Selasa, 29 September 2009

CAKNA : 23 - OPS SIKAP GAGAL???

Ops Sikap gagal?

Rasdi berkata, jalan bandaran sekali lagi mendahului senarai jumlah kemalangan dengan 388 kes, diikuti jalan Persekutuan (284 kes), jalan negeri (152 kes), lebuh raya (68 kes) dan jalan-jalan lain (39 kes). Ops Sikap Ke-20 yang bermula sejak 13 September lalu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,500 penguat kuasa termasuk polis, bomba dan ambulans. Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang kecewa dengan peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan menyatakan walaupun hukuman mati sekalipun dikenakan, pengguna jalan raya di negara ini akan tetap melanggar undang-undang.

Sikap tidak pernah berubah

MASIH teringat kata-kata Tun Abdullah Ahmad Badawi: "Daripada segi kemudahan infrastruktur, negara ini mempunyai kemudahan kelas pertama dunia, namun sikap masyarakat yang menggunakannya masih pada tahap mentaliti kelas ketiga." Pada penulis inilah keadaan sebenar jika mahu dirungkai mengenai episod kematian lebih 200 nyawa sepanjang Ops Sikap yang dilancarkan sempena musim perayaan Aidilfitri ini. Kita boleh bina infrastruktur dan sistem jalan raya sebaik mana sekalipun. Namun sikap gelojoh dan suka menunjuk lagak di atas jalan raya masih menjadi ciri dominan sebahagian besar pemandu di negara ini. Benarlah kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Jika dikenakan hukuman bunuh sekalipun, sikap pemandu super hero di negara ini tidak akan berubah.

Pemandu Malaysia boleh menjadi pekerja yang kreatif, seorang petugas yang berdedikasi dan berdisiplin atau individu yang warak. Tetapi apabila memandu di jalan raya, entah apa yang merasuk mereka. Pelbagai tabiat serta kesalahan asas yang mengundang bahaya kepada nyawa orang lain dilakukan berulang kali tanpa ada rasa bersalah atau insaf akan kesalahan tersebut. Perhatikan kesalahan asas ini, yang nampak remeh dan kecil tetapi menimbulkan bahaya besar kepada nyawa pengguna jalan raya. Pengamatan penulis dalam tempoh seminggu berhari raya di rumah sanak-saudara dan melalui lebuh raya mahupun jalan persekutuan dan jalan negeri di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mendapati kesalahan-kesalahan berikut dilakukan oleh kebanyakan pengguna jalan raya.

1. Memandu melebih had laju yang dibenarkan

2. Menggunakan telefon mudah alih semasa memandu

3. Memotong di garisan berkembar

4. Tidak memakai tali pinggang keledar sama ada pemandu, penumpang di bahagian depan mahupun belakang.

5. Memandu perlahan di lorong sebelah kanan.

6. Memandu terlalu perlahan di lorong sebelah kiri, ibarat sedang bersantai sehingga menyusahkan pengguna lain.

7. Mengikuti terlalu rapat kenderaan yang ada di hadapan.

8. Tidak memakai topi keledar bagi penunggang motosikal.

9. Membelok secara tiba-tiba tanpa memberi lampu isyarat untuk membelok

10. Memandu sesuka hati, tidak sabar dan suka memotong barisan khususnya sewaktu hendak membayar tol.

Jika mahu disenaraikan kesalahan lain, memang masih banyak. Sindrom "mabuk lemang dan ketupat", seakan-akan menghantui pemandu pada musim perayaan ini. Apa yang dikesalkan, penulis dapati ramai pemandu bersikap terburu-buru memandu kenderaan mereka, seolah-olah ingin cepat sampai ke destinasi. Timbul persoalan di benak penulis, apakah sikap rakyat begitu hipokrit. Begitu ghairah untuk beraya, untuk memohon ampun dari sanak saudara dan menziarahi kaum kerabat dan hanya mahu cepat sampai. Sedangkan dalam masa yang sama, nyawa diri sendiri dan pengguna lain tidak diperhitungkan?

Kenapa kita begitu ghairah untuk cepat sampai? Apa yang hendak dikejar dan apakah usaha menghubungkan silaturahim, menziarahi kaum keluarga dan usaha memohon maaf, hanya dihadkan satu hari di hari raya? Bukankah proses memohon maaf, menyambung silaturrahim ini perlu dijaga sepanjang masa? Atau, ramai pemandu beranggapan, "biarlah aku membuat dosa dan menyakiti hati kawan rakan dan saudara mara, selama 364 hari kerana baki sehari lagi yakni di hari raya, aku boleh memandu sesuka hati dan cepat sampai untuk memohon maaf di atas segala kesalahan yang aku lakukan". Inilah budaya tidak toleran. Budaya meraikan Aidilfitri yang tidak kena pada tempatnya.

Apa yang lebih menghairankan, kita boleh nampak pemandu berhabisan beribu ringgit untuk aksesori kereta, membeli kereta baru, berpakaian baru, namun tidak nampak pula akan pembaharuan sikap bila memandu. Apakah tahun demi tahun kita akan terus berbangga dengan menghitung statistik terkini menunjukkan angka korban. Satu kematian sia-sia, yang bukan pun akibat mempertahankan negara daripada serangan musuh, sebaliknya gejala 'membunuh diri' di jalan raya, kesan kealpaan dan sikap lalai diri sendiri. Kempen sudah, peringatan pun sudah, entah bila sikap pemandu bakal berubah. Hukuman, penguatkuasaan, beribu-ribu saman dan kompaun dikeluarkan, namun semua itu dipandang enteng dan remeh.

Barangkali juga, sikap toleransi penguatkuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya yang tidak membuat sekatan jalan raya kerana dikhuatiri mengundang kesesakan lalu lintas musim perayaan ini diambil kesempatan oleh ramai pemandu. Apa-apa pun jua, Malaysia akan terus tercatat dalam senarai sebagai antara negara yang mempunyai jumlah korban paling tinggi akibat kemalangan jalan raya, satu rekod memalukan bangsa dan negara. Pendekatan progresif, agresif dan lebih keras perlu disusun mulai sekarang, bagi menghadapi episod kematian sia-sia ini pada musim perayaan akan datang. Jika hukuman dan penguatkuasaan gagal memberikan impak atau kesedaran, ubah kaedah, cari mekanisme baru. Paling ideal, mengharamkan sebarang kenderaan persendirian menggunakan jalan raya dua hari sebelum raya dan dua hari selepas raya, sebaliknya pihak kerajaan menyediakan bas sebanyak mungkin, atau kenderaan awam bagi sesiapa sahaja yang mahu bergerak atau beraya ke rumah saudara mara. Memang nampak susah, kurang praktikal, namun pemandu negara ini wajar didisiplinkan.

Rakyat negara ini wajar dididik untuk tidak lagi menjadi 'hero' di jalan raya, sebaliknya lebih menghargai nyawa sendiri, kaum keluarga dan kesannya kepada orang lain. Jika tidak, sampai bila-bila angka korban, statistik kemalangan akan terus menjadi bahan media dan tontonan masyarakat dunia. Dan tentulah perkara ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Malaysia.

SOBRI SUDIN ialah penulis bebas.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 September 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan