreatif terhenti dan saya mula beralih pada penulisan rencana yang lebih bersifat akademik sehingga ke hari ini.

Setelah mengajar selama 14 tahun di SMK Tun Haji Abdul Malek, Tanjung Minyak, Melaka, saya berasa sudah sampai masanya untuk merobah nasib hidup saya. Setelah mencuba mengambil peperiksaan STPM sebanyak tiga kali saya mencuba nasib untuk menjejakkan kaki ke universiti tetapi mendukacitakan mungkin kerana persaingan sengit. Berkat doa saya di Mekah ketika menunaikan fardu haji pada Mei 1991 (selepas peristiwa Perang Teluk), akhirnya Allah memakbulkan permintaan saya. Secara kebetulan saya menerima dua tawaran kemasukan ke menara gading, iaitu satu dari Universiti Sains Malaysia dan satu lagi dari Universiti Pertanian Malaysia pada tahun yang sama, namun saya terpaksa memilih universiti yang terdekat. Sebenarnya, kelebihan saya dalam bidang penulisan menjadi “tiket paling istimewa” yang memudahkan saya ditawarkan mengikuti program Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama (PBMP) selama 4 tahun selain kelayakan asas yang ditetapkan. Hal ini demikian kerana ketika itu saya telah menghasilkan lebih daripada 800 artikel yang menyentuh pelbagai bidang khususnya agama, akademik, dan rencana umum.

Ruang dan peluang ketika menimba pelbagai ilmu peringkat alma mater menjadikan minat dan bakat saya dalam bidang penulisan terus digilap, malah semakin prolifik apabila saya diberi ruangan tetap dalam majalah Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan Jurnal Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sewaktu masih bergelar “mahasitua”. Secara implisit, kesempatan ini saya gunakan untuk mencari “duit belanja” bagi menampung pengajian saya di universiti selama empat tahun tanpa sebarang biasiswa, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih menerima separuh gaji. Saya amat berterima kasih pada rakan-rakan editor di DBP yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis dalam majalah terbitan mereka ketika itu seperti Encik Hassan Alias, Puan Hjh. Asiah Idris, Puan Aminah Haji Harun, Encik Zubaidi Abas, Encik Armin Azhari Salleh, dan Encik Mohamad Shahidan, dan lain-lain lagi. Sebagai penulis, setiap waktu yang terluang akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya seperti peribahasa pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar dengan meningkatkan pembacaan sama ada melalui buku, majalah, atau melayari internet. Setiap kali rencana saya diterbitkan saya akan berasa cukup puas kerana dapat berkongsi ilmu dan pengalaman saya dengan orang lain. Kini, setelah Dewan Siswa difrancaiskan kepada Kumpulan Karangkraf oleh DBP saya masih lagi diberi kesempatan untuk menulis rencana fokus bulanan dan segmen KOMSAS, di samping majalah Fokus SPM dan Pelita Bahasa terbitan DBP. Pendek kata, bidang penulisan sudah menjadi darah daging dalam diri saya dan tidak akan ada noktah selagi hayat dikandung badan.

Setelah tamat pengajian di universiti pada tahun 1996, rezeki dan komitmen saya semakin bertambah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa setelah memperoleh segulung ijazah khususnya dari UPM, saya mendapat kepercayaan daripada banyak pihak berbanding sebelum ini. Penglibatan saya dalam majlis rasmi yang besar-besar seperti seminar, konvensyen, bengkel, dan sebagainya, serta pergaulan yang luas dengan pelbagai pihak menjadikan saya lebih matang untuk memikul amanah yang lebih berat. Jelas sekali, komitmen saya dalam aktiviti kebahasaan semakin menyerlah apabila diberi kepercayaan untuk membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada peringkat kebangsaan mahupun peringkat negeri. Peranan sebagai jurulatih utama kebangsaan, guru sumber, fasilitator, penceramah, panel penilai dan kawalan mutu buku teks, pengerusi teknikal negeri, pengacara majlis, dan sebagainya tidak pernah saya tolak sekadar menambah ilmu dan menimba pengalaman baharu. Secara tidak langsung, pengalaman yang berharga ini menjadikan profesion keguruan semakin menarik dan tidak tertumpu semata-mata pada proses pengajaran dan pemelajaran di dalam kelas sahaja.

Tugas pertama saya ketika menjadi Jurulatih Utama Kebangsaan, anjuran Pusat Perkembangan Kurikulum benar-benar menguji kredibiliti saya khususnya dalam aktiviti KOMSAS (Komponen Kesusasteraan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu). Saya sempat bersama-sama Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Tuan Haji Zakaria Prengis dari peringkat mula menggubal Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sehingga peringkat menyampaikan taklimat kepada guru-guru Bahasa Melayu peringkat zon selatan (Melaka, Johor Bahru, Negeri Sembilan, dan Selangor) di Melaka dan peringkat zon timur (seluruh negeri Sarawak) di Bintulu, Sarawak. Pengalaman yang luas dalam bidang kebahasaan itu saya abadikan dengan menghasilkan beberapa buah buku ulasan dan rujukan KOMSAS dan Bahasa Melayu untuk panduan para guru dan pelajar. Begitu juga, saya sering diundang untuk mengendalikan pelbagai aktiviti kebahasaan dan KOMSAS peringkat universiti, DBP, dan sekolah di seluruh negara. Selain aktiviti kebahasaan, saya juga aktif dalam membantu pihak Jabatan Pelajaran Melaka bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan yang menjadi mata pelajaran opsyen peringkat maktab sebagai fasilitator dan pembina item. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana dapat menguasai dwibidang tersebut sejak mula bergelar “guru”.

Nasihat saya kepada remaja generasi hari ini supaya mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang sedia ada. Faktor kemiskinan tidak harus menjadi halangan untuk kita berjaya dalam hidup. Kita perlu sedar bahawa jika kita susah, tetapi di luar sana masih banyak lagi insan yang tidak bernasib baik dan hidup lebih menderita daripada kita. Prinsip hidup yang menjadi pegangan saya, iaitu “Gagal Untuk Bersedia, Bersedia Untuk Gagal” sentiasa menjadi stimulus untuk saya meningkatkan kualiti hidup sekali gus mengubah nasib keluarga. Walaupun kecemerlangan yang saya peroleh datang agak lewat, namun saya tetap bersyukur kerana kecemerlangan ini telah merobah hidup saya daripada keadaan yang susah kepada keadaan yang ada hari ini. Selain itu, kita juga harus ingat bahawa “Hidup tak selalunya indah, tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan”. Oleh itu, janganlah sekali-kali kita berputus asa dan berasa rendah diri kerana tidak cemerlang pada peringkat awal kerana esok tetap ada selagi kita mempunyai iltizam untuk melakukan anjakan paradigma. Secara tuntas, dapat saya simpulkan bahawa “Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup pula ada kekuasaan ilmu.”

1 ulasan: