Sabtu, 24 Oktober 2015

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 5

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015:

Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju adalah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Tetapi, di negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan belum menjadi budaya dan cara hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang, berbanding negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca adalah dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 11 saya selanjutnya yang berjudul "Menyuburkan Budaya Membaca" dalam buku KRU 5.




Jumaat, 23 Oktober 2015

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 4

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015:

Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan, tetapi sekeliling keluarga yang kukuh. Dengan kata lain, masyarakat penyayang ialah masyarakat yang hidup bermuafakat dengan anggota-anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan. Setiap orang saling memahami dan hormat-menghormati, iaitu yang muda menghormati yang tua dan yang tua mengasihi yang muda. Cara hidup ini juga dikenali sebagai “budaya ikram”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 16 saya selanjutnya yang berjudul "Membudayakan Masyarakat Penyayang" dalam buku KRU 4.




FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PETIKAN PUISI SPM 2015

PERSEDIAAN KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM 2015 -
FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PETIKAN PUISI:

Berdasarkan analisis soalan pemahaman yang terdahulu, petikan puisi yang perlu difokuskan mengikut keutamaan:

1. Gurindam 12 Fasal Yang Keenam (Harga Remaja)
2. Gurindam Tonggak Dua Belas (Dirgahayu Bahasaku)
3. Seloka Emak Si Randang (Harga Remaja)
4. Sajak Harga Remaja (Harga Remaja)
5. Sajak Di Bawah Langit Yang Sama (Dirgahayu Bahasaku)




Khamis, 22 Oktober 2015

FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PROSA KLASIK SPM 2015


PERSEDIAAN KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM 2015 -
FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PROSA KLASIK:

Berdasarkan analisis soalan pemahaman yang terdahulu, petikan prosa klasik yang perlu difokuskan mengikut keutamaan:
1. Pelayaran Yang Penuh Peristiwa (Harga Remaja)
2. Hikayat Dua Geliga Hikmat (Dirgahayu Bahasaku)


ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 3




PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015:

Jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengetahui, serta memahami segala perkara yang berlaku kepada jiran tetangga. Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Kehidupan berjiran ghalibnya dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan. Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran amat penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum yang memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju. Oleh itu, usaha ini tidak harus dipandang ringan dan sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara. Hal ini demikian kerana pemuafakatan yang kuat antara jiran tetangga dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah. Seyogia diingatkan bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan setiap lapisan masyarakatnya. Masyarakat yang berkualiti juga dilahirkan melalui persefahaman dan hubungan erat yang bermula daripada sebuah hubungan kejiranan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 9 saya selanjutnya yang berjudul "Mengukuhkan Semangat Kejiranan" dalam buku KRU 5.





Rabu, 21 Oktober 2015

FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PROSA MODEN SPM 2015

PERSEDIAAN KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM 2015 -
FOKUS SOALAN PEMAHAMAN KOMSAS PROSA MODEN:

Petikan prosa moden yang perlu difokuskan mengikut keutamaan:
Tingkatan 4:
1. Cerpen Ibu dan Ceper, dan Cerpen Biarkan Samudera (Harga Remaja)
2.Cerpen Idola, dan cerpen Penanggungan (Dirgahayu Bahasaku)

3. Drama : Tiang Cengal Dinding Sayung (Dirgahayu Bahasaku)



ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 2

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015


Pada zaman serba moden sekarang, tanpa telefon bimbit dan komputer riba, hidup bagaikan tidak sempurna. Malah tiada hari yang berlalu, tanpa menghantar atau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun tanpa menjengok laman sosial. Laman web rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat. Laman sesawang sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, dan Twitter kini semakin tersohor dan meluas penggunaannya lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia sudah celik teknologi maklumat. Terkini dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman sosial yang sangat popular iaitu Facebook di seluruh Malaysia. Semua lapisan masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah ke peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri. Oleh itu, kesan penggunaan laman sesawang sosial tersebut kepada masyarakat yang mewarnai fokus perbincangan yang akan dihuraikan dalam makalah ini. Tegasnya, hidup zaman sekarang diibaratkan tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak keruan, apabila semua gajet itu ‘lenyap’ tanpa disentuh dalam kehidupan seharian.

*** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel 19 saya selanjutnya yang berjudul "Memanfaatkan Laman Sesawang Sosial" dalam buku KRU 3.



Selasa, 20 Oktober 2015

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015 - ISU 1


PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 SPM 2015
ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 1

Satu lagi warisan budaya di negara ini yang perlu dilestarikan termasuk permainan tradisional. Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai permainan alternatif kini terutama permainan komputer. Masih belum terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak berusaha untuk mengekal dan mempromosiya. Permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang, dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak. Permainan gasing pada masa lalu misalnya menjadi salah satu cara bagi merapatkan hubungan silaturahim, selain sebagai punca pendapatan melalui pembuatan gasing. Tetapi kini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi mengisi masa lapang dalam kalangan penduduk setempat yang mempunyai banyak pilihan untuk beriadah.

*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel 10 saya selanjutnya yang berjudul "Melestarikan Warisan Budaya" dalam buku KRU 2.



Isnin, 19 Oktober 2015

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU SPM 2015 - BAHAGIAN B

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU SPM

Berikut disertakan analisis lengkap Kertas Bahasa Melayu 1 Bahagian B peringkat SPM November dan SPM Ulangan (2004 - 2015) sebagai panduan untuk persediaan menjelang peperiksaan SPM 2015.







PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU SPM 2015 - BAHAGIAN 1


PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU SPM

Pada peringkat ini semua guru dan murid tertanya-tanya tentang isu atau tema karangan yang bakal diuji. Oleh itu, bagi memudahkan semua guru dan murid, terlebih dahulu lihat analisis lengkap isu atau tema karangan yang pernah diuji dalam peperiksaan SPM November atau SPM Ulangan (2004 - 2015) bagi mendapatkan gambaran awal secara tuntas. Dengan berbuat demikian mereka tidak perlu membuang masa memikirkan isu-isu yang sudah dikemukakan sebelum ini. Berdasarkan pengalaman lalu, usaha seperti ini dapat memudahkan kita untuk membuat jangkaan tentang isu atau tema karangan yang bakal diuji.
Insya-Allah bermula hari ini sehingga 1 November 2015, saya akan mencuba sedaya upaya untuk berkongsi isu atau tema bagi tahun ini seperti yang dijanjikan semasa Program Jerayawara Bahasa saya di seluruh negara. Walau bagaimanapun kesemua isu atau tema yang bakal dikemukakan sekadar jangkaan semata-mata dan bukan soalan yang sebenar dalam peperiksaan SPM. Tetapi, jika ada antara isu atau tema yang keluar itu hanya secara kebetulan semata-mata.
Berikut disertakan analisis lengkap Kertas Bahasa Melayu 1 SPM (2004 - 2015) Bahagian A sebagai rujukan menjelang peperiksaan SPM 2015.







Ahad, 11 Oktober 2015

PROGRAM JERAYAWARA BAHASA DI SMK JENGKA PUSAT, BANDAR TUN ABD. RAZAK











Tarikh: 10 Oktober 2015 (Sabtu)
Masa: 8.30 pagi
Tempat: Dewan Makan Asrama SMK Jengka Pusat

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Huda Abdul Karim​ dan guru-guru Bahasa Melayu SMK Jengka Pusat kerana memberi ruang dan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan program tersebut buat pertama kali pagi ini (10 Oktober 2015). Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat dan semoga kalian memperoleh input yang bermanfaat bagi menghadapi peperiksaan SPM kelak, sekali gus memperoleh kejayaan yang cemerlang.

PROGRAM SEMARAK ILMU & MOTIVASI PELAJAR SPM NEGERI MELAKA - SIRI 1








Tarikh: 8 Oktober 2015 (Khamis)
Masa : 8.00 pagi
Tempat: Muzium PERZIM
Terima kasih kepada pihak JPN Melaka dan Iksep kerana memberi ruang dan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan program tersebut Siri 1 pagi ini. Semoga kesemua pelajar yang terlibat daripada 30 lebih buah sekolah menengah negeri Melaka mendapat manfaat daripada input yang disampaikan sekali gus melonjakkan prestasi akademik negeri Melaka.

PROGRAM SEMARAK ILMU & MOTIVASI PELAJAR SPM NEGERI MELAKA 2015









Tarikh: 7 Oktober 2015 (Rabu)
Masa : 10.000 pagi
Tempat: IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka

Terima kasih kepada pihak IKSEP dan Cik Nelly Nelyana kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mengendalikan program tersebut pagi ini bertempat di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar dari SMK Durian Daun dan SMK Tun Tijah yang terlibat kerana memberikan komitmen yang cukup baik. Semoga kalian mendapat manfaat bagi menghadapi peperiksaan SPM yang semakin hampir.