Selasa, 5 April 2011

KEMELUT TEKS SASTERA KOMSAS



Panel diminta berhati-hati pilih naskhah agar tidak dipersoal

SIFAT karya sastera yang subjektif dan terbuka kepada pelbagai terjemahan menyebabkan banyak sekali pertikaian yang mungkin wujud apabila sesuatu karya itu diangkat, tidak kiralah dalam pertandingan atau sebagai teks kajian. Selepas Interlok terseret dalam kontroversi politik nakal, beberapa lagi teks sastera turut dicuit dan kali ini bukan atas motif politik, tetapi atas dasar mutu karya itu sendiri yang disifatkan sesetengah pengkaji sebagai tidak cukup sifat sebagai karya sastera.

Mantan Pensyarah Sastera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu berkata, ada naskhah kajian sastera di sekolah tidak langsung sesuai diangkat sebagai teks kerana tidak memaparkan unsur moral yang baik bagi membantu pembentukan insan. “Panel penilai yang memilih buku sastera dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan subjek sastera sepatutnya lebih peka dan mengutamakan nilai-nilai pembentukan insan dalam pemilihan teks,” katanya. Beliau memberi contoh novel yang dipilih sebagai teks KOMSAS Tingkatan Empat, Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah adalah penulisan yang mengajar pembaca untuk berbohong dan ada penceritaan tidak bermoral misalnya membakar kedai burger.

Pembohongan yang dimaksudkan merujuk kepada watak utamanya, Azfa Hanani yang menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai anaknya, Tengku Murni berikutan wajahnya yang serupa dengan Tengku Murni, pada harga RM500 sebulan.
Dr Fatimah berharap, panel pemilih teks KOMSAS lebih berhati-hati dalam memilih karya pada masa depan kerana semua karya terbabit dihidangkan kepada pembaca muda yang mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca. Pensyarah Penulisan Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), A Rahim Abdullah juga berkongsi pendapat sama apabila menyatakan ketidaktelitian pemilihan puisi dalam teks Anak Global dan Madu Ilmu, teks Tingkatan Empat menyaksikan ada puisi dalam teks berkenaan tidak cukup sifat.

“Ada karya yang tidak sesuai dijadikan teks kerana kecacatan dan kelemahan diksi, nilai bahasa dan logik budaya atau nuansa yang terbabas. Justeru, dapat dilihat pusi yang tidak menjadi dan dangkal sebagaimana hakikat puisi sebenar, disenaraikan. “Puisi dalam Anak Global dan Madu Ilmu boleh diagihkan mengikut kategori, berat, pertengahan dan mudah. Ia menyebabkan wujudnya jurang artistik yang jauh antara satu karya dengan yang lain. Ada yang terlalu panjang sedangkan puisi sifatnya menjimatkan kata-kata dan disusun dengan hebat. “Ada juga sajak surelisme yang susah difahami pelajar, namun masih ada puisi yang baik dan mudah dalam kedua-dua teks berkenaan. Antara puisi yang baik untuk dihadam pelajar ialah Akar karya Hilmi Rindu,” katanya.

A Rahim berpendapat, jawatankuasa pemilihan perlu berilmu dalam bidang masing-masing dan bukan hanya pegawai kerajaan kerana pada akhirnya pelajar tidak boleh menjadi korban masa kerana mempelajari bahan pembelajaran yang sudah terkorban artistiknya. “Saya tidak tahu, adakah kuota juga memainkan peranan dalam pemilihan karya kerana ada karya penulis yang langsung tidak dikenal dan ada karya yang tidak cukup sifat sebagai puisi. Kuota pada tema seperti patriotisme atau pencemaran alam boleh diterima. Kuota untuk penulis mapan, muda atau penulis tidak dikenali ia tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Namun, Pegawai Perancang Bahasa Dr Hanafi Ibrahim pula berkata, setiap karya punya kelas tersendiri dan jika dilihat dalam konteks memenuhi piawaian kementerian pelajaran, mungkin ia melepasi syarat yang digariskan. Bagaimanapun, apabila meletakkan sesetengah karya yang diangkat sebagai teks KOMSAS atau Sastera Elektif dalam ukuran kesusasteraan tulen akan menyaksikan karya berkenaan jauh ketinggalan. “Antara teks Sastera Elektif, Jeriji Kasih (JS) dengan teks KOMSAS, Interlok jauh benar bezanya. JS lebih mudah berbanding Interlok dan novel itu berada dalam kelas yang tidak sama dengan Interlok,” katanya. Dr Hanafi melihat JS mengangkat watak remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Anuariza, satu watak unggul walaupun secara fizikalnya dia OKU dan kekuatan watak itu terserlah melalui bagaimana dia menukar kekurangan fizikal sebagai penggerak untuk berjaya.

“Remaja selalunya tidak tahu bagaimana mencungkil potensi diri, tetapi watak utama dalam novel ini berjaya mengusahakan taman landskap ditanam dengan anggur dan pokok naga, relevan dengan keadaan semasa. Kalau kita gali lagi novel ini, mungkin akan dapat dilihat lebih banyak lagi ciri berkualiti seperti pertimbangan rasa dan toleransi. Watak remaja wanita, Ruhaiza, juga dibina dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, JS dengan sifatnya sebagai teks Sastera Elektif dikaji pelajar aliran sastera dan Interlok naskhah kajian semua pelajar menerusi KOMSAS, sememangnya jauh berbeza secara perbandingan.

“Sebagai teks sastera peringkat sekolah, JS ialah naskhah yang baik dan memenuhi nilai murni yang digariskan Kementerian Pelajaran, tetapi dalam konteks teks kesusasteraan tulen, tahapnya rendah. Interlok mewakili zaman dengan merakam kisah golongan bawahan, tetapi akhirnya berjaya bangkit daripada kesusahan dan boleh menggalakkan perpaduan bangsa,” katanya. Justeru, Dr Hanafi berharap pemilihan teks Sastera Elektif dan KOMSAS pada masa depan, panel penilai mencari karya yang benar-benar boleh mewakili pemikiran budaya dan bangsa Malaysia agar tidak diperlekehkan selepas pemilihannya.

Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bharian.com.my 2011/04/05 - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan