Ahad, 16 Ogos 2009

CAKNA: 7 - KENAPA KITA LEMBAP TANGANI WABAK BABI?


Kenapa kita lembap tangani wabak babi?

* TEMPAT pertama di Asean dan No 9 di dunia. Itulah kedudukan Malaysia sehingga petang Jumaat lalu. Pendek kata di rantau sebelah sini kita ‘juara’ – jauh di hadapan Indonesia, Singapura, Filipina dan lain-lain. Walaupun pada peringkat global kita tidak juara, kita masih dalam senarai 10 teratas. Alangkah bagusnya – dan tentulah sesuatu yang amat dibanggakan – sekiranya carta itu adalah untuk kejuaraan-kejuaraan berprestij dunia seperti Olimpik, golf, grand prix, bola sepak dan sebagainya. Tetapi kedudukan setakat Jumaat lalu itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya sesuatu yang memalukan, sekali gus menakutkan. Itulah kedudukan kita dalam kegagalan menangani wabak Influenza A (H1N1).

Dengan 56 maut kita mencatatkan kadar kematian tertinggi (2 peratus), berbanding negara-negara lain di rantau ini – Vietnam (0.08), Hong Kong (0.067), dan Australia (0.34). Bandingkan kita dengan negara-negara lain: 56 orang kita maut dari keseluruhan 2,253 kes yang disahkan positif H1N1. Vietnam 1 kematian (1,211 kes), Hong Kong 4 kematian (5,991 kes), Australia 95 kematian (27,663 kes), Singapura hanya 9 kematian. Walaupun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkali-kali meminta orang ramai supaya jangan panik, nampaknya rakyat – tidak kira di kampung, lebih-lebih lagi di bandar – tidak dapat lagi menerima kata-kata menteri itu.

Pergilah ke mana-mana klinik dan hospital kerajaan sekarang, pasti menteri berkenaan akan merasakan betapa orang ramai panik. Baik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buluh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang), orang berpusu-pusu untuk mendapatkan rawatan dan pengesahan wabak maut ini. Bahawa hospital-hospital kerajaan sesak, sehingga ada yang menunggu hingga enam jam untuk bertemu doktor, adalah bukti orang ramai gelisah @ bimbang @ gelabah @ panik. Kerajaan sahaja yang masih tidak panik, sedangkan seluruh rakyat sudah lebih dari panik. Lagi pun ada sebab untuk mereka panik. Kita berhadapan dengan maut. Dengan jumlah yang terkena virus maut ini purata 150 setiap hari, dan kematian lima enam orang setiap hari sejak dua minggu lalu, hanya mereka yang tidak waras sahaja tidak berasa bimbang.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan