2 lagi muzium baru di Melaka
MELAKA 20 Ogos - Kerajaan Melaka bakal memperkenalkan dua buah lagi muzium barunya di negeri ini sebagai tarikan pelancong pada masa depan. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dua muzium baru tersebut adalah Muzium Pulau Besar dan Muzium Kapal Selam. Beliau memberitahu, peruntukan bagi penubuhan muzium itu disediakan melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bersama Kementerian Pertahanan yang mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). ''Dengan kelulusan itu, Melaka dapat menambah dua buah lagi muzium, sekali gus menjadikan 23 buah muzium di negeri ini," katanya di sini hari ini. Katanya, kapal selam milik TLDM yang berpengkalan di Cherboug, Perancis sebelum ini digunakan oleh anggota pasukan keselamatan negara bagi tujuan latihan akan ditempatkan di Pulau Besar pada tahun depan. Tambahnya, kapal selam jenis Augusta sepanjang 67.6 meter dan lebar 6.8 meter itu digunakan sebagai tempat latihan anak-anak kapal selam pertama negara, Scorpene atau KD Tunku Abdul Rahman. Kapal tersebut, katanya, dijadual tiba di Selat Melaka pada 16 Disember ini dari limbungannya di Brest, Perancis.
''Kapal selam ini akan ditempatkan berhampiran Muzium Pulau Besar dan bakal menjadi muzium ke-22 di Melaka. ''Muzium ini sudah tentu bakal menjadi satu lagi tarikan terbaru di negeri ini dalam bidang pelancongan," kata beliau. Mohd. Ali memberitahu, kos pembiayaan bagi membawa pulang kapal selam berkuasa diesel itu akan dibiayai oleh Kementerian Pertahanan manakala kerajaan negeri akan menanggung kos penempatan di Pulau Besar. Katanya, dengan kehadiran kapal selam itu, Melaka kini sebaris dengan Rusia, Jerman, India, Australia, Perancis dan Indonesia yang mengubah suai kapal selam lama sebagai muzium. ''Kita akan mengambil contoh Muzium Kapal Selam di Jakarta, Indonesia untuk dibina di sini dan saya yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Melaka," katanya. Tambahnya, semua kerja mengubah suai ruang dalaman kapal selam itu mengambil masa tiga bulan dan dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang April 2010.
Sumber: Utusan Malaysia, 20 Ogos 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan