Ahad, 13 Februari 2011

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

Kepada:

YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Izinkan kami menyatakan pendirian kami dengan ikhlas.

Isu novel Interlok perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Apatah lagi, isu ini telah dijadikan modal politik untuk mengugut kerajaan dalam pilihanraya DUN Tenang baru-baru ini. Sekiranya tuntutan politik itu dilunasi, kita bimbang akan berlaku lagi tuntutan lain yang tuidak munasabah. Implikasinya ialah rasa kecewa dalam kalangan orang Melayu apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada ugutan kaum tertentu di samping mengabaikan maruah orang Melayu.
Kami tidak melihat isu ini lagi dari sudut ilmiah semata-mata tetapi sudah memasuki ruang politik. Pihak masyarakat India kini tidak lagi diwakili oleh MIC semata-mata tetapi telah melibatkan pertubuhan-pertubuhan lain yang semuanya bebas bersuara. Akhirnya kerajaan terpaksa berdepan dengan kecelaruan tuntutan tanpa mengetahui pihak manakah yang sebenarnya harus dilayani.
Apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh wakil MIC dalam pertemuan dengan wakil Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan YB Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia berjaya dijawab secara ilmiah, wakil MIC tetap bertegas mahu novel itu ditarik balik daripada menjadi buku teks. Keadaan menjadi lebih rumit apabila mereka mengemukakan alasan tambahan bagi menolak novel tersebut.
Kini timbul pula isu lain seperti ketidaktepatan fakta tentang penari Kathakali, bahawa Maniam bukan daripada golongan paria berdasarkan cara kedatangannya ke Tanah Melayu yang tidak mengikut sistem Kangani, geografi India, soal lembu sebagai binatang suci, perilaku tidak bermoral watak India, dan sebagainya. Permintaan itu jelas mencabuli hak penulis, kebebasan bersuara, dan kebebasan dalam sastera. Kita faham setakat mana unsur sensitif yang mesti dielakkan dalam karya sastera tetapi permintaan mereka benar-benar melampaui batas.
Dari sudut ilmiah semua itu dapat dibahaskan, dan dari sudut sastera ketidaktepatan fakta dalam karya sastera bukanlah suatu kemestian. Namun demikian mereka mahu semua itu dibetulkan supaya kejelekan orang India ditiadakan langsung. Permintaan ini langsung tidak munasabah kerana karya sastera tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah tetapi mesti dibaca secara menyeluruh untuk mendapatkan intipatinya. Secara keseluruhan novel ini diakui bagus oleh semua pihak yang menyertai dialog yang diadakan beberapa kali.
Walau apa pun hujah yang kita berikan dan telah sekian banyak masa dan tenaga serta wang ringgit dihabiskan untuk melayan kerenah mereka secara beradab, mereka tetap bertegas meminta buku ini ditarik balik jika tidak dilakukan pemurnian mengikut senarai yang semakin bertanbah hari demi hari.
Mereka mengambil kesempatan daripada kelembutan kerajaan membuat keputusan demi kepentingan mereka sehingga sanggup mempermain-mainkan kredibiliti Kementerian Pelajaran Malaysia, dan kerajaan amnya, dan lebih teruk lagi maruah orang Melayu. Orang Melayu kini tidak lagi dipandang sebagai bangsa yang berdaulat di negara ini kerana masyarakat India menggunakan helah demokrasi dan kertas undi sebagai tiket untuk menyamatarafkan kedudukan mereka dengan bumiputera. Akhirnya, tidak mustahil suatu hari nanti kedudukan istimewa orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit dalam Perlembagaan sekiranya kita tidak menghentikan gelagat biadab mereka.
Oleh hal yang demikian, kami mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi permintaan kami (orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di negara ini. Kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan bersifat perkauman, terutama yang dikemukakan secara kasar. Oleh itu, tuntutan mereka yang berkaitan dengan novel Interlok mesti ditolak kerana ini merupakan tindakan simbolik mereka untuk menguji ketegasan kerajaan, dan kerajaan juga mesti bertindak secara simbolik untuk menegaskan pendiriannya.
Sekiranya kerajaan berlembut dengan mereka, masalah akan berlarutan kerana akan banyak lagi tuntutan yang tidak munasabah akan dikemukakan. Akhirnya berlakulah resam yang sering ditakuti dalam bidalan Melayu: kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Menghakimi sebuah buku yang sudah lama wujud dalam persuratan Melayu samalah seperti kita telah menjatuhkan hukuman kepadanya sedangkan ia tidak wajar diperlakukan demikian. Sekarang kita seolah-olah telah menyifatkan buku itu sebagai pihak yang bersalah lalu kita mencari hujah untuk menyatakan ia tidak bersalah. Kita menjadi terlalu apologetik terhadap orang lain yang tidak pun mempedulikan semangat setiakawan kita secara jujur dan ikhlas.
Seyogia diingat bahawa pematuhan kerajaan terhadap permintaan dan tuntutan bersifat perkauman yang melampau daripada masyarakat India hanya akan menghiris perasaan orang Melayu. Sekarang, orang Melayu sedang menanti tindakan sebenar kerajaan dan akan menunjukkan reaksi mereka dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang, iaitu pilihan raya. Sekiranya orang India berani membuat ugutan kepada kerajaan, orang Melayu juga yang jumlahnya lebih besar akan menuntut perkara yang sama.
Permintaan ini perlu difahami sebagai suara orang Melayu keseluruhannya, dan tidak sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan. Kami hanya menjaga kepentingan dan maruah orang Melayu sebagai pemilik ketuanan di negara dan tanah air kami.
Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang sejak awal telah menangani isu ini melalui beberapa tindakan yang berhemah, termasuk mengadakan diskusi imiah, dialog antara NGO, dan penghantaran memorandum, sekali lagi meminta kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri amnya dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya, mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima tanpa pindaan. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu. Pembacaan secara objektif dan akal yang waras tentu sahaja tidak menemukan sebarang unsur penghinaan terhadap kaum India sebagaimana yang disuarakan oleh wakil masyarakat India.
Kami ulangi asas pendirian kami sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam memorandum pertama kepada YAB Dato’ Sri pada 11 Januari 2011 seperti yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat.

5. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

6. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

7. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

8. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

Saranan

1. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

2. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.
3. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.
4. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
5 Februari 2011

Dipetik daripada sumber: http://saleehblogspot.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan