Ahad, 29 Oktober 2017

ISU KARANGAN KE-5 YANG PERLU DIFOKUSKAN






ISU KARANGAN KE-5 YANG PERLU DIFOKUSKAN
Masalah kesesakan jalan raya sudah menjadi perkara serius dan setiap penyelesaian yang dicari haruslah bukan sekadar bertujuan untuk melegakan kesesakan untuk tempoh setahun dua sahaja, tetapi perlu mengambil kira unjuran keadaan lalu lintas 20 atau 30 tahun yang akan datang. Lantaran itu, baru-baru ini pihak Kementerian Pengangkutan menyasarkan sebanyak 25 peratus penduduk di negara ini menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang 2015.
Sebenarnya, sasaran itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di beberapa bandar besar di negara ini selain mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kebanyakan bandar di negara maju, 60 peratus penduduk mereka menggunakan pengangkutan awam, tetapi di negara kita setakat ini, hanya 16 peratus penduduk menggunakan pengangkutan awam dan masih belum mencukupi untuk mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di negara ini. Faktor kelemahan sistem dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang kurang memuaskan telah menyebabkan jumlah warga kota memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri. Akhirnya, kesesakan ini menjadi sebahagian daripada beban dan tekanan kehidupan harian masyarakat kota, dan lebih buruk lagi, membentuk satu stigma dan imej negatif yang sedikit sebanyak membawa kesan terhadap usaha kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan.
Dalam usaha menambah baik pengangkutan awam di negara ini, kerajaan amat prihatin dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat untuk menjadikannya sebagai pilihan utama masyarakat khususnya penduduk ibu kota. Pelbagai langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan tahap kesesakan lalu lintas termasuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan sudah mengambil inisiatif untuk memperbaik dan memperkasakan sistem pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di kawasan bandar. Sebelum itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab untuk merancang, mengawal selia, dan menguat kuasa sistem, serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD juga bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan bagi menggalakkan lebih banyak rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, kerajaan turut memberi fokus kepada empat bidang utama dalam sektor pengangkutan awam di negara agar kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kemudahan tersebut meningkat. Pertama, meningkatkan kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa. Kedua, meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam. Ketiga, memastikan rakyat mendapat akses mudah pengangkutan awam dan keempat menyediakan kapasiti pengangkutan mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan penumpang baharu.
******************
Perbincangan selanjutnya bolehlah ditumpukan pada:
1. Langkah-langkah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam negara.
2. Kesan-kesan terhadap kempen penggunaan pengangkutan awam.
3. Faktor-faktor yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel-artikel saya yang berikut:
1. Artikel 19 yang berjudul "Meningkatkan Mutu Perkhidmatan Pengangkutan Awam" dalam buku KRU 1.
2. Artikel 21 yang berjudul "Strategi Mendepani Kesesakan Lalu Lintas" dalam buku KRU 5.
3. Artikel 19 yang berjudul "Sumbangan Perkhidmatan Uber & Grabcar" dalam buku KRU 7.
4. Artikel 20 yang berjudul "Perkhidmatan Rel Agen Transformasi Pengangkutan" dalam buku KRU 7.
Gambar hiasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan