Sabtu, 5 November 2016

ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 8

PERSEDIAAN MENGHADAPI KERTAS BAHASA 1 SPM 2016:
ISU KARANGAN YANG PERLU DIFOKUSKAN - ISU 8


       Dalam masyarakat Malaysia, individu istimewa itu lebih merujuk kepada individu yang berbeza daripada individu atau orang lain yang normal. Dalam erti kata lain, individu istimewa ialah mereka yang mempunyai kecacatan atau yang tidak memiliki keupayaan secara normal seperti individu normal lain. Atas sebab ini jugalah mereka itu digolongkan dalam kategori orang kurang upaya (OKU) atau j...uga sebagai orang kelainan upaya. Golongan OKU adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai hak sama rata dan tidak sesekali dilihat sebagai golongan yang lemah. Secara ringkasnya, individu dengan ketidakupayaan didefinisikan sebagai kategori individu yang mempunyai masalah dari segi pembelajaran, emosi dan tingkah laku, masalah pendengaran atau penglihatan, masalah bahasa dan komunikasi, masalah fizikal dan kesihatan, autisme, pintar cerdas atau berbakat dan juga masalah yang berkaitan fungsi kognitif. Berdasarkan kepada definisi tersebut, terdapat pelbagai kategori OKU dan pengelasan mereka adalah berdasarkan pada kelainan dalam keupayaan atau ketidakupayaan mereka.

       Seperti manusia normal, golongan OKU juga mempunyai potensi, kebolehan, dan mereka boleh menyumbang secara berkesan kepada proses pembangunan negara. Sektor awam dan swasta perlu menyediakan lebih banyak latihan serta peluang menceburi bidang keusahawanan agar mereka mampu mandiri. Golongan itu jika diberi pendidikan atau latihan yang sempurna mampu bekerja setanding dengan orang biasa. Mereka harus digalakkan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan agar tidak semata-mata bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak lain. Untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan keperluan semasa, penekanan terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran perlu terus diberi keutamaan oleh pihak berkuasa. Oleh yang demikian peluang perlu diberikan kepada semua tanpa mengira sebarang perbezaan dan selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi hak yang sama kepada semua individu. Walaupun mengalami pelbagai kelemahan dan kekurangan, tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh menguasai kemahiran akademik atau kemahiran kerja kerana mereka juga mempunyai keupayaan mental dan fizikal seperti golongan normal.
***
Perbincangan lanjut bolehlah ditumpukan pada:
1. Usaha-usaha kerajaan membantu golongan OKU.
2. Peranan ibu bapa terhadap anak-anak OKU.
3. Golongan OKU: Antara keperluan dan hak mereka.


Untuk bacaan tambahan, sila rujuk artikel saya yang berikut:
1. Artikel 11 yang berjudul "Peranan Kerajaan Terhadap Golongan OKU" dalam buku KRU 1
2. Artikel 17 yang berjudul "Sumbangan OKU Kepada Negara" dalam buku KRU 3
3. Artikel 12 yang berjudul "Memartabatkan Golongan Orang Kurang Upaya" dalam buku KRU 6.

Gambar hiasan:



Tiada ulasan:

Catat Ulasan