Ahad, 6 September 2009

JERAYAWARA BAHASA 10 - TAKLIMAT PROFESIONALISME GURU-GURU BAHASA MELAYU TINGKATAN 5 NEGERI MELAKA



* Ucaptama oleh Tn. Hj. Isa b. Hj. Abu - Pengarah JPM

Majlis Bersama Pengarah merupakan inspirasi daripada program Pemimpin Bersama Rakyat yang menjadi agenda 1 Malaysia. Perjumpaan pihak tertinggi JPM secara langsung dengan guru-guru bagi menyuntik semangat dan idea agar guru meletakkan komitmen yang tinggi dalam mengamalkan prinsip kecemerlangan dan mengatur strategi walaupun pada saat-saat akhir. Sebagai langkah permulaan, pihak JPM meletakkan harapan dan peranan besar kepada guru-guru Bahasa Melayu untuk memastikan calon-calon SPM pada tahun ini mencapai 100% yang layak memperoleh sijil. Program yang dihadiri oleh semua guru Bahasa Melayu Tingkatan 5 negeri Melaka diadakan pada 5 September 2009 (Sabtu) bertempat di Auditorium Kolej Yayasan Saad, Melaka anjuran bersama Sektor Pengurusan Akademik dan Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Melaka.

* Sebahagian daripada guru BM SPM yang hadir
Dalam segmen kedua majlis Taklimat Peningkatan Profesionalisme Guru-guru Bahasa Melayu SPM Negeri Melaka berkesempatan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Tn. Haji Samat b. Buang dari SMK Klebang Besar, Melaka. Antara perkara yang disampaikan termasuk kaedah pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, menganalisis bentuk soalan peperiksaan Bahasa Melayu, dan mengemukakan analisis perbandingan soalan peperiksaan percubaan SPM antara negeri. Taklimat tentang Peningkatan Kualiti Bahasa Melayu dan Modul Pecutan Berfokus yang julung-julung kali diadakan bertujuan:
  • memenuhi hasrat dan tuntutan pihak JPN Melaka untuk memastikan peningkatan kualiti mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat negeri Melaka yang masih berada pada tahap pencapaian keseluruhan sebanyak 93.61%,
  • meningkatkan kualiti pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah masing-masing,
  • mempersiapkan diri pelajar-pelajar untuk menghadapi kertas Bahasa Melayu peringkat SPM melalui modul pecutan berfokus, dan
  • memartabatkan Bahasa Melayu pada peringkat yang sewajarnya.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Mat Hassan bin Abdullah, Penolong Pengarah Bahasa Melayu dari Sektor Pengurusan Akademik JPM yang memberi ruang dan kepercayaan kepada saya untuk menyampaikan taklimat dalam majlis tersebut. Rata-rata peserta berpuas hati dengan taklimat yang sampaikan, di samping mendapat input tambahan yang menarik untuk dikongsikan dengan pelajar-pelajar di sekolah masing-masing. Mudah-mudahan usaha murni para guru Bahasa Melayu peringkat negeri Melaka dapat mengembalikan kecemerlangan akademik selaras dengan visi Sektor Pengurusan Akademik untuk menempatkan Melaka di tempat Pertama di Malaysia dalam bidang Akademik menjelang tahun 2010.

Sumber hebahan di dalam Portal Rasmi JPN Melaka:
http://www.jpnmelaka.gov.my/portal/index.php?option=com_content&task=view&id=350&Itemid=2


Tiada ulasan:

Catat Ulasan