BIDANG kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat bagai isi dengan kuku, sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan yang seimbang dalam kedua-dua bidang tersebut. Secara amnya, kokurikulum adalah aktiviti dan pengalaman pendidikan yang dilaksanakan di luar bilik darjah atau secara tidak formal. Selain bidang kurikulum, kokurikulum juga sangat penting sebagai agen pengimbang yang dapat mengembangkan potensi, bakat, kepimpinan, dan minat pelajar yang lebih dikenali sebagai kurikulum tersembunyi. Hal ini kerana kokurikulum merupakan wadah paling berkesan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terutama dalam konteks melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, yang hasil akhirnya mewujudkan sumber manusia berkemahiran tinggi di Malaysia. Kebergantungan kepada kurikulum semata-mata, apatah lagi berorientasikan pencapaian cemerlang menerusi peperiksaan tidak akan memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara total.
Ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Pengakap Malaysia di Stadium Negara pada penghujung April yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memantapkan lagi aktiviti badan-badan beruniform yang dijalankan di sekolah kerana ia memberi kesan positif ke atas pelajar. Menurutnya, pergerakan pengakap merupakan contoh terbaik tentang kejayaannya dalam melahirkan pelajar-pelajar yang lebih berdikari dan sedia berhadapan segala kemungkinan. Pihak kementerian sentiasa memikirkan cara untuk memajukan lagi bidang kokurikulum kerana didapati semua kegiatan ini memberi banyak faedah kepada pelajar selain menjadi syarat untuk ke universiti. Oleh itu, beliau meminta ibu bapa supaya tidak menghalang anak-anak mereka daripada menyertai kegiatan kokurikulum. Mereka sepatutnya menyokong anak-anak mereka menyertai kegiatan seperti ini.
Ikuti selanjutnya di dalam majalah Dewan Siswa, Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan