Selasa, 2 Oktober 2012

SEKOLAH BUAT SOALAN SENDIRI

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Mulai tahun depan, semua soalan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibuat sendiri oleh pihak sekolah dan bukan lagi disediakan jabatan pelajaran negeri. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan beban jabatan pelajaran negeri.
Namun, jelas beliau, semua soalan percubaan itu perlu mendapat pengesahan daripada jabatan pelajaran negeri terlebih dahulu sebelum boleh digunakan. “Banyak tugas yang perlu dilakukan jabatan pelajaran negeri dan kita fikirkan ini salah satu cara bagi membantu mengurangkan beban tugas mereka. “Kita akan seragamkan perkara itu di seluruh negara dan pihak sekolah yang bertanggungjawab menyediakan soalan percubaan peperiksaan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Mengenai dakwaan kononnya ada soalan berkaitan demonstrasi Bersih 3.0 dalam peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu di luar pengetahuan kementerian. Menurutnya, sehingga hari ini pihak kementerian belum menerima sebarang laporan atau bukti berhubung dakwaan tersebut. “Kementerian Pelajaran tidak membuat soalan peperiksaan tersebut, sebaliknya ia adalah tanggungjawab jabatan pelajaran negeri atau pihak sekolah sendiri.“Hanya soalan SPM sebenar yang kementerian buat dan dalam isu ini kesahihannya masih belum diketahui," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia  (28 September 2012)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan