Rabu, 25 Oktober 2017

ISU KARANGAN 1 YANG PERLU DIFOKUSKAN

FOKUS ISU KARANGAN MENJELANG PEPERIKSAAN SPM 2017:
Seperti yang dijanjikan semasa program jerayawara bahasa di seluruh negara bahawa bermula hari ini hingga 5 Disember 2017 (12 hari terakhir) saya akan muat naik isu-isu karangan yang perlu diberikan perhatian menjelang Peperiksaan SPM 6 November nanti. Mudah-mudahan usaha terakhir ini dapat membantu bakal calon menjawab kertas Bahasa Melayu dengan lebih yakin dan cemerlang. Anggapkan semua isu yang dipaparkan ini sebagai ikhtiar dan latih tubi terakhir. Jika ada isu yang keluar anggap itu sebagai secara kebetulan saja.

ISU 1 YANG PERLU DIFOKUSKAN:

     Satu lagi warisan budaya di negara ini yang perlu dilestarikan termasuk permainan tradisional. Generasi muda perlu didedahkan dengan permainan tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman ekoran wujudnya pelbagai permainan alternatif kini terutama permainan komputer. Masih belum terlambat untuk menyelamatkan permainan tradisional sekiranya semua pihak berusaha untuk mengekal dan mempromosiya.
     Permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, congkak, batu seremban, kurik kundi, guli, layang-layang, dan sepak raga bulatan boleh dihidupkan semula oleh pelbagai pihak. Permainan gasing pada masa lalu misalnya menjadi salah satu cara bagi merapatkan hubungan silaturahim, selain sebagai punca pendapatan melalui pembuatan gasing. Tetapi kini, gasing tidak lagi menjadi satu permainan bagi mengisi masa lapang dalam kalangan penduduk setempat yang mempunyai banyak pilihan untuk beriadah.
     Permainan tradisional atau permainan rakyat pada umumnya merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Permainan tradisional juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa kini yang begitu terdedah dengan peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol warisan budaya.

** Perbincangan selanjutnya haruslah tertumpu pada:
(a) Punca-punca yang menyebabkan permainan tradisional semakin pupus.
(b) Langkah-langkah mempopularkan permainan tradisional
(c) Kelebihan-kelebihan permainan tradisional

*** Untuk bacaan tambahan sila rujuk artikel 10 saya selanjutnya yang berjudul "Melestarikan Warisan Budaya" dalam buku KRU 2 dan artikel 21 yang berjudul "Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara" dalam buku KRU 6.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan