 
 
                     JALAN – JALAN RAYA KOTAKU
                      Saban waktu sepanjang perjalanan
                      Jalan-jalan raya kotaku
                      lewat senja begini
                      tika gerimis menabur benih
                      menerima kehadiran warga kota
                      lemas dalam kesabaran
                      lelah meresahkan
                      dengan luka parah di hati.
                      Ketidaksabaran membengkak
                      kesombongan merajai setiap ruang
                      semakin padat dengan emosi
                      kebosanan menggigit pangkal rasa.
                      Demikian etika di perjalanan
                      budi luhur warga kotaku
                      tidak lagi berlaku
                      yang hadir adalah keserakahan
                      memacu menghimpun kekuatan
                      menghakis sopan santun
                      seperti banjir kilat
                      melanda pinggir perjalanan
                      fitrah sang manusia
                      peradaban kota masa kini.
                      Jalan-jalan raya kotaku
                      adalah gelanggang kebuasan
                      perlumbaan kebiadaban
                      para pesakit
                      kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.
                      Zam Ismail
Antologi Anak Laut,
1. Soalan Melaka:
(i)   Gambarkan sikap pemandu ketika berada di jalan raya seperti yang terdapat dalam rangkap kedua sajak di atas?
[3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, selain sikap pengguna apakah punca-punca kesesakan jalan raya?
[3 markah]
(iii) Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut.
[3 markah]
2. Soalan Negeri Sembilan:
(i) Berikan maksud kemanusiaan semakin mandul.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah pengguna jalan raya bersikap tidak sopan ketika memandu?
[3 markah]
(iii) Huraikan empat unsur bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.
[4 markah]
3. Soalan Kedah:
(i) Berikan maksud ketidaksabaran membengkak.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah masalah kecelakaan di jalan raya di negara ini sukar dibendung?
[3 markah]
(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas.
[4 markah]
4. Soalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:
(i) Berdasarkan rangkap ketiga sajak, gambarkan etika warga kota semasa berada dalam perjalanan.
[3 markah]
(ii)   Sebagai pengguna jalan raya yang berhemah, nyatakan langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk
menghadapi kesesakan lalu lintas.
[3 markah]
(iii) Huraikan tiga unsur bahasa berserta contoh yang terdapat dalam sajak di atas.
[3 markah]
5. Soalan Perak:
(i) Berikan maksud tika gerimis menabur benih berdasarkan sajak di atas. [2 markah]
(ii)     Nyatakan tiga langkah untuk menyedarkan masyarakat tentang keselamatan jalan raya mengikut pendapat
anda [3 markah]
(iii) Nyatakan empat persoalan yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]
6. Soalan Daerah Hulu Langat.
(i) Bagaimanakah sikap pemandu ketika berada di jalan raya seperti yang terdapat dalam sajak di atas.
[3 markah]
(ii)   Jika anda salah seorang pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, bagaimanakah
anda menghadapi masalah tersebut?
[3 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut.
[3 markah]
7. Soalan Johor:
(i) Apakah maksud rangkai kata memacu menghimpun menghimpun kekuatan.
[2 markah]
(ii)  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya?
[4 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas. [3 markah]
8. Soalan Pulau Pinang:
(i) Apakah sikap negatif pengguna jalan raya? [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah pengguna jalan raya tertekan ketika memandu? [3 markah]
(iii) Huraikan tiga persoalan daripada sajak tersebut.                                                                                     [3 markah]
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan