Rabu, 20 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 7: SINOPSIS BAB 4 - NOVEL RENYAH

Bab 4

Datuk Dolhi menyampaikan ceramah keusahawanannya dengan penuh semangat dan kata-kata bernas daripada tokoh-tokoh tertentu kepada sekumpulan pelajar Perdagangan pada petang itu. Belum sempat Datuk berehat di rumah, Datin Tominah menggesa Datuk untuk menemaninya ke Pertunjukan Busana Islam. Pertunjukan fesyen itu memang membosankan dan meletihkan buat Datuk kerana melayani sesuatu yang tidak digemarinya. Datin Tominah memujuk Datuk supaya membantunya membuka butik yang diidamkannya, tetapi Datuk seolah-olah tidak berapa yakin dengan kebolehan isterinya yang tidak ada pengalaman langsung dalam menguruskan perniagaannya. Bagi Datuk banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum benar-benar melibatkan diri dalam perniagaan busana seperti itu. Datin agak kecewa kerana Datuk melemahkan semangatnya untuk berniaga. Sementara itu, di luar rumah Dani dan Ilham leka dengan minat masing-masing, manakala Amera leka dengan kerja sekolahnya, dan Mukhlis pula sedang beratib di bilik atas.

Selasa, 19 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 6: SUASANA DI PACHINKO

Bagi murid-murid yang membaca novel Renyah, pasti akan tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan "pachinko" seperti dalam petikan dialog antara Datuk Dolhi dan Wahi .

Berikut dipaparkan suasana di dalam salah sebuah Pachinko di Jepun:


* Sebahagian daripada warga Jepun leka bermain mesin pinbal sama ada untuk tujuan hiburan atau perjudian.

ULASAN KOMSAS 5: SINOPSIS BAB 3 - NOVEL RENYAH


Bab 3

Ketika Datuk Dolhi berada di pejabat pagi itu, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Wahi yang berada di Hiroshima. Beliau sempat berpesan kepadanya supaya mengambil kesempatan untuk mempelajari bidang pengurusan dan budaya kerja dari negara matahari terbit. Datuk Dolhi juga diingatkan oleh Rozie, Setiausaha syarikatnya tentang jadual pertemuannya dengan Raj Hussein dan ceramahnya pada penting itu kepada sekumpulan pelajar dari Institut Perdagangan Kebangsaan. Dalam pertemuan singkat tersebut Datuk Dolhi meminta penjelasan daripada wakil konsultan, Raj Hussein dan pegawainya, Emzita tentang nama yang sesuai untuk digunakan bagi projek perumahan mereka yang baharu. Selepas itu, Datuk Dolhi kembali ke pejabatnya untuk bersiap-siap kerana beliau perlu menyampaikan ceramah di Institut Perdagangan Keusahawanan pada petang tersebut. Setelah Rozie menyerahkan teks ucapan yang diminta dan teks ceramah yang disediakan oleh Wahi kepada Datuk Dolhi, Datuk terus balik ke rumah untuk makan tengah hari dan akan ke institut tersebut selepas makan tengah hari. Selain itu, Rozie turut memaklumkan kepada Datuk tentang permintaan Datin Tominah untuk menemaninya ke Pertunjukan Busana Islam pada sebelah malam.

Isnin, 18 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 4: SINOPSIS BAB 2 - NOVEL RENYAH


Bab 2

Albert Lee menelefon Datuk Dolhi untuk mengajaknya berjoging pada petang itu. Walaupun Kebetulan ketika itu rakan-rakannya yang lain tidak ada, Albert mencadangkan supaya mereka berjoging sahaja. Pada masa yang sama, Datin Tominah sempat menelefon rakan-rakannya membincangkan soal penubuhan kelab datin-datin bagi memperjuangkan hak mereka yang bergelar “datin”. Sambil berjoging, Datuk Dolhi turut membincangkan hal-hal perniagaan, anak-anak, kelab, dan isteri silih berganti. Tiba-tiba Datuk Dolhi mengalami sesak dada dan mereka berehat seketika. Datuk Dolhi meluahkan rasa kecewanya kepada Albert terhadap sikap anak-anaknya, Hasnol dan Ilham yang tidak mahu mengikut kehendaknya untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Mereka terus beredar dari situ setelah matatahri tenggelam di balik gunung yang menjadi latar kota itu.

Sabtu, 16 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 3: SINOPSIS NOVEL BUKAN DUNIAKU - BAB 1

Bab 1 – Mencari Sesuap Nasi

Mengisahkan nasib yang menimpa seorang remaja bernama, Halim yang terpaksa mengambil upah mencuci kereta demi mencari sesuap nasi. Setiap hari beliau terpaksa mencuci kereta di bawah cengkaman Abang Joe. Halim terpaksa melakukan kerja tersebut seperti remaja-remaja lain yang dipaksa oleh Abang Joe yang menjalankan kerja haram seperti menjaga petak letak kenderaan, mencuci kereta, dan sebagainya. Walaupun mereka diberi makan tetapi pergerakan mereka terbatas kerana dikawal oleh Abang Joe dan konco-konconya. Halim tiada pilihan lain kecuali terpaksa menuruti segala arahan Abang Joe. Dia tidak berani hendak membantah atau cuba melarikan diri, malah dia hampir-hampir kehilangan nyawa disebabkan pukulan dan seksaan daripada kawan-kawan Abang Joe. Ekoran daripada itu, timbul rasa kesal di hatinya kerana terlalu mengikut hatinya meninggalkan ibu bapanya secara melulu. Keinginannya untuk bebas daripada kongkongan Abang Joe kini hanya sekadar impian semata-mata. Kesemua kenangan silam bersama-sama keluarganya itu masih segar dalam benaknya, tetapi Halim hanya mampu mengalirkan air matanya. Lamunannya terhenti apabila Abang Joe dan kawan-kawannya muncul untuk mengangkutnya pulang.

Selasa, 12 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 2: SINOPSIS BAB 1 - NOVEL RENYAH


Bab 1
Datuk Dolhi terlalu bingung memikirkan anak-anaknya yang tidak mempunyai cita rasa yang sama dengannya. Sebagai seorang pemaju perumahan yang dijalankan secara usaha sama dengan Albert, beliau ingin akan anak-anaknya mewarisi perniagaan yang sedang diusahakan. Malangnya, kesemua anaknya tidak berminat langsung untuk menceburi bidang perniagaan. Anaknya yang sulung, Hasnol lebih mengutamakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik. Begitu juga dengan Ilham, anak ketiganya lebih berminat dalam dunia sastera dan pencinta alam. Lebih mendukacitakannya lagi apabila anaknya, Mukhlis menolak untuk bekerja dengan ayahnya kerana tidak bersetuju dengan perniagaan yang dijalankan oleh ayahnya yang berunsurkan riba. Sementara itu pula, seorang lagi anaknya, Dani lebih cenderung dalam bidang hiburan dan merupakan seorang artis yang sedang meningkat naik. Manakala, ketika Datuk Dolhi dan Datin Tominah sedang membincangkan masalah anak mereka masing-masing, tiba-tiba muncul pula Amera. Apabila ditanya tentang hubungannya dengan Robert, Amera menolak dan tidak berkenan dengan lamaran tersebut. Ternyata, keresahan Datuk Dolhi pada petang itu masih belum berakhir.

Ahad, 10 Januari 2010

ULASAN KOMSAS 1: SINOPSIS CERPEN KASUT KELOPAK JANTUNG (TING. 1)

Mulai hari ini saya akan berusaha untuk memasukkan entri berkaitan dengan ulasan KOMSAS bagi tingkatan 1 dan 4, memandangkan mulai sesi persekolahan 2010 guru dan murid akan mengkaji kedua-dua teks antologi KOMSAS dan novel baharu. Mudah-mudahan bahan yang dipaparkan di dalam blog ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sinopsis

Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan lagi ketika balik dari surau pada malam itu. Hadiah seperti itu sering diterimanya setiap kali menjelang 16 Mei. Hadiah itu telah membuatkan Cikgu Harun mengimbas kembali kenangan silamnya sebagai pendidik di kawasan pedalaman tiga dekad yang lalu. Ketika Cikgu Harun di dalam kelas darjah tiga, beliau pernah menanyakan Ahmad, mantan muridnya sama ada beliau sudah membeli kasut atau belum. Pertanyaan yang sama juga diulangi saban minggu kerana Ahmad tidak mampu untuk membeli sepasang kasut. Cikgu Harun terus mendesak Ahmad sehingga menimbulkan kemarahan kepada Cikgu Harun. Pada suatu hari, ketika aktiviti senaman dijalankan Ahmad didenda memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang kerana Ahmad tidak berpakaian lengkap seperti murid-murid lain. Peristiwa itu telah menyebabkan Ahmad berasa malu dan terus ponteng sekolah hampir seminggu lamanya.

Cikgu Harun terpaksa ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab Ahmad tidak datang ke sekolah. Setelah menunggu beberapa ketika Ahmad pulang dari kebun dan masih memakai kasut kelopak jantung yang diberikan oleh Cikgu Harun. Kepatuhan muridnya ini dan ketidakmampuannya untuk membeli sepasang kasut menyebabkan Cikgu Harun tidak dapat menahan kesedihannya. Lantas, beliau terus ke pekan untuk membelikan pakaian sekolah dan kasut untuk Ahmad. Sebenarnya, segala memori indah yang dipaparkan antara Cikgu Harun dan Ahmad sudah pun berlalu tiga dekad lamanya. Kini, Cikgu Harun sudah pun bersara dan setiap tahun sempena Hari Guru, beliau akan dihadiahi Ahmad dengan sepasang kasut baharu dan berjenama. Hal ini demikian sebagai mengenang jasa Cikgu Harun kerana Ahmad kini sudah berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Peristiwa memakai kasut kelopak jantung telah menyedarkan Ahmad betapa pentingnya kasut kepada manusia.

Ahad, 3 Januari 2010

KOMSAS 18: SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.7/2009

SPI - PERTUKARAN TEKS KOMSAS MULAI TAHUN 2010

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7 /2009 bertarikh 26 November 2009 tentang pertukaran Teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5) mulai 2010 telah pun dihantar ke sekolah-sekolah untuk tindakan guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di seluruh negara. Antara perkara yang ditekankan termasuk:

  • Tujuan dan latar belakang Komponen
  • Tarikh pelaksanaan
  • Bentuk dan bilangan teks
  • Peruntukan waktu
  • Penaksiran
  • Model Genre dan senarai buku teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia
  • Antologi KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 1 dan 4

Untuk mendapatkan surat pekeliling tersebut klik pada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7 /2009 yang berikut:


SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.7/2009

Sabtu, 2 Januari 2010

ARKIB SASTERA 1 : SENARAI TEKS BAHARU MATA PELAJARAN KESUSASTERAAN MELAYU (ELEKTIF) TING. 4 & 5 2010

Sebaik sahaja sesi persekolahan 2010 bermula, semua pelajar yang mengambil mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu (KME) akan menggunakan teks baharu mulai 2010 di tingkatan 4. Berikut diperincikan butiran yang berkaitan dengan mata pelajaran tersebut:

A. Bilangan Genre dan Teks (Ting. 4 & 5) :

Genre:

Novel (2)
Cerpen (17)
Drama (5)
Puisi Moden (46)
Puisi Tradisional (20)
Prosa Tradisional (6)


