Rabu, 17 Mac 2010

JERAYAWARA 20: CERAMAH MOTIVASI 2010















Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur, Pusat Tuisyen Saujana Gemilang dari kedua-dua cawangannya, Seri Gombak dan Setiawangsa kerana mengundang saya untuk menyampaikan ceramah motivasi kali ke-5 bagi sesi persekolahan 2010. Ceramah motivasi yang bermula dari jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dihadiri oleh seramai lebih kurang 600 orang pelajar dari kedua-dua pusat tersebut bertempat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka. Mereka secara kebetulan dalam rangka lawatan sambil belajar ke negeri Melaka Bandar raya Bersejarah sambil mengikuti ceramah motivasi sebagai suntikan semangat kepada bakal pelajar PMR 2010 yang merupakan acara tahunan pusat tuisyen tersebut. Tidak ketinggalan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelajar yang mengambil bahagian kerana memberikan komitmen dan tumpuan sepenuhnya sepanjang saya mengendalikan ceramah tersebut. Akhir kata, ucapan ribuan terima kasih kepada Pengetua PTSG, Puan Filza, dan Encik Fathiri yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengadakan sesi ceramah tersebut. Semoga apa-apa yang disampaikan khususnya yang berkaitan dengan mauduk ceramah saya "Tuntutan STUDY" dapat dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan harian pelajar dan semoga mereka beroleh kejayaan yang cemerlang.

Isnin, 15 Mac 2010

RENCANA UMUM 23: MENYEMARAKKAN GERAKAN KOPERASI

Gerakan koperasi merupakan sektor ketiga terbesar di negara ini selepas sektor awam dan swasta. Menyorot kembali dari segi sejarah, idea penubuhan koperasi di negara ini muncul semasa zaman pemerintahan Inggeris dengan memperkenalkan Gerakan Koperasi Semenanjung Tanah Melayu untuk menggalakkan penduduk berjimat cermat sambil menyediakan sistem pinjaman secara kerjasama kepada mereka yang menganggotai koperasi. Syarikat Kerjasama Jimat Cermat, Pinjaman Wang Pekerja-pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad, yang kini dikenali sebagai Koperasi Telekom Malaysia Berhad, adalah antara koperasi pertama di negara ini dan didaftarkan pada 21 Julai 1922. Selepas Pemansuhan Ordinan Koperasi 1948 dan penguatkuasaan Akta Koperasi 1993, perkataan `Koperasi' menggantikan perkataan `Syarikat Kerjasama'. Kini, aktivitinya tidak lagi terhad pada pinjaman wang semata-mata, tetapi apa-apa sahaja perniagaan yang dijalankan oleh badan perniagaan lain turut dijalankan oleh koperasi. Tegasnya, koperasi merupakan institusi ekonomi sosial yang menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi bagi golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat.
Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah E@Siswa, Mac 2010.

Sabtu, 13 Mac 2010

TAKLIMAT PERTUKARAN TEKS KOMSAS BAHARU TING. 1 & 4 DAN KESUSASTERAAN MELAYU ELEKTIF


Taklimat daripada Ketua Unit dan pembentangan berkumpulan

Taklimat daripada JU dan perbincangan dalam kumpulan

Taklimat daripada JU dan perbincangan dalam kumpulan

Satu taklimat tentang pertukaran teks KOMSAS baharu telah diadakan pada 11 Mac 2010, Khamis bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Melaka baru-baru. Semua Ketua Panitia Bahasa Melayu dari seluruh negeri Melaka terlibat sama dalam taklimat yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Melaka dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Encik Mat Hassan Abdullah , Ketua Unit Bahasa Melayu dan dibantu oleh beberapa orang Jurulatih Utama yang dilantik telah menyampaikan taklimat tentang perubahan teks KOMSAS berserta modul pengajaran dan pemelajaran tingkatan 1 dan 4 serta bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu elektif tingkatan 4 dan 5 mulai 2010 yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum. Walau bagaimanapun peserta tidak dibekalkan dengan modul tersebut kerana pihak JPN telah pun memuat naik di dalam laman sesawang rasmi JPN Melaka. Ekoran daripada taklimat tersebut, pihak Ketua Unit Bahasa Melayu mengharapkan agar kesemua Ketua Panitia Bahasa Melayu akan menyampaikan taklimat yang sama kepada anak buah mereka di sekolah masing-masing bagi membolehkan guru-guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu melaksanakan perubahan teks tersebut.

Alamat laman sesawang JPN

Rabu, 10 Mac 2010

Bahasa Melayu Kekal Bahasa Pengantar Sistem Pendidikan Negara

Bahasa Melayu Kekal Bahasa Pengantar Sistem Pendidikan Negara

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubugan itu menyarankan supaya Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) mempergiatkan usaha mengembangkan istilah-istilah ilmiah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu. "Sudah tiba masanya Majlis Bahasa memberikan tumpuan kepada usaha pembinaan istilah, terutamanya melalui penghasilan karya-karya ilmiah. "Dengan cara ini, bukan sahaja istilah bahasa Melayu dapat dikembangkan dengan lebih rancak, malah bahasa Melayu juga akan berkembang sebagai bahasa ilmu yang maju," katanya ketika berucap merasmikan Sidang ke-49 MABBIM di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Bagaimanapun jelas Muhyiddin, usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini akan terus dilaksanakan. "Kerajaan sedar bahawa dalam dunia global yang semakin kompetitif, penguasaan pelbagai bahasa akan memberikan kelebihan kepada rakyat untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya. Menurut beliau lagi, sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bahasa Melayu telah terbukti mampu untuk mengungkapkan konsep ilmu moden yang rumit secara rasional dan saintifik. "Sehingga kini pun kita telah berjaya melahirkan ramai saintis, jurutera, pakar ekonomi, karyawan dan budayawan tersohor melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama," katanya.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyarankan agar penghasilan karya-karya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dipergiatkan melalui penerbitan secara bersama oleh negara-negara anggota MABBIM. "Hasil penyelidikan institusi-institusi pengajian tinggi di ketiga-tiga negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi boleh diterbitkan secara bersama untuk meningkatkan kebolehpasaran karya. "Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat berkongsi penemuan-penemuan baru dalam pelbagai disiplin ilmu, tetapi juga memperkayakan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menyarankan lalu lintas buku antara negara-negara anggota MABBIM dipermudahkan agar buku berbahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat menembusi pasaran yang lebih luas. "Pada masa ini industri perbukuan berbahasa Melayu dan bahasa Indonesia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris. "Dengan cara ini, industri perbukuan Bahasa Melayu dan Indonesia dapat berkembang dengan lebih rancak lagi, sekaligus meningkatkan penggunaan bahasa ini," katanya.
Sumber: mstar.com.my

Ahad, 7 Mac 2010

KOMSAS 24: MENULIS SINOPSIS MENGIKUT BAB - (NOVEL RENYAH)

Pada peringkat ini, diharap murid sepatutnya sudah pun membaca dan menghayati novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Mereka juga mungkin telah diperkenalkan semua aspek bukan sastera dan aspek sastera seperti sinopsis, tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, dan sebagainya. Konsep asas sastera ini bukanlah perkara baharu kerana sejak di Tingkatan 1 lagi mereka telah pun diperkenalkan semasa mengkaji novel atau karya sastera lain yang terdapat dalam pelbagai antologi yang dipelajari. Bagi menguji kebolehan dan daya ingatan murid tentang isi cerita yang dibaca berdasarkan novel yang ditetapkan, murid lazimnya diminta untuk menulis sinopsis secara keseluruhan bagi menggambarkan penghayatan dan pemahaman terhadap novel yang dikaji. Sinopsis sebenarnya ialah ringkasan cerita atau kisah yang menggambarkan keseluruhan karya. Sinopsis dibina berdasarkan rentetan peristiwa penting dalam sesebuah cerita. Lazimnya peristiwa penting ini dapat dikesan melalui pergerakan atau tindak-tanduk watak utama yang diketengahkan oleh penulis.
Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Mac 2010..

SEGMEN BAHASA 17: JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN


Dalam pengajaran bahasa terdapat beberapa kemahiran yang perlu diajarkan oleh guru kepada murid termasuk kemahiran menulis. Kemahiran menulis adalah kemahiran yang tertinggi kerana kebanyakan kegiatan menulis adalah digunakan secara formal seperti menyalin nota, membuat rumusan, menjawab soalan pemahaman, dan menulis esei atau karangan. Kemahiran mengarang adalah salah satu jenis kemahiran yang terdapat dalam kemahiran menulis. Mengarang merupakan satu kemahiran yang perlu diajarkan dan diberi latihan kerana penting dikuasai sebaik mungkin oleh setiap pelajar sebab sebahagian besar proses pendidikan formal memerlukan kerja-kerja menulis dan mengarang. Mengarang adalah kaedah untuk menyampaikan maklumat, idea, peranan dan pendapat. Karangan lazimnya terdiri daripada tiga elemen, iaitu pendahuluan, isi, dan penutup. Ketiga-tiga komponen ini amat penting diketahui oleh murid dari segi pembinaan perenggan dan huraian. Bagi menghasilkan sesebuah karangan yang bermutu bukan suatu perkara yang mudah kerana murid perlu menguasai setiap bahagian dalam karangan dengan baik dan terancang. Walau bagaimanapun aspek pendahuluan turut memainkan peranan yang penting bagi menarik minat pembaca. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada jenis-jenis pendahuluan yang terdapat dalam sesebuah karangan. Dalam karangan, pengenalan amat penting untuk menggambarkan isi karangan yang akan ditulis oleh pelajar. Oleh hal yang demikian, murid mestilah mengetahui cara-cara menulis pendahuluan yang baik. Hal ini demikian kerana dari segi pemarkahan, karangan yang cemerlang lazimnya mempunyai pendahuluan yang menarik.
Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Mac 2010.

Jumaat, 5 Mac 2010

KOMSAS 23: CATATAN PERINGKAT PERMULAAN NOVEL - BUKAN DUNIAKU

Dalam setiap novel, cerita yang disampaikan oleh pengarang lazimnya dilakukan secara berperingkat-peringkat. Hal ini demikian kerana cerita yang disampaikan oleh pengarang terdiri daripada peringkat permulaan, perkembangan, dan peleraian atau kesudahan. Peringkat permulaan sesebuah novel memang memainkan peranan yang cukup penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan. Walau bagaimanapun permulaan cerita yang disampaikan oleh pengarang berbeza-beza antara satu sama. Ada yang memulakan cerita dengan mengemukakan seberapa banyak maklumat tentang watak dan perwatakan yang terlibat, di samping latar tempat, latar masa yang sesuai, dan aspek sastera yang lain. Manakala, ada pula pengarang yang memulakan cerita dengan maklumat yang seadanya sebagai asas penceritaannya. Perkembangannya akan dilanjutkan dalam bab-bab seterusnya. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada bahagian permulaan novel yang dikaji oleh zon Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan berjudul Bukan Duniaku, karya Aida Shahira. Untuk memudahkan pemahaman murid, dua bab pertama dipilih untuk perbincangan selanjutnya dan disertakan panduan untuk catatan ringkas tentang watak dan perwatakan, serta pemetaan aspek sastera yang disatukan bagi kedua-dua bab tersebut.
Ikuti tulisan saya selanjutnya di dalam majalah Dewan Siswa, Mac 2010.

KOMSAS 22: TEKNIK MEMBACA SQ3R DALAM RENYAH - PELITA BAHASA

Satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh guru setiap kali mengajarkan novel dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ialah keengganan pelajar untuk membaca novel yang dikaji terutama pelajar yang berada di kelas hujung. Kebanyakan daripada mereka lebih tertarik untuk membaca sinopsis dalam buku ulasan KOMSAS yang sedia ada dalam pasaran. Kalau ada yang membaca pun, mereka mungkin mengambil masa yang begitu lama, lebih-lebih lagi jika novel tersebut terlalu tebal. Jarang-jarang kita dapati pelajar yang benar-benar tekun membaca dalam tempoh yang singkat. Soalnya apakah cara untuk merangsang minat pelajar supaya membaca novel yang kaji. Penggunaan teknik membaca “SQ3R” mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah itu. Berdasarkan novel Renyah, karya Gunawan Mahmood, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. bermula dari bab satu, sebagai guru, kita memandu dan menggerakkan pelajar untuk terus membaca dan mencari jawapan mengikut tugasan yang diberikan oleh guru pada peringkat awal pembacaan.

Ikuti tulisan saya selanjutnya di dalam majalah Pelita Bahasa, Mac 2010.

Khamis, 4 Mac 2010

RENCANA UMUM 22: KEMALANGAN BAS EKSPRES - DI MANA SILAPNYA?

Peristiwa tragik kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 10 nyawa di Lebuh Raya Plus berdekatan Ipoh, pada tahun lalu telah meruntun hati setiap lapisan masyarakat Malaysia. Sebelum itu, kejadian yang 'membunuh' penumpang bas secara beramai-ramai berlaku pada 7 Disember 2008 apabila Bas Super Nice Grassland terbabas dan terbalik di KM146.5 lebuh raya tersebut berhampiran Tangkak mengakibatkan 10 maut dan 18 cedera kira-kira pukul 2 pagi. Tetapi, yang paling tragik ialah peristiwa pada 13 Ogos 2007 dengan 22 penumpang maut selepas bas ekspres milik Syarikat Bas Bukit Gantang tergelincir sebelum terbabas di KM229.1 lebuh raya yang sama berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang, Perak. Berikutan kemalangan ngeri seperti itu, sebut sahaja apa-apa yang tidak dilakukan kerajaan bagi membendung kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres. Bermula dengan pemasangan kamera di lebuh raya, kotak hitam dalam bas, wajibkan dua pemandu, penyediaan buku log, usia bas ekspres tidak boleh melebihi 10 tahun, peperiksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan dan beberapa peraturan lain sudah diperkenalkan. Namun, kemalangan jalan raya yang membabitkan bas ekspres masih terus berulang.

* Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Mac 2010