Jumaat, 14 Ogos 2009

CAKNA : 6 - TUJUH LAGI KEMATIAN AKIBAT H1N1



Tujuh lagi kematian terbaru

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tujuh lagi kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) dicatatkan hari ini di seluruh negara menjadikan jumlah terkumpul setakat ini meningkat kepada 51 orang. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, semua kes kematian itu didapati mempunyai risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan imuniti rendah. “Kematian terbaru turut membabitkan bayi yang berumur empat bulan dan seorang warga emas berusia 92 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Saintifik Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat agar tidak panik dengan penularan wabak H1N1 dalam negara kerana 98 peratus daripada jumlah pesakit yang dijangkiti virus itu setakat ini sembuh selepas menerima rawatan. “Saya akui situasi wabak H1N1 di negara ini adalah serius. Bagaimanapun, ia hanya membahayakan apabila menjangkiti golongan berisiko tinggi sehingga mampu membawa kepada kematian,” katanya. Tiong Lai berkata, orang ramai perlu lebih bertanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak H1N1 dengan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami simptom penyakit serupa influenza (ILI) sebelum ia menjangkiti orang lain. “Mereka juga perlu memakai penutup mulut dan hidung serta melaksanakan pengasingan sosial dengan tidak menghadiri majlis-majlis terbuka. Kalau semua rakyat mengikut arahan pencegahan H1N1, kita yakin dapat membendung penularan wabak ini,” katanya.

Mengulas situasi di Johor, Melaka dan Selangor yang mencatatkan kes kematian H1N1 yang tinggi, beliau menjelaskan, ia perlu dilihat dalam skop yang lebih luas kerana wabak itu merebak di seluruh negara. Beliau seterusnya menegaskan, Malaysia belum sampai ke tahap untuk mengisytiharkan darurat kesihatan. “Darurat bermakna kita perlu menyekat pergerakan orang ramai dan melaksanakan tindakan kuarantin terhadap keseluruhan komuniti. Saya rasa kita tidak perlu berbuat demikian pada masa ini,” ujar beliau. Tambahnya, Kementerian Kesihatan tidak akan mengarahkan sekolah-sekolah di seluruh negara ditutup sewenang-wenangnya hanya kerana segelintir murid atau pelajarnya dijangkiti H1N1. “Langkah yang lebih berkesan adalah mengasingkan murid atau pelajar positif H1N1 daripada mereka yang sihat supaya sesi pembelajaran dapat diteruskan,” katanya.

* Gambar Hiasan: Mudah-mudahan program bacaan Surah Yaasin setiap pagi Jumaat di SMK Klebang Besar, Melaka dapat menghindarkan wabak ini daripada menyerang warga sekolah ini khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Ogos 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan