Selasa, 14 Julai 2009

PENGAJARAN BAHASA: BAHASA MELAYU DENGAN TESAURUS


Rencana ini disiarkan dalam Pelita Bahasa, Julai 2009 oleh Samat Buang
Pendahuluan

Pemelajaran elektronik (e-learning) merujuk kepada pengajaran dan pemelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik seperti rangkaian kawasan setempat, rangkaian kawasan luas dan internet, untuk penyampaian kandungan, interaksi, atau pemudahcaraan. Internet, intranet, satelit, pita audio atau video, TV interaktif, dan cakera padat ingatan baca sahaja ialah sebahagian daripada media elektronik yang termasuk dalam kategori ini. Bahan pengajaran dan pemelajaran yang disampaikan melalui media itu lazimnya mengandung teks, grafik, animasi, simulasi, audio, dan video, serta bahan paparan secara dalam talian. Penggunaan internet dalam pendidikan kini dapat mewujudkan suasana pemelajaran yang lebih menarik dan bermakna.

Pengajaran dan pemelajaran berasaskan internet dianggap sangat berkesan dan sesuai untuk mendukung aspirasi futuristik. Hal itu dikatakan demikian kerana internet digunakan secara berleluasa dalam pelbagai bidang kehidupan manusia. Maklumat yang diperoleh daripada internet terlalu banyak, dinamik, murah, dan mudah. Penggunaaan internet dalam bidang pendidikan khususnya untuk tujuan pengajaran dan pemelajaran, dilihat sebagai perkembangan yang sangat besar sumbangannya sekiranya bahan pengajaran dan pemelajaran yang dihasilkan berasaskan teknologi tersebut berkesan dan mampu menarik minat para pelajar untuk mengikuti pemelajaran yang berterusan, sama ada di bawah kendalian guru atau secara kendiri. Kejayaannya akan mewujudkan iklim pemelajaran yang positif bukan sahaja terhad kepada pelajar di institusi pendidikan, tetapi juga mampu menarik minat masyarakat umum untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka melalui penggunaan internet.

Internet dan laman web adalah sesuatu yang cukup sinonim dan saling melengkapi. Laman web merupakan satu sumber maklumat yang berguna kepada guru dan murid apabila mereka melayari internet. Oleh sebab itu, fbahan dalam talian khususnya penggunaan Tesaurus Umum Bahasa Melayu yang terdapat dalam laman web yang disediakan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama IGD Hitech Corporation (IGD) menerusi portal KaryaNet,i aitu http://www.karyanet.com.my/knetbeta/tesaurus/bhg1_tsr.php dapat dimanfaatkan sebagai sumber maklumat. Barangkali tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa tidak banyak guru atau pelajar yang menyedari wujudnya laman itu, sekali gus memanfaatkannya dalam konteks pengajaran dan pemelajaran di dalam kelas.

KaryaNet ialah portal penerbitan dalam talian bagi meningkatkan mutu dan bilangan penerbitan ilmiah, serta bahan rujukan dalam bahasa Melayu. Sasaran KaryaNet ialah pengguna yang ingin mendapatkan bahan ilmiah dan rujukan dalam bahasa Melayu, serta bagi mereka yang ingin mendalami bahasa tersebut. Hal ini dapat direalisasikan dengan adanya pelbagai laman carian lain yang terdiri daripada Kamus Istilah, Kamus Komputer, Kamus Pelajar, Kamus Dewan, Kamus Inggeris Melayu Dewan, Peribahasa Sekolah Menengah, dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. KaryaNet turut menyediakan kemudahan berkarya, penerbitan, dan penjualan bahan-bahan terbitan melalui internet.

Tesaurus ialah kamus yang menerangkan maksud sesuatu perkataan dengan memberikan kata seerti dan juga kata yang berlawanan erti. Tesaurus dapat membantu pengguna bahasa mempelbagaikan penggunaan diksi. Tesaurus berbeza daripada kamus biasa seperti Kamus Dewan yang mengandung pelbagai entri perkataan dan maksud, berserta contoh ayat yang sering dirujuk oleh kebanyakan pengguna bahasa. Dengan kata lain, tesaurus lazimnya menyenaraikan perkataan yang mempunyai konsep yang sama, tetapi digunakan dalam konteks yang berlainan. Perkataan yang disenaraikan dalam tesaurus mengandungi konsep yang meliputi bidang yang luas bagi memenuhi permintaan semua pengguna bahasa Melayu. Dengan mengambil beberapa bahan paparan contoh entri yang dipetik daripada laman berkenaan, makalah ini akan mencuba untuk mengubahsuaikan entri atau perkataan-perkataan tersebut dengan bentuk soalan pengetahuan dan kemahiran bahasa yang diuji dalam kertas Bahasa Melayu 2 peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berdasarkan Tesaurus Umum Bahasa Melayu yang disediakan dalam talian menerusi portal KaryaNet, guru dapat memanfaatkannya untuk disesuaikan sebagai latih tubi membina ayat dan mengenal pasti kesalahan penggunaan kata atau istilah yang merupakan soalan wajib dalam kertas Bahasa Melayu 2 peringkat SPM yang diuji dalam bahagian soalan 3 – Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa. Perbincangan dalam makalahan ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pertama yang melibatkan soalan 3 (a) yang bertujuan menguji kemahiran ayat gramatis dan kedua, yang melibatkan soalan 3 (d) khususnya yang bertujuan mengenal pasti kesalahan penggunaan kata atau istilah dalam ayat.

Bentuk soalan 3 (a) – menguji kemahiran menulis ayat gramatis.


pergaduhan : perkelahian, pertengkaran, perbalahan, perselisihan, pertentangan, pertelagahan, pertikaian, persengketaan, rusuhan, perlagaan, perjuangan, pertempuran, peperangan

(1) Tulis satu ayat bagi perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) pertengkaran
(ii) perselisihan
(iii) pertikaian
(iv) pertentangan
(v) perjuangan
(vi) pertempuran

Ikuti selanjutnya di dalam majalah Pelita Bahasa, Julai 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan