KUALA LUMPUR 1 Mei – Kesusasteraan Melayu harus dijadikan mata pelajaran tunggal dan bukannya dijadikan sebahagian daripada komponen subjek Bahasa Melayu seperti sekarang. Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mengambil langkah yang lebih progresif untuk memperbaiki cara pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah.
“Kita harus sedar subjek ini (Kesusasteraan Melayu) sebenarnya bercampur dengan subjek Bahasa Malaysia yang juga mempunyai bahagian seperti tatabahasa, pemahaman dan penulisan. Jadi, seseorang guru bahasa tidak semestinya mampu menguasai seni kesusasteraan. “Pengasingan akan mempermudah kerja mencari guru yang pakar dan mahir dalam bidang sastera untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam subjek kesusasteraan. Pengkhususan dalam pengajaran bidang sastera akan melahirkan generasi muda yang lebih menguasai dan menghayati sesuatu kesusasteraan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Bicara Sasterawan Negara Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersama Datuk Dr. A. Samad Said dan Muhammad dengan topik Mengantarabangsakan Karya Sastera Tempatan: Isu dan Cabaran sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011, di sini hari ini. Muhammad berkata, kerajaan harus memastikan maktab perguruan dan universiti menghasilkan lulusan yang baik dalam bidang kesusasteraan supaya bakal guru sastera merupakan mereka yang betul-betul mahir dan menguasai bidang itu dengan sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, generasi muda harus dipupuk untuk menjiwai kesusasteraan dan bukannya menghafal laras dan teori yang diajar dalam subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah. “Sastera Melayu tradisi merupakan satu warisan kebudayaan yang amat tinggi nilainya dan sastera Melayu terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu dalam bentuk lisan dan tulisan.
“Generasi muda sebenarnya perlu sedar bahawa tiada siapa lagi yang dapat memikul beban untuk mempertahan dan memperkembang sastera Melayu kerana zaman Usman Awang dan sasterawan terkemuka negara yang lain telah hampir tiada dan ada yang sudah tamat perjuangan mereka,” katanya.
Sumber: www.utusan.com.my
amat menarik sekali kerana bukan semua cikgu bahasa melayu yang benar-benar menguasai ilmu kesusasteraan walaupun mereka hanya mengajar 25% daripada ilmu itu dalam bahagian KOMSAS. saya amat berharap agara mata peajaran kesusasteraan melayu menjadi salah satu mata pelajaran wajib diambil dan wajib lulus dalam kalangan calon peperiksaan awam jika kita benar-benar ingin menobatkan budaya bangsa. sekadar pandangan.
BalasPadam