Ahad, 4 Oktober 2009

CAKNA : 25 - ANTARA KEINDAHAN ALAM & PENCEMARAN BAHASA

"JOGGING ATAU JOGING"?


Taman Botanikal Melaka merupakan sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan unik ,serta menjanjikan ketenangan dari kesibukan kota. Taman Botanikal Melaka telah mula dibangunkan pada 1 Jun 2006. Taman tersebut merupakan cetusan ilham daripada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, hasil daripada lawatan beliau ke luar negara. Taman Botanikal Melaka ini dahulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi Air Keroh mempunyai keluasan 92.5 hektar. Pada peringkat Fasa 1, pembangunan taman ini melibatkan pembangunan imej baru pintu masuk ke Taman Botanikal Melaka, penyediaan kompleks tempat letak kereta, pembangunan taman-taman bunga, dan kemudahan-kemudahan lain. Taman ini merupakan salah satu destinasi pelancongan dan tempat persinggahan yang menjanjikan kedamaian dan ketenangan dari kesesakan dan kesibukan kota. Keindahan taman di celahan hutan kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan menawarkan pelbagai aktiviti untuk berekreasi dan beriadah sambil menikmati udara segar. Taman Botanikal Melaka mempunyai pelbagai keunikan tersendiri dan berbeza dari Taman Botanikal yang lain kerana keadaan persekitarannya yang dikelilingi landskap hutan semula jadi dengan 300 spesies flora dan fauna.

Setelah berehat hampir sebulan setengah kerana bulan Ramadan dan Hari Raya, saya berkesempatan untuk memulakan aktiviti riadah pada setiap hujung minggu di taman tersebut. Aktiviti meredah hutan sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang mengagumkan pasti dapat memberikan ketenangan, di samping berpeluang mencuba aktiviti yang mencabar terutama ketika melalui jambatan gantung yang disediakan.

Di samping itu, bagi mereka yang menggemari aktiviti berjalan kaki atau berjoging, trek pejalan kaki turut dibina di sekeliling kawasan hutan merangkumi keseluruhan kawasan hutan rekreasi ini sambil menghirup udara nyaman. Tetapi, berapa banyak orang yang melalui trek tersebut menyedari penyalahgunaan bahasa dari segi ejaan yang terdapat pada papan tanda yang dipacakkan di laluan pejalan kaki? Papan tanda yang bertulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGGING" yang sepatutnya ditulis "LALUAN PEJALAN KAKI DAN JOGING".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan