Rabu, 14 Disember 2011

DESAIN AWAL BUKU KOLEKSI RENCANA UMUM JILID 3


Untuk melihat imej yang lebih besar, sila letakkan kursor pada gambar tersebut dan klik sebelah kanan, buat pilihan "Open Link in New Window".

Alhamdulillah, akhirnya hasrat untuk menghasilkan buku Koleksi Rencana Umum Jilid 3 ini menjadi kenyataan setelah saya berusaha mengumpulkan kesemua rencana tersebut di dalam sebuah buku. Keseluruhan artikel yang dimuatkan di dalam buku ini merupakan artikel yang pernah disiarkan dalam pelbagai majalah tempatan tempatan seperti majalah Fokus SPM, E@Siswa, dan Dewan Siswa. Sebanyak 25 artikel dimuatkan dalam jilid ketiga ini yang menyentuh pelbagai isu kontemporari. Aspek atau isu yang diketengahkan dalam buku ini berkisar tentang isu-isu semasa untuk dijadikan bahan rujukan kepada murid-murid yang menghadapi masalah dalam menulis karangan khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sama ada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) termasuk esei bag kertas Pengajian Am. Seperti buku Koleksi Rencana Umum Jilid 1 dan 2 (KRU 1 & 2), koleksi rencana yang dimuatkan di dalam buku ini telah diedit semula dan diubah suai, di samping terdapat penambahan fakta-fakta yang terkini dan diperluas skop perbincangannya.

Sudah terbukti bahawa artikel atau isu yang dimuatkan dalam kesemua buku KRU ini amat relevan dengan soalan yang pernah diuji dalam peperiksaan SPM dan STPM sebelum ini. Selain itu, bahan yang dimuatkan di dalam buku ini juga boleh dimanfaatkan oleh guru dan murid sebagai bahan rangsangan untuk rumusan karangan. Mudah-mudahan jika dimanfaatkan sepenuhnya buku ini untuk pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya aspek karangan, diharap dapat membantu murid menguasai isu semasa sekali gus meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan murid. Hal ini demikian kerana kemahiran menulis masih lagi menjadi masalah kepada sebahagian besar murid kerana ketidakmampuan mereka untuk menyampaikan atau menghuraikan idea secara matang, lancar, dan berkesan, di samping kadangkala tidak menjawab tugasan soalan. Oleh itu, diharap buku ini secara tidak langsung dapat memupuk budaya membaca dan juga mendedahkan kepada murid dengan pelbagai rencana yang menarik dan bermutu.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan rakan guru dan murid kerana memiliki buku ini. Semoga diharap buku ini dapat membantu murid khususnya dalam aspek kemahiran menulis sekali gus menguasai kertas Bahasa Melayu dengan cemerlang.

HJ. SAMAT BUANG

Guru Cemerlang Bahasa Melayu

(Munsyi BM /Komsas /Sastera)

Alamat blog: www.munsyibm.blogspot.com

E-mel : tampan88@yahoo.com

Facebook: Samat Gcbm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan