Isnin, 19 Oktober 2009

CAKNA : 29 - EJAAN, ISTILAH BETUL DI PAPAN IKLAN PUPUK CINTA AKAN BAHASA KEBANGSAAN



Gambar hiasan:
"rumah idaman mu" sepatutnya dieja
sebagai "rumah idamanmu"


Syarikat iklan masih kurang peka untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul dan sempurna di papan tanda atau iklan, sekali gus memperlihatkan tiada kesungguhan dalam kalangan sektor swasta. Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata berdasarkan pemantauan, cuma 40 peratus penggunaan bahasa Melayu digunakan dengan betul di papan tanda dan iklan di sekitar Petaling Jaya. “Saya masih tidak berpuas hati dengan penggunaan bahasa Melayu. Banyak syarikat pengiklan yang tidak peka dengan ejaan bahasa Melayu yang betul dan adakalanya ejaan pada papan tanda itu sudah hilang atau tertutup dengan iklan lain. Kita sudah berkali-kali menegur mereka supaya selenggara semula dan gunakan ejaan betul. “Kita akan buat pemantauan dan akan segera turunkan semua papan tanda atau iklan yang tidak memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu semakin jelas kurang dititikberatkan pada zaman ini mungkin disebabkan persekitaran masyarakat berbilang kaum di sekitar Petaling Jaya. Malah, mesyuarat penuh majlis itu juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu. “Biasanya, apabila mesyuarat itu dijalankan mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. Malah, minit mesyuarat juga disediakan dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, seboleh mungkin kita akan pastikan mereka menggunakan bahasa Melayu dalam apa-apa juga keadaan. “Oleh itu, Kempen Cintai Bahasa Malaysia dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat membawa perubahan positif ke arah itu. Risalah yang disebarkan itu juga diharap dapat memberikan maklumat tepat dan betul mengenai penggunaan bahasa itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata setakat ini rata-rata permohonan yang dikemukakan syarikat iklan terhadap pemasangan sebarang papan tanda mematuhi garis panduan ditetapkan. Katanya, semua pihak perlu mematuhi Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan, syarikat terbabit meletakkan bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan dengan saiz yang ditetapkan.

“Bahasa Melayu perlu diletakkan dengan saiz yang lebih besar berbanding bahasa lain. Jika di papan tanda atau iklan itu ingin meletakkan bahasa Inggeris atau bahasa lain, hanya dibenarkan dengan saiz yang kecil. “Jika pihak terbabit gagal patuhi undang-undang itu, kita tak luluskan lesen permohonan itu. Bagaimanapun, setakat ini, kita lihat kadar kepatuhan penggunaan bahasa Melayu dilaksanakan dengan baik. “Cuma jika ada kes yang dikenal pasti ialah syarikat tidak memohon dari Jabatan Pelesenan DBKL untuk meletakkan papan tanda atau iklan di premis tertentu. Dalam kes ini, pihak penguat kuasa akan terus mengambil tindakan menurunkan semua papan tanda atau papan iklan yang diletakkan secara haram,” katanya. Beliau berkata, DBKL akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahasa Melayu terus diberi keutamaan serta dimartabatkan. Katanya, DBKL tidak bertolak ansur dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi peraturan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan. “Penggunaan yang betul dan sempurna seharusnya dilaksanakan di mana-mana saja, bukan saja dari segi pertuturan, malah perlu diperluas dalam pelbagai aspek termasuk pada papan tanda kerana turut melambangkan ideologi negara terhadap kepentingannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 19 Oktober 2009.

Ahad, 18 Oktober 2009

JERAYAWARA BAHASA 14: SMK(A) MAAHAD AR RAHMAH

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya, Cikgu Roslee dari SMK Agama Maahad Ar Rahmah, Km. 11 Solok Gaung, Bukit Lintang, Melaka kerana mengundang saya untuk menjayakan program jerayawara bahasa dan motivasi buat julung-julung kali di sekolah ini. Syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 bukan sahaja dari sekolah berkenaan tetapi termasuk beberapa buah sekolah menengah di sekitar Air Molek turut menyertai program yang diatur oleh pihak penganjur, sekali gus memanfaatkan cuti hujung minggu. Mudah-mudahan program tersebut dapat memberi manfaat kepada semua pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM yang tinggal 30 hari sahaja lagi.

Jumaat, 16 Oktober 2009

KOMSAS 13: TEKS NOVEL TERBAHARU - KOMSAS 2010

Mulai 2010, pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 bukan sahaja menggunakan teks antologi terbaharu, (Kasut Kelopak Jantung - Tingkatan 1 dan Harga Remaja - Tingkatan 4), tetapi mereka juga bakal menggunakan teks atau novel terbaharu untuk menggantikan novel yang lama. Hal ini demikian kerana novel yang lama sudah pun berusia sedekad dan perubahan ini memang wajar khususnya untuk guru-guru yang sudah jemu membelek halaman novel yang lama berulang-ulang kali. Cerita yang terdapat dalam novel tersebut pun sudah di hujung jari.
Judul novel yang bakal digunakan untuk zon Melaka, Johor, dan Kelantan seperti sebelum ini ialah "BUKAN DUNIAKU" untuk Tingkatan 1 dan "RENYAH" untuk Tingkatan 4. Sementara itu, bagi zon lain pula akan menggunakan judul yang berbeza dan boleh diperoleh melalui guru-guru Bahasa Melayu atau SPBT di sekolah masing-masing. Pengedaran novel-novel tersebut akan dibuat melalui Skim Pinjaman Buku Teks setelah siap diterbitkan oleh pihak Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Selamat membaca dan menghayati novel-novel tersebut.

Selasa, 13 Oktober 2009

KOMSAS 12: SENARAI SEMAK GENRE NOVEL SPM 2009

Diam tak diam, soalan yang melibatkan genre novel sudah pun masuk tahun kesembilan sejak diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM. Genre novel bukan sahaja diuji dalam peringkat SPM November (SPMN), malah turut diuji dalam peringkat SPM Ulangan (SPMU). Oleh itu, hampir kesemua aspek bukan sastera dan sastera telah pun diuji dalam kedua-dua peringkat SPM tersebut. Malah, ada juga aspek bukan sastera dan sastera diuji lebih daripada sekali.
Selain itu, soalan yang berkaitan dengan aspek perbandingan antara kedua-dua novel yang dipelajari sepanjang dua tahun peringkat SPM telah dimulakan pada tahun 2005, apabila soalan mengkehendaki membandingkan satu latar tempat dalam dua buah novel. Selepas itu, setiap tahun calon dikehendaki membandingkan aspek sastera yang lain termasuk tema, nilai kemasyarakatan, pengajaran, watak dan perwatakan, latar masyarakat, latar masa, dan sebagainya berdasarkan kedua-dua buah novel yang dipelajari.
Antara penekanan yang harus diberikan pada soalan genre novel sama ada peringkat soalan umum atau soalan KOMSAS termasuk:
(a) peristiwa yang mengejutkan kepada pembaca,
(b) peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca,
(c) bahagian cerita yang memperlihatkan semula peristiwa yang terdahulu (imbas kembali)
(d) peristiwa yang menimbulkan cabaran kepada watak sampingan

(e) peristiwa yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan (seperti tanggungjawab, keberanian, ketabahan, kebijaksanaan, dan lain-lain lagi)
(f) peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel
(g) peristiwa yang menyangkut pelbagai persoalan (seperti persoalan semangat kerjasama, persoalan tanggungjawab, persoalan kasih sayang, dan sebagainya).
(h) perbandingan watak utama atau kelebihan watak utama

(i) perbandingan watak utama dengan watak sampingan

(j) perbandingan antara watak sampingan

(k) perbandingan klimaks dalam novel

(l) perbandingan kesudahan cerita dalam novel
.

Berdasarkan senarai aspek yang perlu diberikan penekanan, pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan membincangkan setiap aspek secara serius sama ada secara individu atau pun secara berkumpulan. Pelajar juga boleh merujuk kepada guru masing-masing untuk mendapat jawapan yang lebih mantap dan meyakinkan. Dengan berbuat demikian, pelajar akan lebih bersedia untuk menjawab sebarang soalan yang berkaitan dengan aspek yang diajukan dalam peperiksaan.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Oktober 2009.

Sabtu, 10 Oktober 2009

JERAYAWARA BAHASA 13: SMK AGAMA SHARIFAH RODZIAH

Dalam siri jerayawara bahasa kali ini, saya sempat singgah di SMK Agama Sharifah Rodziah. Program peningkatan kecemerlangan akademik yang diatur oleh pihak sekolah bermula jam 8.00 malam bertempat di dewan makan sekolah. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat saya, Cikgu Taib b. Aziz dan Puan Mariam (Ketua Panitia Bahasa Melayu) yang mengundang saya untuk memberikan input dan suntikan semangat kepada bakal calon SPM.
Daripada riak wajah ceria yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut, jelas menunjukkan mereka mempunyai komitmen dan motivasi yang cukup tinggi ke arah meningkatkan kecemerlangan dalam diri mereka. Kerjasama yang diberikan sepanjang sesi jerayawara bahasa saya sangat membanggakan. Mudah-mudahan kalian semua akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM yang akan datang. Selamat maju jaya.

PENGAJARAN BAHASA: 4 - SENARAI SEMAK PERIBAHASA PERINGKAT SPM

Berikut dipaparkan senarai semak peribahasa yang pernah diuji peringkat SPM (Jun -Ulangan dan November) sejak 2004 untuk rujukan pelajar:

Soalan 3 (e) :

TAHUN

Bentuk soalan peribahasa

Senarai Peribahasa yang diuji

SPMN

2004

Kemukakan tiga peribahasa berdasarkan petikan.

(i) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing / Muafakat

membawa berkat

(ii) Bagai tanduk diberkas / Bagai enau dalam belukar

(iii) Kalau jadi abu, menang jadi arang

SPMU 2005

Tulis ayat berdasarkan peribahasa /cogan kata.

(i) Seperti ikan pulang ke lubuk

(ii) Muafakat membawa berkat

(iii) Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain

SPMN 2005

Nyatakan peribahasa berdasarkan situasi ayat yang berbeza.

(i) Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

(ii) Seperti burung dalam sangkar, mata terlepas badan

terkurung

(iii) Ukur baju di badan sendiri

SPMU

2006

Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

(i) Seperti ular kena palu

(ii) Air ditetak /dicincang tidak akan putus /Biduk lalu

Kiambang bertaut / Carik-carik bulu ayam dilurut

bercantum juga

(iii) Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih

SPMN 2006

Kemukakan peribahasa /kata-kata hikmat berdasarkan petikan dialog.

(i) Bahasa menunjukkan bangsa/ Bahasa Jiwa Bangsa

(ii) Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih

(iii) Mata pena lebih tajam daripada mata pedang

SPMU

2007

Nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat.

(i) Bagai kacang lupakan kulit

(ii) Ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni /Berat

sama dipikul, ringan sama dijinjing

(iii) Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,

bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

SPMN 2007

Berikan maksud peribahasa.

(i) Bahasa Jiwa Bangsa

(ii) Bagai dakwat dengan kertas

(iii) Seperti air dalam kolam

SPMU 2008

Nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat.

(i) Durian runtuh /dapat terpijak /duit terpijak

(ii) Berani kerana benar, takut kerana salah

(iii) sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan

SPMN

2008

Tulis ayat berdasarkan peribahasa /cogan kata.

(i) Bagai menatang minyak yang penuh

(ii) Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau

(iii) Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah

SPMU

2009

Berikan maksud peribahasa

(i) Tiada rotan akar pun berguna

(ii) Menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri

(iii) Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.


Jumaat, 9 Oktober 2009

PENGAJARAN BAHASA: 3 SENARAI SEMAK & ISU KARANGAN SPM


Kertas Bahasa Melayu (1103/01) terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian A dan bahagian B. Bahagian A lazimnya mengemukakan soalan berbentuk bahan rangsangan sama ada berbentuk gambar tunggal, gambar bersiri, grafik, jadual, iklan, carta aliran, petikan, carta pai, ilustrasi, pelan atau peta. Markah yang diperuntukkan untuk karangan bahagian A ialah sebanyak 30 markah. Manakala, soalan bahagian B pula merupakan soalan berbentuk respons terbuka dengan peruntukan markah sebanyak 100 markah daripada pelbagai dimensi soalan diajukan dan menjadikan markah keseluruhan sebanyak 130 markah yang perlu dijawab dalam masa 2 jam 15 minit. Tegasnya, kedua-dua bentuk soalan bertujuan menguji kemahiran menulis karangan, cuma yang membezakannya dari segi bilangan patah perkataan bagi kedua-dua bahagian. Bahagian A mengkehendaki calon menulis antara 200 – 250 patah perkataan, manakala bahagian B pula mengkehendaki calon menulis lebih daripada 350 patah perkataan.

Berikut dipaparkan senarai semak dan isu karangan yang pernah diuji dalam peperiksaan SPM lima tahun yang lepas (2004 - 2008):



1. Karangan Bahagian A

2. Karangan Bahagian B

Rabu, 7 Oktober 2009

CAKNA : 28 - SELAMAT MENDUDUKI PMR

Kepada semua pelajar SMK Klebang Besar khususnya dan calon PMR di seluruh negara amnya, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menduduki PMR. Jangan lupa bahawa sebarang perbuatan yang melanggar peraturan peperiksaan dianggap salah laku dan akan menyebabkan calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) salah laku ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak dibenarkan atau apa-apa salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah laku serius oleh Lembaga Peperiksaan. Oleh itu, patuhi segala peraturan yang sedia ada.
SELAMAT MAJU JAYA!!

Selasa, 6 Oktober 2009

CAKNA : 27 - PROGRAM ULANG KAJI INTENSIF SPM



Peperiksaan SPM kini semakin hampir. Pelajar-pelajar SMK Klebang Besar pagi ini diasak dengan Program Ulang kaji Intensif SPM bermula dari 8.30 pagi Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan program tersebut bagi membantu kumpulan pelajar GALUS dan sederhana untuk menghadapi kertas Bahasa Melayu peringkat SPM yang dijadualkan pada 18 November 2009.
Program ini telah dibimbing oleh Tuan Haji Samat b. Buang (Ketua Panitia) dan dibantu oleh guru-guru Bahasa Melayu yang terdiri daripada Encik Hamir Lehen, Encik Peter Lim, Puan Rosmila Ramli, dan Puan Suzanna Mohd. Sahabudin khususnya yang terlibat dengan Tingkatan 5. Sebanyak hampir 60 orang pelajar yang terpilih dikehendaki menjawab pelbagai jenis soalan Kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 dalam bentuk kumpulan. Matlamat program ini adalah untuk membantu kumpulan pelajar tersebut untuk mencapai kelulusan sekurang-kurang kredit 6 dalam kertas Bahasa Melayu peringkat SPM. Sesi dalam bentuk bengkel ini telah dijalankan di Makmal Siber Sekolah sehingga jam 2.40 petang. Mudah-mudahan usaha murni ini dapat melonjakkan prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu SMK Klebang Besar. Oleh itu, kepada semua pelajar SMK Klebang Besar, diharap teruskan usaha gigih sehingga menjelang hari peperiksaan yang dinanti-nantikan. Guru-guru sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.

CAKNA : 26 - PENGGREDAN BAHARU SPM MUDAH PILIH PELAJAR CEMERLANG

Sistem kini tiada pecahan gred

PUTRAJAYA: Sistem penggredan baru bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diluluskan Kabinet, bulan lalu, lebih mudah untuk mengkategorikan pelajar cemerlang bagi kelayakan biasiswa dan mengikuti pengajian di universiti. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata melalui penilaian baru itu, pelajar akan diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori cemerlang diberikan gred A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G. Gred baru itu akan menggantikan gred lama iaitu 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G. Beliau berkata, penilaian baru itu akan membabitkan semua calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini. "Walaupun dilaksanakan tahun ini, ia tidak membabitkan (perubahan) dasar sedia ada dan calon tidak perlu khuatir kerana sistem gred ini hanya memberi perincian kepada pecahan tahap pencapaian mereka yang menduduki peperiksaan.

"Kaedah ini menggantikan sistem sekarang yang tidak mempunyai pecahan (gred) untuk calon cemerlang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Sukan Institusi Pendidikan Malaysia 2009 (SIPMA III) di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SIPMA III, Datuk Misrah Ibrahim. Alimuddin berkata, sebelum ini jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan jumlah keseluruhan A begitu ramai dan ia meningkat setiap tahun. Berdasarkan sistem itu, sukar bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memilih mereka yang benar-benar cemerlang dan layak mene-rima pembiayaan pengajian. Beliau berkata, penilaian semula gred SPM itu juga sejajar dengan langkah kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang dikhususkan kepada pelajar cemerlang dalam akademik. Perincian gred juga memudahkan kementerian menyediakan program terbaik kepada pelajar selain memberikan khidmat rundingan sesuai dengan program yang bakal diikuti di universiti dalam atau luar negara. Alimuddin berkata, bagi memastikan perubahan berjalan lancar, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua pengetua supaya memberi penerangan mengenai sistem baru itu kepada calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Ibu bapa juga boleh merujuk kepada sekolah untuk maklumat lanjut. "Perubahan ini diharap dapat menghasilkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam peperiksaan dan menyuntik semangat mereka untuk memberikan yang terbaik untuk dipilih mengikuti program latihan dan layak menerima pembiayaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya. Baru-baru ini, Najib mengumumkan satu kategori baru akan diwujudkan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi keistimewaan kepada pelajar berdasarkan merit semata-mata dan bukan bangsa.

Sumber: Berita Harian, 6 Oktober 2009

Ahad, 4 Oktober 2009

CAKNA : 25 - ANTARA KEINDAHAN ALAM & PENCEMARAN BAHASA

"JOGGING ATAU JOGING"?


Taman Botanikal Melaka merupakan sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan unik ,serta menjanjikan ketenangan dari kesibukan kota. Taman Botanikal Melaka telah mula dibangunkan pada 1 Jun 2006. Taman tersebut merupakan cetusan ilham daripada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, hasil daripada lawatan beliau ke luar negara. Taman Botanikal Melaka ini dahulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi Air Keroh mempunyai keluasan 92.5 hektar. Pada peringkat Fasa 1, pembangunan taman ini melibatkan pembangunan imej baru pintu masuk ke Taman Botanikal Melaka, penyediaan kompleks tempat letak kereta, pembangunan taman-taman bunga, dan kemudahan-kemudahan lain. Taman ini merupakan salah satu destinasi pelancongan dan tempat persinggahan yang menjanjikan kedamaian dan ketenangan dari kesesakan dan kesibukan kota. Keindahan taman di celahan hutan kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan menawarkan pelbagai aktiviti untuk berekreasi dan beriadah sambil menikmati udara segar. Taman Botanikal Melaka mempunyai pelbagai keunikan tersendiri dan berbeza dari Taman Botanikal yang lain kerana keadaan persekitarannya yang dikelilingi landskap hutan semula jadi dengan 300 spesies flora dan fauna.

Setelah berehat hampir sebulan setengah kerana bulan Ramadan dan Hari Raya, saya berkesempatan untuk memulakan aktiviti riadah pada setiap hujung minggu di taman tersebut. Aktiviti meredah hutan sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang mengagumkan pasti dapat memberikan ketenangan, di samping berpeluang mencuba aktiviti yang mencabar terutama ketika melalui jambatan gantung yang disediakan.

Di samping itu, bagi mereka yang menggemari aktiviti berjalan kaki atau berjoging, trek pejalan kaki turut dibina di sekeliling kawasan hutan merangkumi keseluruhan kawasan hutan rekreasi ini sambil menghirup udara nyaman. Tetapi, berapa banyak orang yang melalui trek tersebut menyedari penyalahgunaan bahasa dari segi ejaan yang terdapat pada papan tanda yang dipacakkan di laluan pejalan kaki? Papan tanda yang bertulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGGING" yang sepatutnya ditulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGING".