Khamis, 24 Mac 2011

SPM TERBAIK DALAM 4 TAHUN


PUTRAJAYA 23 Mac - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 adalah yang terbaik dalam empat tahun ini dengan seramai 9,239 orang atau 2.28 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang ( A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 363 calon berjaya mendapat gred cemerlang tertinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran.

''Sebanyak 368,559 orang atau 91.2 peratus calon berjaya mendapat sijil berbanding 90.8 peratus calon pada tahun lalu. ''Sebanyak 81 daripada 103 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi yang menggalakkan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP)," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2010 di sini hari ini.

Mengenai pelajar terbaik, beliau berkata, seramai empat calon berjaya mendapat A+ dalam kesemua 12 mata pelajaran yang diambil dan 47 lagi mendapat A+ dalam semua 11 mata pelajaran. ''Terdapat 207 calon yang mendapat A+ dalam semua 10 mata pelajaran dan 105 calon mendapat A+ dalam semua sembilan mata pelajaran," katanya, Abd Ghafar berkata, sebahagian besar sekolah di Malaysia dikategorikan dalam pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan. ''Hanya sebilangan kecil iaitu 66 buah sekolah atau 3.1 peratus sahaja yang memperoleh pencapaian berpotensi," katanya.

Menurutnya, seramai tujuh calon berkeperluan khas termasuk yang rabun, buta dan pekak berjaya mendapat keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran. ''Seorang calon rabun telah berjaya mendapat lapan A+ dan tiga A dalam 11 mata pelajaran yang diduduki dan seorang lagi calon buta mendapat enam A+, tiga A dan satu A-," katanya. Tambahnya, pelajar paling cemerlang dalam SPM 2010 akan diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan di Kuala Lumpur pada 1 April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan