'Hadiah hari jadi saya' - Anwar Ridhwan Sasterawan Negara Ke-10
|
KUALA LUMPUR - Tokoh sastera dan bahasa, Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau nama penanya Anwar Ridhwan menyifatkan pengumuman beliau sebagai penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 semalam umpama hadiah hari lahirnya ke-60 tahun pada 5 Ogos lalu. Bukan itu sahaja, pengiktirafan tersebut juga dianugerahkan kepadanya selepas genap 40 tahun beliau berkecimpung dalam bidang penulisan. "Saya bersyukur. Anugerah ini agak berat, bagi saya ia satu amanah bangsa, amanah sastera dan amanah seni yang harus saya pikul. Saya cuba untuk pikul sebaik mungkin dan saya akan terus berkarya tetapi kali ini lebih selektif,'' katanya ketika ditemui Kosmo! di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini semalam. Menurut beliau, tengah hari semalam merupakan detik terindah buat dirinya apabila menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakannya yang memberitahu dirinya terpilih sebagai penerima anugerah tersebut ketika beliau sedang menghadiri satu seminar di Aswara.
Sumber: Kosmo, 12 Ogos 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan