Rabu, 8 Oktober 2014

MENJELANG PEPERIKSAAN SPM - FOKUS ISU 6

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - 6

Kemahiran menguasai bahasa asing dapat memberi nilai tambah kepada pelajar untuk bersaing dalam pasaran kerja. Untuk bersaing dalam bidang pekerjaan, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi memang merupakan suatu pertimbangan penting yang diambil kira oleh sesetengah majikan dalam mana-mana syarikat antarabangsa atau multinasional dan tempatan, serta di sektor awam mahupun swasta. Pendek kata, menguasai banyak bahasa asing merupakan suatu aset penting dalam meningkatkan persaingan mencari rezeki dalam era globalisasi ini. Kita dapat melihat, sering kali syarikat elektronik terkemuka dari Jepun mengalu-alukan pekerjanya menguasai sedikit sebanyak bahasa Jepun, terutamanya jurutera atau eksekutif yang perlu dihantar berkursus ke Jepun. Tegasnya, bagi mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan terutamanya yang kini sedang berhadapan dengan dunia persaingan global, penguasaan bahasa asing adalah faktor terpenting bagi meningkatkan kualiti persaingan diri. Menguasai bahasa ibunda semata-mata tidak mampu memberi kejayaan pada seseorang untuk bersaing dalam arus globalisasi. Pihak majikan lazimnya lebih tertarik dengan bakal pekerja yang berpengetahuan luas selain mahir bertutur pelbagai bahasa. Mahu tidak mahu, kita perlu menguasai bahasa asing untuk meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia agar mampu menimba ilmu dan teknologi mutakhir. Walau bagaimanapun dalam konteks Malaysia, hal ini tidaklah bermakna kepentingan bahasa Melayu terus diabaikan, tetapi tetap terpelihara.

*** Sila rujuk artikel 1 saya selanjutnya yang berjudul "KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA" dalam buku KRU 3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan