Jumaat, 17 Disember 2010

NOVEL INTERLOK DITARIK BALIK

KUALA LUMPUR: Buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia yang akan digunakan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah tahun depan bakal ditarik balik berikutan dakwaan kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India. Persetujuan menarik balik serta-merta buku teks bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain itu dipersetujui Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah semalam.
Intelok, novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terbitan DBP itu sudah diedarkan kepada semua sekolah menengah baru-baru ini untuk diagihkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaik sesi persekolahan dibuka awal bulan depan.
Buku teks berkenaan didapati mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran. Katanya, isu itu didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.
Sumber: Berita Harian - 16 Disember 2010

1 ulasan:

  1. salam..sahkan berita ini tuan..dah masuk 2011...tak tarik balik pun?biar betul?yang jadi mangsa murid sekolah dan guru yang terpinga-pinga dengan mainan politik sesetengah pihak yang ada kepentingan sendiri...nak tahu apa pendirian dan pendapat tuan dalam isu ini...tk.

    BalasPadam