B. SENARAI BUKU TEKS BAHARU


Novel:
  • Jeriji Kasih (Ramlah Abd. Rashid)
  • Dari Lembah Ke Puncak (Ghazali Lateh)

ANTOLOGI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN KBSM - ANAK GLOBAL

Cerpen:
  • Gelungnya Terpokah (Shahnon Ahmad SN)
  • Anak-anak Pejuang (Ghazali Lateh)
  • Anak Gembala (Zahari Affandi)
  • Anak-anak Suria (Zaharah Nawawi)
  • Bah Urei (Baharuddin Kahar)
  • Melakar Impian (Mohd. Kassim Mahmud)
  • Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd. Zaki)
  • Aksi Sang Jerut (Zaid Hj. Mohd. Saman)
Sajak:
  • Pasar Pengalaman (T. Alias Taib)
  • Sesekali Dalam Sajak (Nawawee Mohammad)
  • Nasi Ayam Lauk Sepinggan (J. M. Aziz)
  • Anak Global (Muhammad Hj. Salleh SN)
  • Ruang Terbuka Masih Terbuka (Khadijah Hj. Hashim)
  • Di Dada Mereka Ada Khalid (Shahrulnizam Abdul Talib)
  • Ayah (Baha Zain)
  • Al Andalus Menangis (Fahd Radzy)
  • Mahkota (Saiffulizan Yahaya)
  • Kembali Gawai Rindu Terlerai (Abizai)
  • Pengelana Waktu (Ruzaini Yahya)
  • Memancung Insani (Ihsan Norzali)
  • Duka Tanah (Chu E Liang)
  • Sesekali Pesakitku (Aminah Mokhtar)
  • Warkah luka dari Ramaliah (Husna Nazri)
  • Waktu itu: Antara Ramadhan dan Syawal (Shamsuddin Othman)
  • Asin Musim Genting (Jamaluddin D.)
  • Merdekala Bahasaku (Siti Zaleha M. Hashim)
  • Sebuah Pesanan (Ghazali Lateh)
  • Di atas Peterana Bangsa (Nadzim Mohd. Subari)
  • Negeriku Merdeka (Marjan S.)
  • Lelah Tapi Indah (A. Ghani Abdullah)
  • Kita Berdua Adalah Gambar (Suhaimi Haji Muhammad)
Drama:
  • Muzikal Kampung Baru (Hatta Azad Khan)
  • Dongeng Sang Puteri (Wan Ahmad Ismail)
  • Menggapai Pelangi (Taha Abdul Kadir)
ANTOLOTI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU MODEN KBSM - MADU ILMU

Cerpen:
  • Seekor Manusia Seorang Binatang (Muhammad Isa al-Jambuli)
  • Warna Hati Seorang Datin (Rahman Hj. Yusof)
  • Benar Kata Ayah (Ria Asmara)
  • Gersang (Masniyah Kalyubi)
  • Tagung (Witer Gunik)
  • Sidang Para Dukun dan Sindron (Hasan Ali)
  • Rindu Tanah Malaya (Che Hashim Latiff)
  • Di Bawah Langit Takut-takut (Amalia Fauza Bohari)
  • Bagai Hembusan Bayu Senja (Juri Durabi)
Sajak:
  • Penggilap Rezeki (Mohd. Hashim Othman)
  • Bunga Damai (Ria Asmira)
  • Hari Tuanya Singgah (Awang Abdullah)
  • Narator Dari Desir Angin (Marjan S)
  • Rumahku (Dayang Zuraidah Awang Fauzi)
  • Keberangkatan Ayah (Ratna Laila Shahidin)
  • Aduhai Bapa (Hashim Yaacob)
  • Nyanyi sunyi Di Desa Sepi (Firdaus Abdullah)
  • Akar (Hilmi Rindu)
  • Kalau Kita Menjadi Kayu (Abdul Rahim Idris)
  • Daun-daun Kering Di Halaman Rumah (Naapie Mat)
  • Sketsa Pengemis Kecil Pada Landskap Kota Raya (Chulan Chin)
  • Madu Ilmu (Shafie Abu Bakar)
  • Kebaikan Yang Ranap (Arbak Othman)
  • Sebatang Pena (A. Aziz Deraman)
  • Pulang (Adi Badiozaman Tuah)
  • Di Mana Tangkai Nyawamu (Daeng Ramli Akil)
  • Nafiri (Ahmad Kamal Abdullah)
  • Sketsa Kerinduan (Shukri Abdullah)
  • Musim Itu (Dijeh ak.Mancha)
Drama:
  • Bendahara Tepok (Shaharom Husain)
  • Lima Perwira (Kala Dewata)

ANTOLOGI TEKS KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL KBSM - SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN

Puisi Tradisional
  • Pantun Empat Kerat (Adat dan Etika)
  • Pantun Empat Kerat (Nasihat)
  • Pantun Empat Kerat (Budi)
  • Pantun Empat Kerat (Cindai)
  • Pantun Empat Kerat (Dagang)
  • Pantun Enam Kerat
  • Pantun Lapan Kerat (Keagamaan)
  • Pantun Lapan Kerat (Perpisahan)
  • Pantun Berkait
  • Syair Si Burung Nuri 1
  • Syair Si Burung Nuri 2
  • Syair Si Burung Nuri 3
  • Syair Si Burung Nuri 4
  • Syair Pentingnya Menjaga Hubungan Keluarga dan Perpisahan
  • Gurindam 12 Fasal 9
  • Gurindam 12 Fasal 11
  • Gurindam Seuntai Kasih Secebis Harapan
  • Seloka Mat Jenin
  • Seloka Sifat Pandir
  • Seloka Pak Kaduk
Prosa Tradisional:
  • Hikayat Indera Nata
  • Hikayat Cendawan Putih
  • Hikayat Putera Jaya Pati
  • Hikayat Seri Kelantan
  • Hikayat Nahkoda Muda
  • Hikayat Caya Langkara
* SELAMAT MEMBACA DAN MENGKAJI KESEMUA GENRE SASTERA!!!

Jumaat, 1 Januari 2010

KOMSAS 17: ULASAN SOALAN KOMSAS SPM 2009 - SIRI 1

Tumpuan perbincangan dalam rencana siri pertama ini berfokus pada ulasan dan bentuk soalan pemahaman KOMSAS peringkat SPM 2009 berdasarkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, manakala dalam siri kedua nanti akan bersambung dengan tumpuan pada soalan novel yang diuji dalam bahagian D.
Diam tak diam, soalan kemahiran komponen sastera (KOMSAS) kini sudah pun masuk tahun kesembilan diuji dalam kertas Bahasa Melayu 2 peringkat SPM, selain soalan kemahiran bahasa. Soalan yang melibatkan aspek KOMSAS lebih tertumpu pada soalan nombor 2 dan 4. Soalan nombor 2 mengandungi empat petikan pemahaman yang terdiri daripada pelbagai genre prosa moden (cerpen atau drama), prosa klasik, dan puisi (moden atau tradisional), dan termasuk soalan pemahaman petikan umum yang melibatkan soalan kemahiran bahasa sahaja.

Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah Fokus SPM, Januari 2010

SEGMEN BAHASA 15: ULASAN & BENTUK SOALAN KERTAS 1 SPM 2009

Fokus perbincangan dalam rencana kali ini bertujuan memaparkan ulasan dan bentuk soalan yang terdapat dalam kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1) yang akan dijelaskan dalam dua siri berasingan. Siri 1 tertumpu pada soalan kemahiran bahasa yang menguji kemahiran penulisan, manakala siri 2 pula tertumpu pada soalan kemahiran bahasa yang melibatkan aspek soalan rumusan; dan soalan pengetahuan dan kemahiran bahasa.
Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah Fokus SPM, Januari 2010