PENDIDIKAN ABAD KE-21
Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar
bergantung kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang
diperhatikan dalam masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita
beri kepada pemuda-pemudi kita. Selanjutnya, apakah yang dimaksudkan dengan
kenyataan ‘Education is that which remains, when one has forgotten all that he
learned in school’? (Pendidikan adalah apa yang tertinggal, setelah seseorang
lupa apa yang dipelajari di sekolah.) Bukankah kenyataan itu bersifat ironik?
Barangkali kenyataan itu mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan setakat
mengisi ilmu ke dalam kepala murid seperti kita mengisikan air ke dalam baldi.
Sebaliknya, lebih-lebih lagi dalam zaman sekarang, pendidikan seharusnya
mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (ASK-Attitude, Skill
and Knowledge) untuk melakukan sesuatu perkara-perkara yang perlu dan patut
dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah dan semakin menjadi
‘rata’ (The World is Flat, Thomas L. Friedman).
Mengikut Laporan UNESCO (Report Of The International Commission On Education For The Twenty First Century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak, iaitu:
(i) ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu);
(ii) ‘Learning to do’ (belajar untuk buat);
(iii) ‘Learning to live together’ (belajar
untuk hidup bersama) dan
(iv) ‘Learning to be’ (belajar untuk menjadi). Pada
peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberi seseorang kanak-kanak
pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan
secara mendalam dalam bidang-bidang tertentu. ‘Belajar untuk tahu’ membantu
seseorang membina satu spektrum ilmu yang membolehkan dia memilih bidang yang
sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi cara belajar—sesuatu
kemahiran yang begitu diperlukan untuk memudahkan seseorang menikmati
peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang
diperoleh harus seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan
ilmu itu. ‘Belajar untuk buat’ bukan dihadkan kepada kemahiran operasi atau
mekanikal sahaja tetapi merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan
untuk menangani situasi-situasi yang tidak dijangka, kerja berpasukan,
menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks sosial dan kerja.
Kita
semua perlu kerap mengingatkan diri kita sendiri bahawa, tidak kira betapapun
perbezaan kita dari segi bangsa, agama, status sosial, ekonomi, politik atau
aspek-aspek yang lain, kita hidup di atas planet yang sama. Lambat –laun, suka
atau tidak suka, secara langsung atau tidak langsung, masalah orang lain akan
menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem pendidikan untuk melatih
‘belajar untuk hidup bersama’ jelas dilihat dari hal-ehwal semasa yang berlaku
di sekitar kita. Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar, pembentukan
struktur pentadbiran, perjawatanan, sehingga ke pelaksanaan di peringkat
sekolah, dengan sendirinya menjadi satu model (sama ada baik atau tidak) kepada
pendidikan yang berunsurkan ‘belajar untuk hidup bersama’ . Usaha membawa pendidikan
ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dapat diperhatikan dari aspek pemupukan
saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling
bergantung (interdependence), pengurusan konfik dengan semangat saling
menghormati nilai-nilai pluralistik dan saling kesefahaman yang mementingkan
keharmonian. Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran tersebut perlu
digiatkan melalui pendekatan yang lebih holistik. Dalam konteks ini, guru-guru,
ibu bapa dan masyarakat secara umumya, ada peranan untuk membimbing mereka yang
terperangkap di dalam konflik kefahaman antara apa yang dipelajari dengan
realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu lebih merupakan
persepsi yang diakibatkan oleh prejudis dan akan menjadi berkurangan apabila
mereka membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan positif ini harus
diberi, tidak kira tahap keyakinan diri kita, demi untuk mencipta satu masa
depan yang lebih cerah apabila kita semua benar-benar dapat hidup bersama.
Selanjutnya,
‘belajar untuk menjadi’ menuntut satu usaha pendidikan yang gigih ke arah
membangunkan modal insan yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh
bertindak dengan lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau
pertimbangan yang lebih adil, rasional dan jitu, mempunyai tanggungjawab
kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu seseorang itu
berkembang dengan optimum. Sekali lagi, perkara ini merupakan satu usaha padu
yang mencabar, yang memerlukan koordinasi semua pihak dan semua peringkat yang
koheren dan realistik. Kualiti pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang
penting. Juga, semua sekolah mempunyai unsur-unsur yang berlainan yang
kadang-kadang menyebabkan kaedah acuan ala kilang tidak terlaksana. Tahap
‘autonomi’ yang berpatutan diberi kepada sekolah akan mempengaruhi usaha untuk
menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan murid
melalui program mengikut acuan tersendiri.Saling kesefahaman tentang hakikat
ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan poses ‘belajar
untuk menjadi’. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan ‘belajar untuk
menjadi’ amat dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi ruang dan
peluang untuk pekembangan individulistik dan tanpa melalui ‘centralised mass
command’ yang terlalu kerap.
Akhir
sekali, yang paling mencabar ialah bagaimana merealisasikan segala yang
dinyatakan di atas supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan, amalan
dijadikan budaya, budaya membawa kejayaan, seruan menjadi realiti. Apa yang
kurang daripada itu ialah retorik sahaja.
Sumber:
http://thinkingallowed1.blogspot.com/