Kadar salah laku disiplin murid sekolah rendah termasuk penyalahgunaan dadah mencatat peningkatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Ia berbeza dengan pelajar sekolah menengah yang menunjukkan penurunan dalam kes tersebut dalam tempoh yang sama. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, walaupun peningkatan masalah disiplin di sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus, pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.
Secara keseluruhan, katanya, dalam tempoh enam bulan pertama ini, jumlah murid yang terlibat dengan salah laku disiplin ialah 1.26 peratus iaitu menurun 0.01 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada 2008. “Isu yang melibatkan disiplin murid secara keseluruhannya berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul, gaduh, ponteng sekolah serta masalah disiplin ringan. “Peningkatan yang berlaku di peringkat sekolah rendah membabitkan ponteng sekolah, kekemasan diri dan kurang sopan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Disiplin kali ke-2 bersama polis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan-kesatuan guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kadar salah laku disiplin pelajar sekolah menengah secara keseluruhannya menurun daripada 1.96 peratus tahun lalu kepada 1.93 peratus tahun ini. Statistik kementerian menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Ka Siong berkata, jumlah aduan disiplin murid yang diterima bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini ialah 65 kes, menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun lalu. “Tugas mendisiplinkan pelajar antara tugas utama guru, mana-mana pengurusan sekolah yang didapati cuai dan lalai dalam usaha ini akan dikenakan tindakan,” katanya.
Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut, antara cadangan bagi menangani isu disiplin ialah pembayaran elaun tanggungjawab dan pengurangan waktu mengajar bagi guru kanan disiplin di sekolah rendah dan menengah. Selain itu, mewujudkan jawatan warden di semua asrama sekolah di seluruh negara dan mengecilkan nisbah guru kaunselor daripada 1:500 kepada 1:300. Ia juga mencadangkan diperkenalkan program rintis Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) di 116 sekolah menengah, pelaksanaan piawaian keselamatan sekolah dan kerjasama erat dengan NGO dan Majlis Pemangkin Aspirasi Nasional (Mapan), Persatuan Psikologi Malaysia dan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF).
Sumber: Utusan Malaysia, 30 September 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan