Isnin, 31 Ogos 2009

CAKNA: 12 - MENGHARGAI NIKMAT KEMERDEKAAN KE-52



Sebagai anak kelahiran tahun kemerdekaan, hari ini saya dan rakyat Malaysia dapat sekali mengecapi nikmat Hari Kebangsaan yang ke-52 dengan rasa syukur. Kita harus berasa bangga kerana negara ini memperoleh banyak kejayaan dan berada pada landasan untuk mencapai kecemerlangan. Ketika menikmati rezeki hasil daripada suasana makmur dan kedudukan ekonomi yang baik, maka adakalanya rakyat terlupa bahawa kesemua ini diperoleh daripada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara. Dalam dunia terdapat 191 buah negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan majoriti daripadanya merupakan negara bekas tanah jajahan dan mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, iaitu antara tahun 1945 hingga 1960.
Walaupun Malaysia bukanlah sebuah negara besar berbanding
dengan negara lain, tetapi kita cukup berbangga dengan negara ini. Ini kerana Malaysia berjaya memberikan penduduknya mutu kehidupan yang selesa dengan peluang-peluang terbuka luas, bukan saja bagi warganegaranya tetapi juga pendatang-pendatang dan ekspatriat yang mencari rezeki di negara ini. Bukan itu saja, dengan Wawasan 2020 dan komitmen terhadap kecemerlangan, negara ini terus berusaha untuk memperbaik kedudukannya dalam semua bidang, sama ada politik, ekonomi mahupun sosial supaya generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Dalam pada itu, kita juga sedar tentang pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara untuk mencapai kecemerlangan. Terdapat banyak isu yang perlu diselesaikan, daripada soal integriti urus tadbir, ancaman jenayah, gejala sosial, daya saing sumber manusia hinggalah kepada hal ehwal luar, Malaysia memerlukan komitmen dan kerjasama daripada rakyat untuk menanganinya.
Usaha menjayakan Malaysia tidak terletak pada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik semata-mata, tetapi kesemua yang mempunyai kepentingan di negara ini, daripada kakitangan kerajaan, tenaga kerja swasta, mahupun profesional, buruh, petani, nelayan dan pelajar, kesemuanya mempunyai tanggungjawab serupa. Kesedaran tentang tanggungjawab inilah merupakan semangat kebangsaan yang perlu terus wujud walaupun negara telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun lalu. Kefahaman terhadap nasionalisme baru ini perlu terus wujud dalam sanubari generasi muda.

* SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-52 DAN MENJALANI IBADAH PUASA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan