Isnin, 31 Ogos 2009

SEGMEN BAHASA: 8 - CARA PENGGUNAAN HURUF BESAR (2)

SAMBUNGAN SIRI KE-2

Kedua
- Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam petikan langsung.

Contohnya:

(a) Kata Timbalan Perdana Menteri, "Tempoh 52 tahun merdeka sepatutnya menjadikan kita matang dan sentiasa berhati-hati mengelak kerencaman penduduk pelbagai bangsa dan agama daripada terusik dan terjejas sehingga mengeruhkan keadaan."

(b) ''Tidak ada sebab peniaga menaikkan harga barang terutama barangan terkawal seperti gula dan tepung kerana kerajaan telah memberikan subsidi kepada mereka,'' kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .

(c) ''Kita akan adakan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 secara tertutup tanpa perarakan di kawasan terbuka sebagai langkah keselamatan mengelak penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negeri ini," kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

* Akan bersambung dalam siri akan datang.




CAKNA: 12 - MENGHARGAI NIKMAT KEMERDEKAAN KE-52



Sebagai anak kelahiran tahun kemerdekaan, hari ini saya dan rakyat Malaysia dapat sekali mengecapi nikmat Hari Kebangsaan yang ke-52 dengan rasa syukur. Kita harus berasa bangga kerana negara ini memperoleh banyak kejayaan dan berada pada landasan untuk mencapai kecemerlangan. Ketika menikmati rezeki hasil daripada suasana makmur dan kedudukan ekonomi yang baik, maka adakalanya rakyat terlupa bahawa kesemua ini diperoleh daripada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara. Dalam dunia terdapat 191 buah negara yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan majoriti daripadanya merupakan negara bekas tanah jajahan dan mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, iaitu antara tahun 1945 hingga 1960.
Walaupun Malaysia bukanlah sebuah negara besar berbanding
dengan negara lain, tetapi kita cukup berbangga dengan negara ini. Ini kerana Malaysia berjaya memberikan penduduknya mutu kehidupan yang selesa dengan peluang-peluang terbuka luas, bukan saja bagi warganegaranya tetapi juga pendatang-pendatang dan ekspatriat yang mencari rezeki di negara ini. Bukan itu saja, dengan Wawasan 2020 dan komitmen terhadap kecemerlangan, negara ini terus berusaha untuk memperbaik kedudukannya dalam semua bidang, sama ada politik, ekonomi mahupun sosial supaya generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Dalam pada itu, kita juga sedar tentang pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara untuk mencapai kecemerlangan. Terdapat banyak isu yang perlu diselesaikan, daripada soal integriti urus tadbir, ancaman jenayah, gejala sosial, daya saing sumber manusia hinggalah kepada hal ehwal luar, Malaysia memerlukan komitmen dan kerjasama daripada rakyat untuk menanganinya.
Usaha menjayakan Malaysia tidak terletak pada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik semata-mata, tetapi kesemua yang mempunyai kepentingan di negara ini, daripada kakitangan kerajaan, tenaga kerja swasta, mahupun profesional, buruh, petani, nelayan dan pelajar, kesemuanya mempunyai tanggungjawab serupa. Kesedaran tentang tanggungjawab inilah merupakan semangat kebangsaan yang perlu terus wujud walaupun negara telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun lalu. Kefahaman terhadap nasionalisme baru ini perlu terus wujud dalam sanubari generasi muda.

* SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-52 DAN MENJALANI IBADAH PUASA.

Ahad, 30 Ogos 2009

SEGMEN BAHASA: 7 CARA PENGGUNAAN HURUF BESAR (1)


CARA PENGGUNAAN HURUF BESAR

Dalam penulisan, ada dua jenis huruf yang selalu digunakan, iaitu huruf besar dan huruf kecil. Kedua-dua huruf itu sebenarnya tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya. Dalam bahasa Melayu, ada peraturan tertentu dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil. Pada keseluruhannya, terdapat 18 cara penggunaan hurut besar.

Pertama - digunakan sebagai huruf pertama pada awal ayat, dan setelah itu, barulah diikuti dengan huruf kecil.


Contohnya:


(a) Pihak polis telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja mencetuskan pertelingkahan kaum tanpa mengira sesiapa sahaja yang terlibat.

(b) Umat Islam akan lebih berjaya pada masa hadapan jika disiplin bulan Ramadan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.

(c) Dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, semua negara di dunia mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan.

(d) Esok, Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan ke-52 dan hal ini bermakna sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah tanah air ini dengan cara kita sendiri.

(e) Dalam Islam, kemiskinan perlu ditentang habis-habis kerana dikatakan boleh membawa manusia menghampiri kekufuran.


* Akan bersambung pada siri akan datang.

Sabtu, 29 Ogos 2009

RENCANA UMUM 11: MELINDUNGI HAIWAN LIAR




Melindungi Haiwan Liar


Rencana ini disiarkan di dalam majalah e@siswa Sept. oleh Hj. Samat Buang

Perdagangan haiwan terancam ini dilaporkan banyak dikesan di negara ini. Walaupun kemujarabannya sukar dibuktikan, tetapi kepercayaan lama itu telah menyebabkan haiwan eksotik yang dilindungi undang-undang ini terus mempunyai permintaan semakin tinggi di pasaran. Yang pastinya, apabila perdagangan hidupan liar ini berleluasa atau jika pelanggan kian bertambah, secara tidak langsung menjadi penanda aras kepupusan haiwan-haiwan itu. Lantaran itu, usahausaha melindungi haiwan liar di negara ini memerlukan tindakan yang benar-benar serius daripada semua pihak. Amalan Pemakanan Eksotik Kepercayaan amalan pemakanan eksotik mampu memberi khasiat kepada kesihatan manusia telah mendorong menularnya penyeludupan dan pasaran gelap sehingga mengundang kepada kepupusan spesies fauna tertentu. Ular, orang utan, gajah, penyu, dan badak jawa yang kononnya berkhasiat dan mampu menguatkan tenaga batin telah menyebabkan spesies haiwan jenis ini diburu dan dieksport dengan giatnya dari satu negara ke negara lain. Walaupun spesies haiwan tersebut dikategorikan dan dilindungi di bawah Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (CITES) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), malah sama sekali tidak pernah menakutkan si pemburupemburu haram yang rakus mengaut keuntungan. Situasi ini membuktikan bahawa nafsu manusia melampaui rasa kasih dan belas kasihan kepada makhluk yang juga sebahagian daripada ciptaan Tuhan. Oleh itu, amat wajar sekiranya perkara itu dilihat dalam aspek penguatkuasaan perundangan yang terlalu ringan diamalkan di seluruh dunia termasuk negara ini. Penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terlalu lemah telah melalaikan manusia terhadap kepupusan spesies yang sepatutnya ditinggalkan untuk tatapan generasi seterusnya. Peruntukan Undang-undang Dari segi perundangan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengeluarkan lesen memburu untuk haiwan tertentu secara bermusim, lazimnya ketika musim terbuka, iaitu apabila binatang di luar waktu mengawan atau sudah melepasi peringkat menyusukan anak. Mereka yang melanggar syarat tersebut boleh didakwa mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 68; 76 (1) dan 74 (2) Akta Perlindungan Hidupan Liar Bil. 76/1972. Mengikut Seksyen 68, kesalahan menangkap hidupan liar tanpa lesen akan didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Seksyen 76 (1) pula membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati menangkap hidupan liar mengikut kaedah yang salah. Manakala, Seksyen 74 (2) menggariskan bahawa penangkapan hidupan liar pada musim yang dilarang boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Dalam pada itu, mana-mana individu yang didapati bersalah kerana memelihara atau menyimpan trofi binatang yang dilindungi sepenuhnya boleh dikenakan kompaun RM5,000 dan jika gagal dibayar, seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 64, 65, dan 66. e@siswa edisi September 2009 mengupas dengan lebih lanjut Melindungi Haiwan Liar.

Ikuti selanjutnya di dalam majalah e@siswa, September 2009.

RENCANA UMUM 10: PERPADUAN 1MALAYSIA


Perpaduan 1Malaysia
* Gambar hiasan
TANGGAL 31 Ogos 2009 nanti, genaplah selama 52 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan. Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur yang kita nikmati hari ini telah meniti ranjau dan duri yang sangat hebat. Biarpun lakaran sejarah itu telah mencatat bahawa kemerdekaan yang kita peroleh daripada penjajah Barat bukan bermandikan darah atau dengan mengangkat senjata, tetapi implikasi serta halangannya sangat besar. Kita telah berperang dan berjuang dalam usaha membentuk kesepakatan dan perpaduan antara kaum. Perjuangan ini sangat sukar kerana rakyat kita masih belum sebati acuannya ketika itu sehinggakan rasa kurang percaya masih bertapak di dalam diri. Pengaruh komunis dan dakyah penjajah yang ditinggalkan, kemudian dimarakkan lagi dengan isu perkauman begitu sukar dileraikan dalam diri rakyat yang akhirnya mencetuskan detik hitam 13 Mei 1969. Namun begitu, titik hitam itu semakin hari semakin terpadam kerana rakyat negara ini semakin bertamadun dan sofistikated. Tahu menilai baik buruk dan implikasi yang akan ditanggung jika mengabaikan dasar ini.

Asas-asas perpaduan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat sebenarnya telah pun diusahakan dan dijayakan oleh Tunku Abdul Rahman yang memimpin barisan perpaduan ketika itu. Usaha-usaha itu diteruskan pula oleh Perdana Menteri atau pemimpin-pemimpin seterusnya hingga ke hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika dahulu kita disajikan dengan konsep perpaduan kaum atau integrasi nasional, tetapi hari ini “Satu Malaysia” adalah pengukuhan kepada dasar-dasar yang relevan yang dibentuk dan diamalkan selama 52 tahun itu. Pengalaman menikmati kemerdekaan sehingga hari ini yang diasaskan berpandukan prinsip perbincangan atau musyawarah yang dipupuk bersama nilai kesefahaman dan kesepaduan antara kaum atau ras negara ini yang berbeza budaya, agama dan asal usul sedikit demi sedikit mula memperlihatkan hasilnya.

Prinsip toleransi dan perpaduan merupakan acuan yang terbaik sehingga negara ini telah diiktiraf sebagai “role model” kepada negara-negara membangun seluruh dunia. Pemupukan perpaduan kaum akan terus menjadi agenda dalam pembangunan negara dan matlamat terakhir kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memantapkan lagi kestabilan negara dari aspek sosio-politik di samping mengekalkan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pembangunan yang dirangka oleh kerajaan telah menetapkan satu paradigma ke arah membolehkan negara mencapai taraf sebuah negara maju. Sebagaimana terkandung dalam Wawasan 2020 daripada semua sudut keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kemajuan sains dan teknologi, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi.

Rakyat Malaysia pada hari ini seharusnya membuang jauh-jauh perasaan prasangka sebaliknya menganggap bahawa diri mereka adalah bangsa Malaysia. Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan komitmen dan semangat “Satu Malaysia” dengan memberi tumpuan terhadap tugas serta tanggungjawab dengan penuh iltizam, keazaman, keyakinan dan bertekad demi kepentingan pembangunan dan kemajuan negara.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 Ogos 2009, oleh MOHD. SUBHI MARSAN

Jumaat, 28 Ogos 2009

SEGMEN BAHASA: 6 SAMBUNGAN PENANDA WACANA - SIRI 2














Rencana ini disiarkan di dalam majalah Fokus SPM, Mei 2009 oleh Munsyi Bahasa


Antara fungsi penanda wacana seterusnya ialah bagi tujuan membuat perbandingan, menunjukkan hal sebaliknya atau alternatif, menunjukkan syarat atau harapan, Menunjukan masa /urutan, dan menunjukkan kesimpulan.

Sumber: Majalah Fokus SPM, Mei 2009.
* Terima kasih yang tidak terhingga kepada mantan Editor Fokus SPM, Puan Shahriza Sidin yang banyak memberi kerjasama kepada saya sepanjang menulis dalam majalah tersebut.

Khamis, 27 Ogos 2009

SEGMEN BAHASA: 5 PENANDA WACANA - SIRI 1











Disiarkan dalam majalah Fokus SPM, April 2009

FUNGSI DAN CONTOH PENGGUNAANNYA


Penggunaan penanda wacana dalam sesebuah karangan amat penting bagi mewujudkan pertautan dan kesepaduan bentuk dan makna sesebuah karangan. Hal ini demikian kerana penggunaan penanda wacana yang berupa kata atau frasa perangkai membolehkan ayat-ayat dalam perenggan disusun dengan baik sehingga urutan maklumat atau gagasan menjadi lancar dan tidak melompat-lompat atau terputus-putus. Penanda wacana boleh digunakan dua situasi, untuk menghubungkan dua ayat bagi membentuk satu ayat, dan antara perenggan. Penggunaan penanda wacana dalam ayat membentuk perkaitan antara ayat atau ayat-ayat sebelumnya. Keadaan ini membentuk satu aliran huraian yang logik dan sistematis. Dengan demikian, pembaca dapat mengikuti perkembangan sesuatu idea yang ingin disampaikan oleh penulis. Penulis dapat juga melahirkan dan mengolah ideanya dengan lancar dalam urutan yang logik dan tanpa menggunakan penanda wacana huraian dan penerangan akan menjadi terputus-putus.

SEGMEN BAHASA: 4 - SAMBUNGAN IMBUHAN ASING - BAHASA INGGERIS

* Gambar Hiasan - Logo Agensi Antidadah Kebangsaan

Imbuhan Inggeris

Awalan

Makna

Contoh

anti

maknanya bertentangan dengan; melawan; menentang atau benci terhadap sesuatu

antiagama, antidadah, antikerajaan, antisosial, antikomunis, antibiotik, antilelaki, antiwira, antinuklear, antitoksin, antirasuah, antirokok, antikapal selam, anti-Israel, anti-Amerika, anti-British, anti-Yahudi, anti-Rusia

pro

maknanya bersetuju dengan; berpihak kepada; menyebelahi atau menyokong

proaktif, propemerintah, prodemokrasi, prokemerdekaan, propembangkang, proreformasi, prokerajaan, pro-Barat, pro-Amerika, pro-Arab, pro-Soviet

sub

maknanya sebahagian daripada keseluruhan; bahagian yang kecil;

subtajuk, subbidang, subgolongan, subsistem, subkategori, subcawangan, subeditor, subplot, subtropika

supra

maknanya melebihi atau melewati sesuatu batas, sempadan dsb., mengatasi, merentasi, melangkaui

suprakelas, supranasional, supragolongan, suprasegmen,

auto

maknanya dengan sendirinya

autonomi, autobiografi, autograf, automatik

mono

maknanya satu atau tunggal

monopoli, monogami, monolog, monoksida, monosakarida

poli

maknanya banyak

politeknik, poligami, poliglot, poliandri, poliklinik

Akhiran

Makna

Contoh

-is

maknanya orang yang melakukan sesuatu

kartunis, cerpenis, novelis

-isme

Maknanya fahaman, kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan

materialisme, feudalisme, kapitalisme, komunisme, sosialisme, idealisme, radikalisme

-logi

maknanya bidang ilmu

psikologi, mineralogi, teknologi, morfologi, biologi, sosiologi, hidrologi

-grafi

maknanya bidang seni atau ilmu

fotografi, koreografi, kaligrafi, biografi, geografi