Diam tak diam, soalan yang melibatkan genre novel sudah pun masuk tahun kesembilan sejak diperkenalkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM. Genre novel bukan sahaja diuji dalam peringkat SPM November (SPMN), malah turut diuji dalam peringkat SPM Ulangan (SPMU). Oleh itu, hampir kesemua aspek bukan sastera dan sastera telah pun diuji dalam kedua-dua peringkat SPM tersebut. Malah, ada juga aspek bukan sastera dan sastera diuji lebih daripada sekali.
Selain itu, soalan yang berkaitan dengan aspek perbandingan antara kedua-dua novel yang dipelajari sepanjang dua tahun peringkat SPM telah dimulakan pada tahun 2005, apabila soalan mengkehendaki membandingkan satu latar tempat dalam dua buah novel. Selepas itu, setiap tahun calon dikehendaki membandingkan aspek sastera yang lain termasuk tema, nilai kemasyarakatan, pengajaran, watak dan perwatakan, latar masyarakat, latar masa, dan sebagainya berdasarkan kedua-dua buah novel yang dipelajari.
Antara penekanan yang harus diberikan pada soalan genre novel sama ada peringkat soalan umum atau soalan KOMSAS termasuk:(a) peristiwa yang mengejutkan kepada pembaca,
(b) peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca,
(c) bahagian cerita yang memperlihatkan semula peristiwa yang terdahulu (imbas kembali)
(d) peristiwa yang menimbulkan cabaran kepada watak sampingan
(e) peristiwa yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan (seperti tanggungjawab, keberanian, ketabahan, kebijaksanaan, dan lain-lain lagi)
(f) peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel
(g) peristiwa yang menyangkut pelbagai persoalan (seperti persoalan semangat kerjasama, persoalan tanggungjawab, persoalan kasih sayang, dan sebagainya).
(h) perbandingan watak utama atau kelebihan watak utama
(i) perbandingan watak utama dengan watak sampingan
(j) perbandingan antara watak sampingan
(k) perbandingan klimaks dalam novel
(l) perbandingan kesudahan cerita dalam novel.
Berdasarkan senarai aspek yang perlu diberikan penekanan, pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan membincangkan setiap aspek secara serius sama ada secara individu atau pun secara berkumpulan. Pelajar juga boleh merujuk kepada guru masing-masing untuk mendapat jawapan yang lebih mantap dan meyakinkan. Dengan berbuat demikian, pelajar akan lebih bersedia untuk menjawab sebarang soalan yang berkaitan dengan aspek yang diajukan dalam peperiksaan.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Oktober 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan