Khamis, 26 Oktober 2017

ISU KARANGAN 2 YANG PERLU DIFOKUSKAN.

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 2
      Sebenarnya, indikator bagi sebuah negara maju adalah rakyatnya perlu membaca sekurang-kurangnya 20 buah buku setahun dan kebanyakan negara maju seperti Jepun telah melepasi tahap berkenaan. Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung pada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Tetapi, di negara ini amalan membaca dilihat masih rendah dan belum menjadi budaya dan cara hidup. Kadar purata pembacaan rakyat Malaysia yang pernah dilaporkan media sebelum ini, iaitu antara 8 hingga 12 buah buku setahun menunjukkan negara masih berada di belakang, berbanding negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, kadar itu dilihat petanda positif jika dibandingkan pada 1996 kerana purata rakyat membaca adalah dua buku setahun ketika itu. Bagaimanapun, fenomena ini tidak boleh terhenti pada kadar itu sahaja, sebaliknya pembacaan lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan setiap masyarakat berada pada landasan betul menuju ke arah pembentukan sebuah negara maju.
     Malaysia telah menempa dan mencipta sepuluh ceritera kejayaan yang boleh dibanggakan sepanjang 10 Rancangan Malaysia, menurut Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat pada Mei 2015 yang lalu. Antara kejayaan yang turut disenaraikan termasuk kadar literasi kini meningkat kepada 98 peratus daripada hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh menulis dan membaca pada tahun 1970. Istilah literasi lebih dikenali sebagai celik hurut atau kenal huruf. Biasanya terminologi ini bermaksud keupayaan membaca dan menulis atau kemampuan seseorang untuk berturut, mendengar, membaca, menulis dan memahami percakapan atau penulisan.  Jika dahulu susah untuk kita melihat orang ramai membaca buku di tempat awam tetapi hari ini boleh dilihat di mana-mana. Dengan kata lain, hal ini memberikan gambaran positif bahawa masyarakat makin membudayakan amalan membaca. Budaya membaca semakin diamalkan oleh rakyat negara ini berikutan pelbagai program galakan dan kempen yang telah dilaksanakan.

Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
 1. Langkah-langkah untuk menggalakkan budaya membaca.
 2. Kepentingan mengamalkan budaya membaca.
 3. Kekangan atau masalah menyuburkan budaya membaca.
 *** Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel-artikel saya yang berikut:
  1. Artikel 11 yang berjudul "Menyuburkan Budaya Membaca" dalam buku KRU 5.
  2. Artikel 10 yang berjudul "Budaya Membaca Memperkasakan Industri Buku" dalam buku KRU 6






Tiada ulasan:

Catat Ulasan