Khamis, 3 September 2009

SEGMEN BAHASA: 10 - CARA PENGGUNAAN HURUF BESAR (4)

SAMBUNGAN SIRI KE-4

Keempat - Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama nama dan ganti nama Tuhan (seperti Allah, Nya, Ku, Mu dan Engkau), ungkapan yang berhubung dengan Tuhan dan Nabi (seperti Yang Maha Pengasih, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Kuasa, serta Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW), serta nama agama dan kitab suci (seperti Islam dan al-Quran).

Kata ganti nama (nama singkat) Nya, Ku dan Mu untuk Tuhan, apabila digunakan dalam ayat, perlu dirangkaikan dengan kata yang ditulis sebelumnya. Untuk tujuan tersebut, tanda sempang perlu digunakan, seperti hamba-Nya, kepada-Ku dan rahmat-Mu. Walau bagaimanapun, bagi kata ganti nama nya, ku, mu dan engkau yang digunakan untuk manusia, huruf besar dan tanda sempang tidak perlu digunakan (untuk merangkaikannya dengan kata yang mendahuluinya), seperti kepunyaannya, kepadamu, milikku, dan engkau berikan. Kata tuhan untuk bukan Allah juga tidak perlu ditulis dengan huruf besar kerana huruf besar (T) digunakan untuk Tuhan yang bermaksud Allah sahaja.


* Akan bersambung pada siri akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan